Soalan Lazim

> Soalan Lazim mengenai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS)
 

Umum

Mendapatkan Laporan Kredit

Maklumat dalam CCRIS

Kemudahan Kredit/Permohonan Pembiayaan

Mengemas kini Maklumat

Lain-lain


^back to top

Umum

1. Apakah CCRIS?

CCRIS ialah sistem yang mengumpul maklumat mengenai individu yang mengambil pinjaman daripada institusi kewangan dan membekalkan semula maklumat tersebut kepada institusi kewangan. Maklumat ini digunakan sebagai salah satu sumber oleh institusi kewangan untuk membentuk pandangan mengenai sejarah kredit peminjam sedia ada atau bakal peminjam mereka. CCRIS bukanlah sistem yang menyenarai hitam peminjam seperti tanggapan sesetengah pihak.

^back to top

2. Apakah CCRIS?

CCRIS ialah singkatan bagi Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat.

^back to top

3. Mengapakah Bank Negara Malaysia mewujudkan CCRIS?

Salah satu fungsi Bank Negara Malaysia adalah untuk mengawal selia institusi kewangan supaya sistem kewangan negara kukuh dan stabil. Oleh itu, Bank Negara Malaysia menggalakkan dasar kredit yang berhemat dan sikap profesional dalam kalangan institusi kewangan. Ini termasuk penerapan amalan perniagaan terbaik dalam pengurusan risiko kredit. Satu daripadanya adalah dengan menyediakan CCRIS kepada institusi kewangan supaya mereka boleh membuat keputusan pemberian pinjaman berdasarkan maklumat yang mencukupi dengan lebih cepat.

^back to top

4. Apakah Biro Kredit Bank Negara Malaysia?

Biro Kredit Bank Negara Malaysia (Biro Kredit) ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 untuk menguruskan CCRIS.

^back to top

5. Adakah aktiviti Biro Kredit dikawal selia?

Ya, Biro Kredit dikehendaki beroperasi berdasarkan peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.

^back to top

6. Bolehkah saya menghalang Biro Kredit daripada menyimpan maklumat tentang diri saya?

Tidak boleh. Biro Kredit diberi kuasa oleh undang-undang untuk mengumpul dan menyimpan maklumat sedemikian.

^back to top

Mendapatkan Laporan Kredit


7. Adakah undang-undang membenarkan seseorang individu mengakses laporan kreditnya sendiri?

Ya. Akta Bank Negara Malaysia 2009 membenarkan Bank Negara Malaysia mendedahkan maklumat kredit seseorang individu kepada individu berkenaan untuk tujuan pengesahan ketepatan maklumat yang dilaporkan oleh institusi kewangan dalam laporan kredit.

^back to top

8. Adakah institusi kewangan dibenarkan melihat laporan kredit seseorang individu yang bukan pelanggannya/bakal pelanggannya?
Tidak. Jika institusi kewangan itu mengakses laporan kredit secara tidak sah, institusi kewangan tersebut boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang.

^back to top

9. Institusi kewangan memaklumi saya bahawa saya mempunyai rekod laporan kredit yang buruk. Di manakah boleh saya dapatkan perincian mengenai rekod tersebut?

(1) Sekiranya anda tinggal di Lembah Klang, anda boleh dapatkan laporan kredit daripada Pusat Khidmat Pelanggan, Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) Bank Negara Malaysia, di Ibu Pejabat di alamat berikut:

BNMLINK
Jabatan Komunikasi Korporat
Tingkat Bawah Blok D
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur

BNMLINK beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, kecuali cuti umum, dari pukul 9.00 pagi - 5.00 petang (termasuk waktu makan tengah hari).

Sila bawa bersama-sama anda MyKad atau pasport (bagi bukan warganegara Malaysia) dan dokumen sokongan lain (seperti lesen memandu, dan sebagainya) yang boleh mengesahkan identiti anda. Anda akan diberikan laporan kredit semasa kunjungan tersebut.

