Galakan Tabungan

> Produk Tabungan Kewangan yang Ditawarkan oleh Institusi Perbankan dan Bukan Perbankan
 
Institusi perbankan dan bukan perbankan menawarkan kepada penyimpan pelbagai jenis produk tabungan kewangan yang terdiri daripada akaun semasa, akaun tabungan, akaun deposit tetap dan sebagainya. Kesemua produk ini merupakan jenis produk yang mempunyai risiko yang rendah. Pada masa yang sama, pelabur juga ditawarkan produk yang berisiko tinggi