(2) Sekiranya anda tinggal di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu atau Kuching, anda boleh dapatkan laporan kredit dari cawangan Bank Negara Malaysia di alamat berikut:

Bank Negara Malaysia Pulau Pinang
No.27 Lebuh Light
10200 Pulau Pinang
Telefon: 04-262 7125/7126/7127/7128/263 3371
Faksimile: 04-261 1223

Bank Negara Malaysia Johor Bahru
Jalan Bukit Timbalan
80000 Johor Bahru
Johor
Telefon: 07- 224 0799/224 0792/224 0741/223 2798/223 2809
Faksimile: 07-223 6931

Bank Negara Malaysia Kuala Terengganu
Jalan Sultan Mohamad
21100 Kuala Terengganu
Terengganu
Telefon: 09-622 0571/0634/0644
Faksimile: 09-622 0516

Bank Negara Malaysia Kota Kinabalu
Jalan Lapan Belas
88000 Kota Kinabalu
Sabah
Telefon: 088-211 211/212/213/214/215/216
Faksimile: 088- 219 464

Bank Negara Malaysia Kuching
Jalan Satok
93000 Kuching
Sarawak
Telefon: 082-252 311/230 969
Faksimile:  082- 414 996

Cawangan Bank Negara Malaysia beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), dari 9.00 pagi - 5.00 petang (ditutup pada waktu makan tengah hari: 1.00 tengah hari - 2.00 petang, kecuali hari Jumaat dari pukul 12.30 tengah hari - 2.30 petang).

(3) Sekiranya anda bukan dari kawasan tersebut, anda boleh memohon laporan kredit dengan melengkapkan dan menghantar kepada kami borang permohonan laporan kredit berserta dokumen berikut:

  • Borang Permohonan Laporan Kredit (CRR);
  • Borang Perisytiharan Pinjaman; (borang boleh dimuat turun daripada http://creditbureau.bnm.gov.my)
  • Satu salinan MyKad yang jelas (depan dan belakang) / pasport (bagi bukan warganegara Malaysia); dan
  • Mana-mana dua dokumen sokongan lain berikut (dengan nama dan alamat pemohon tertera dengan jelas pada setiap salinan):
  • Lesen memandu;
  • Bil seperti bil air, bil elektrik, bil telefon, bil ASTRO, dll
  • Penyata akaun bank;
  • Penyata kad kredit; atau
  • Penyata KWSP.

Sila hantar melalui pos atau faksimile borang yang telah dilengkapkan berserta dokumen sokongan ke alamat berikut:

BNMTELELINK
Jabatan Komunikasi Korporat
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
Peti Surat 10922
50929 Kuala Lumpur
Faksimile: 03-2174 1515

Sila ambil perhatian bahawa sekiranya anda datang sendiri ke BNMLINK atau mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia, anda boleh dapatkan laporan kredit dengan segera. Walau bagaimanapun, tempoh antara dua hingga empat minggu diperlukan untuk memproses permohonan yang diterima melalui pos/faksimile memandangkan laporan tersebut akan dihantar ke institusi kewangan yang berhampiran dengan tempat tinggal anda untuk diambil.

^back to top

10. Berapa kerapkah boleh saya dapatkan laporan kredit?

Anda boleh mendapatkan laporan kredit setiap tiga bulan sekali.

^back to top

11. Bolehkah saya dapatkan maklumat CCRIS melalui telefon daripada Bank Negara Malaysia?

Tidak boleh. Kami tidak dibenarkan mendedahkan maklumat CCRIS memandangkan pengesahan tidak dapat dibuat melalui telefon.

^back to top

12. Bolehkah saya dapatkan laporan kredit daripada bank saya?

Tidak boleh. Anda hanya boleh dapatkan laporan kredit daripada Bank Negara Malaysia.

^back to top

13. Bolehkah saya berikan kebenaran kepada orang lain untuk mendapatkan laporan kredit saya daripada Bank Negara Malaysia?

Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.

^back to top

14. Seorang rakan saya perlu mendapatkan laporan kreditnya. Bolehkah saya dapatkan laporan tersebut bagi pihaknya?

Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.

^back to top

15. Saya akan menjadi penjamin untuk satu pinjaman. Bolehkah saya dapatkan salinan laporan kredit peminjam berkenaan yang saya telah/akan jamin?

Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.

^back to top

16. Saya seorang peminjam. Bolehkah saya dapatkan salinan laporan kredit penjamin saya?

Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.

^back to top

17. Bolehkah saya dapatkan laporan kredit bagi pihak ibu saya yang sedang sakit?

Boleh. Permohonan mestilah disertakan dengan Borang Permohonan Laporan Kredit yang telah dilengkapkan berserta dokumen berikut:

  • Satu salinan kad pengenalan (MyKad) pemohon;
  • Satu salinan kad pengenalan (MyKad) individu yang diberi kuasa (waris yang terdekat);
  • Surat rujukan mutakhir dan laporan perubatan yang disahkan oleh doktor dan hospital; dan
  • Satu salinan surat beranak/sijil perkahwinan waris yang terdekat sebagai bukti hubungan dengan pesakit.


^back to top

18. Rakan saya telah kematian bapanya baru-baru ini. Bolehkah rakan saya itu mendapatkan laporan kredit bapanya?

Laporan kredit si mati hanya boleh diberikan kepada individu yang diberi kuasa secara sah untuk mentadbir harta pusaka si mati seperti yang dinamakan dalam Surat Tadbir Kuasa. Permohonan perlu dikemukakan bersama-sama dengan borang permohonan laporan kredit berserta satu (1) salinan dokumen berikut:

  • sijil kematian;
  • Surat Tadbir Kuasa; dan
  • kad pengenalan (MyKad) Pentadbir Kuasa.


^back to top

19. Saya merupakan pengarah sebuah syarikat dan ingin mendapatkan laporan kredit syarikat, apakah prosedurnya?

Permohonan perlulah disertakan dengan Borang Permohonan Laporan Kredit yang telah dilengkapkan dengan disokong oleh dokumen berikut:

  • Satu salinan kad pengenalan (MyKad) atau pasport (jika bukan warganegara Malaysia) kakitangan yang diberi kuasa untuk mengambil laporan tersebut;
  • Surat beri kuasa (menggunakan kepala surat syarikat) daripada syarikat untuk mengesahkan kakitangan yang diberi kuasa untuk mengambil laporan kredit. Surat tersebut hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Syarikat dan sekurang-kurangnya dua Pengarah Syarikat;
  • Satu salinan Sijil Pendaftaran Syarikat yang telah disahkan (Borang 9) oleh Setiausaha Syarikat;
  • Satu salinan Sijil Pendaftaran Pertukaran Nama Syarikat yang telah disahkan (Borang 13) oleh Setiausaha Syarikat, sekiranya ada; dan
  • Satu salinan Senarai Pengarah Syarikat terkini yang telah disahkan (Borang 49) oleh Setiausaha Syarikat.

* Sila ambil perhatian bahawa surat kuasa dan semua salinan dokumen yang telah disahkan hendaklah bertarikh 14 hari bekerja sebelum tarikh penyerahan Borang Permohonan Laporan Kredit.


^back to top

20. Berapakah yang perlu saya bayar untuk satu salinan laporan kredit?

Tiada bayaran dikenakan oleh Bank Negara Malaysia buat masa ini.

^back to top

Maklumat dalam CCRIS

21. Dari manakah Biro Kredit mendapatkan maklumat?

Biro Kredit mendapatkan maklumat daripada institusi kewangan yang menyertai CCRIS, iaitu semua bank perdagangan, bank Islam, bank pelaburan, bank pembangunan, sebahagian syarikat insurans, pengeluar instrumen pembayaran dan institusi pemulihan berlesen.

^back to top

22. Apakah maklumat yang dilaporkan oleh institusi kewangan kepada Biro Kredit?

Institusi kewangan melaporkan data pengenalan diri peminjam yang penting (seperti nama, nombor pengenalan diri dan tarikh lahir) dan melaporkan maklumat berkaitan pinjaman yang dikeluarkan kepada peminjam (seperti jenis kemudahan kredit, pengendalian akaun dan had kredit).

^back to top

23. Apakah jenis kemudahan kredit yang dilaporkan oleh institusi kewangan kepada Biro Kredit?

Institusi kewangan dikehendaki melaporkan semua jenis kemudahan kredit yang diberikan kepada peminjam, termasuk kad kredit, overdraf, kemudahan perdagangan, pinjaman perumahan, dan sebagainya.

^back to top

24. Bolehkah saya dapatkan maklumat tentang sejarah pinjaman saya daripada CCRIS?

Laporan kredit hanya menunjukkan pinjaman belum berbayar atau akaun yang masih aktif serta permohonan kredit sepanjang 12 bulan terakhir.

^back to top

25. Saya kini mempunyai kad kredit daripada institusi kewangan. Adakah kemudahan kad kredit dilaporkan dalam CCRIS?

Ya. Maklumat kad kredit turut dilaporkan dalam CCRIS.

^back to top

26. Saya mempunyai akaun semasa dengan sebuah institusi kewangan, adakah maklumat ini dilaporkan dalam CCRIS?

Institusi kewangan tidak dikehendaki dan tidak seharusnya melaporkan sebarang maklumat akaun semasa dalam CCRIS. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai kemudahan overdraf bersama-sama dengan akaun semasa tersebut, maklumat berkaitan kemudahan overdraf berkenaan akan dilaporkan dalam CCRIS.

^back to top

27. Saya mempunyai akaun semasa tanpa kemudahan overdraf tetapi saya dimaklumkan oleh sebuah institusi kewangan bahawa saya mempunyai kemudahan tersebut. Bagaimanakah maklumat ini boleh dilaporkan kepada CCRIS?

Sebarang pengurangan sementara dalam akaun semasa (contoh: disebabkan oleh caj perkhidmatan yang dikenakan oleh institusi kewangan) akan dianggap sebagai overdraf sementara. Maklumat ini akan dilaporkan kepada CCRIS sehingga anda menyelesaikan lebihan tersebut. Sebaik sahaja anda berbuat demikian, rekod berkenaan tidak akan ditunjukkan dalam laporan kredit.

^back to top

28. Saya dimaklumkan oleh institusi kewangan bahawa akaun kemudahan kredit saya tertunggak. Sekiranya saya menjelaskan jumlah tunggakan tersebut, adakah rekod tunggakan tersebut akan dikeluarkan daripada laporan kredit saya?

Jika anda telah menyelesaikan jumlah tunggakan, akaun yang kembali teratur ini akan ditunjukkan pada bulan anda membuat penyelesaian tersebut. Walau bagaimanapun, maklumat mengenai ansuran tertunggak sepanjang 12 bulan yang lalu akan dipaparkan dalam laporan kredit.

^back to top

29. Saya dapati satu daripada pinjaman saya dilaporkan di bawah Akaun Di bawah Pemerhatian Khas. Apakah Akaun Di bawah Pemerhatian Khas?

Pinjaman yang dilaporkan di bawah Akaun Di bawah Pemerhatian Khas ialah semua kemudahan kredit tak berbayar yang diletakkan dalam pengawasan khas institusi kewangan sebagai usaha untuk mendapatkan semula bayaran bagi pinjaman tersebut atau pinjaman yang sedang dibayar. Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai akaun tersebut, anda boleh hubungi institusi kewangan yang berkenaan.

^back to top

Kemudahan Kredit/Permohonan Pembiayaan


30. Jika permohonan kredit saya ditolak oleh sebuah institusi kewangan, adakah institusi kewangan lain juga akan berbuat demikian?

Ia tidak semestinya begitu. Setiap institusi kewangan mempunyai dasar pinjaman yang berbeza-beza, bergantung pada risiko yang sanggup ditanggung oleh mereka. Maklumat yang diberikan oleh Biro Kredit hanya sebahagian daripada keseluruhan proses membuat keputusan berhubung permohonan pinjaman oleh institusi kewangan dan setiap institusi kewangan mempunyai pandangan yang berbeza mengenainya.

^back to top

31. Adakah Bank Negara Malaysia memberikan sebarang penarafan kredit terhadap pemohon kredit?

Bank Negara Malaysia tidak memberikan sebarang penarafan kredit atau pandangan mengenai kepercayaan kredit (credit worthiness) pemohon pinjaman.

^back to top

32. Adakah Bank Negara Malaysia menetapkan keputusan pemberian kemudahan kredit oleh institusi kewangan menerusi Biro Kredit?

Tidak. Bank Negara Malaysia tidak terlibat dalam keputusan pemberian kemudahan pinjaman oleh institusi kewangan. Laporan kredit hanya memberi fakta seperti yang dilaporkan kepada Biro Kredit. Bank Negara Malaysia tidak memberikan apa-apa pandangan mengenai kepercayaan kredit seseorang individu. Institusi kewangan akan membuat keputusan sendiri berdasarkan semua maklumat yang mereka ada, termasuk laporan kredit yang disediakan oleh Biro Kredit, maklumat yang diberi oleh pemohon melalui dokumen permohonan kredit dan juga dokumen sokongan lain.

^back to top

33. Permohonan pinjaman saya telah ditolak disebabkan rekod kredit saya yang buruk seperti ditunjukkan dalam CCRIS. Apakah yang perlu saya lakukan untuk memperbaiki kedudukan kredit saya?

Rekod kredit yang buruk mungkin disebabkan oleh tunggakan hutang dalam akaun di institusi kewangan yang belum dijelaskan atau pembayaran dibuat bukan pada masa yang ditetapkan. Anda dinasihati supaya berbincang mengenai skim bayaran balik dengan institusi kewangan berkenaan. Rekod kredit anda akan menunjukkan kedudukan yang lebih baik apabila akaun anda kembali teratur.

^back to top

34. Jika permohonan kredit saya ditolak oleh institusi kewangan, adakah ini bermakna nama saya telah disenarai hitam?

Tidak. Bank Negara Malaysia tidak menyenarai hitam sesiapa kerana ia tidak memberi sebarang pandangan mengenai maklumat dalam laporan kredit. Maklumat mengenai permohonan kredit yang ditolak juga tidak ditunjukkan dalam laporan kredit untuk memastikan institusi kewangan tidak bersikap prejudis ekoran keputusan oleh institusi kewangan yang lain.
Semasa memproses permohonan pinjaman, sesebuah institusi kewangan akan membuat penilaian kredit terhadap peminjam. Ini mungkin melibatkan semakan latar belakang peminjam daripada pelbagai sumber, antaranya, maklumat yang dibekalkan oleh agensi rujukan kredit seperti CTOS Sdn Bhd (CTOS), Financial Information Services Sdn Bhd (FIS) dan RAM Credit Information Sdn Bhd (RAM). Maklumat daripada agensi berkenaan boleh membantu institusi kewangan dalam proses penilaian mereka. Institusi kewangan perlu menggunakan semua maklumat yang ada untuk membantu mereka membuat keputusan yang tepat dan berhemat dalam pemberian pinjaman dan pendahuluan.

^back to top

Mengemas kini Maklumat

35. Jika saya menyelesaikan semua pinjaman saya sekarang, bilakah rekod laporan kredit akan dikemas kini?

Rekod anda akan dikemas kini oleh institusi kewangan yang berkenaan pada tarikh penghantaran laporan yang berikutnya, iaitu tidak lewat dari 15 haribulan bulan berikutnya.

^back to top

36. Saya telah membuat pembayaran penuh akaun kredit saya. Mengapakah Bank Negara Malaysia masih belum mengemaskinikan rekod saya?

Bank Negara Malaysia hanya mengumpul maklumat kredit daripada institusi kewangan dan tidak mengemas kini sebarang rekod. Institusi kewangan terbabit yang bertanggungjawab untuk mengemas kini rekod anda. Sekiranya anda dapati rekod kredit tersebut belum dikemas kini, sila maklumkan perkara ini kepada institusi kewangan yang berkenaan.

^back to top

37. Saya bukan lagi pemilik/rakan kongsi sebuah perniagaan, tetapi institusi kewangan masih lagi melaporkan saya sebagai pemilik perniagaan tersebut. Apakah yang perlu saya lakukan?

Sekiranya anda bukan lagi pemilik/rakan kongsi sesebuah perniagaan, anda perlu mengemas kini status pemilikan tersebut di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jika dalam perjanjian pindah milik ataupun perjanjian dengan rakan kongsi lain menyatakan bahawa apabila anda keluar daripada perniagaan tersebut anda tidak lagi dipertanggungjawabkan kepada pinjaman tersebut, anda perlu memberitahu perkara ini kepada institusi kewangan yang memberikan kemudahan pinjaman kepada perniagaan tersebut untuk mengemas kini rekod mereka. Ini supaya anda tidak lagi menanggung sebarang liabiliti yang berkaitan dengan pinjaman tersebut. Sekiranya anda menjadi penjamin pinjaman perniagaan tersebut dan tiada perjanjian untuk memindahkan liabiliti, anda masih bertanggungjawab terhadap pinjaman perniagaan tersebut.

^back to top

38. Saya rakyat asing yang bekerja di Malaysia dan sedang memohon kad kredit daripada sebuah bank. Walau bagaimanapun, saya diberitahu ada individu lain yang mempunyai nombor dokumen pengenalan diri (ID) yang hampir sama dengan nombor pasport saya. Oleh itu, pihak bank tidak boleh memproses permohonan kad kredit saya kerana khuatir terdapat unsur-unsur penipuan. Bagaimanakah cara untuk saya selesaikan masalah ini?

Memandangkan nombor pasport asing tidak unik, nombor ID yang diberi kepada seseorang rakyat Malaysia kebetulan sama dengan nombor pasport anda. Ini tidak bermakna terdapat unsur penipuan. Dalam keadaan ini, sila maklumi pegawai bank yang memproses permohonan kad kredit tersebut supaya menghubungi Bank Negara Malaysia untuk menyelesaikan perkara itu, atau anda juga boleh memberi maklumat mengenai pegawai bank tersebut kepada kami untuk tindakan susulan.

^back to top

39. Saya telah mendapatkan laporan kredit dan terdapat satu pinjaman yang ingin saya keluarkan daripada laporan kredit tersebut kerana saya sedang mempertikaikan pinjaman tersebut dengan institusi kewangan berkenaan. Saya tidak bersetuju dengan penyelenggaraan akaun tersebut yang dilaporkan sebagai tidak berbayar selepas saya menentang caj faedah yang dikenakan terhadap pinjaman berkenaan. Bagaimanakah caranya untuk saya mengeluarkannya?

Item pinjaman tersebut tidak boleh dikeluarkan daripada laporan kredit kerana masih ada baki pinjaman belum berbayar dengan institusi kewangan berkenaan. Walau bagaimanapun, ini bergantung pada hasil penyelesaian pertikaian tersebut dan kami boleh memberi pilihan kepada anda untuk menamakan laporan anda dengan nama khas. Ini bermakna bahawa apabila permohonan pinjaman anda sedang diproses oleh institusi kewangan, institusi tersebut perlu mendapatkan laporan kredit anda daripada Bank Negara Malaysia. Apabila laporan kredit anda diberikan kepada institusi kewangan terlibat, kami akan sertakan kenyataan anda dan kronologi peristiwa yang berkaitan dengan kes yang dipertikaikan. Ingin dimaklumkan di sini bahawa dengan maklumat tambahan tersebut, keputusan untuk meluluskan atau menolak pinjaman anda masih lagi tertakluk kepada pertimbangan institusi kewangan yang memproses pinjaman tersebut.

^back to top

40. Saya dimaklumkan bahawa nama saya ada dalam CTOS. Bagaimanakah untuk mengemas kini rekod tersebut?

CTOS Sdn. Bhd. (CTOS) ialah agensi rujukan kredit swasta dan tidak mempunyai hubung kait dengan Bank Negara Malaysia. Anda boleh menghubungi CTOS di talian 03-27708833 untuk maklumat lanjut.

^back to top

41. Saya telah diisytiharkan muflis beberapa tahun lalu dan saya telah pun menyelesaikan sepenuhnya pinjaman saya. Bolehkah Bank Negara Malaysia mengeluarkan nama saya daripada status muflis tersebut?

Tidak boleh. Anda dikehendaki berurusan terus dengan Jabatan Insolvensi di talian 03-88851000 berhubung status muflis tersebut.

^back to top

42. Saya pernah menjamin seseorang beberapa tahun yang lalu. Individu berkenaan tidak mampu membayar balik pinjaman tersebut sehingga ia tertunggak. Bagaimanakah boleh saya elakkan nama saya daripada disenarai hitam?

Bank Negara Malaysia tidak mempunyai sistem senarai hitam. Menjadi penjamin ialah satu kontrak sah yang mengikat anda untuk membayar hutang peminjam sekiranya peminjam gagal berbuat demikian. Tahap tanggungan penjamin adalah seperti yang termaktub dalam dokumen jaminan dan anda akan dipertanggungjawabkan untuk liabiliti tersebut sebagaimana dinyatakan dalam terma dokumen jaminan berkenaan. Anda dinasihatkan supaya mendapatkan penjelasan daripada institusi kewangan yang berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut.

^back to top

Lain-lain

43. Baru-baru ini saya telah menarik diri daripada sebuah perniagaan perkongsian. Bagaimanakah caranya saya boleh mengelakkan nama saya digunakan dalam permohonan pinjaman baharu atau sebagai penjamin kepada perniagaan yang saya bukan lagi salah seorang pemiliknya?

Anda dinasihati untuk menyemak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi memastikan nama anda sebagai salah seorang rakan kongsi dan maklumat lain yang berkaitan telah dikemaskinikan dengan sewajarnya.

^back to top

44. Saya menanggung hutang yang banyak dan tidak lagi mampu membayar pinjaman yang sedia ada. Saya berharap pinjaman saya dapat dijadualkan semula. Bagaimanakah Bank Negara Malaysia boleh membantu saya?

Anda boleh mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di talian 1-800-88-2575. AKPK ialah agensi yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan penjadualan semula hutang untuk individu.

^back to top

45. Di manakah boleh saya dapatkan maklumat lanjut mengenai CCRIS?

Anda boleh layari laman sesawang Biro Kredit di http://creditbureau.bnm.gov.my atau hubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465.


^back to top



 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 27 July 2010
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
 





Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 28 November 2014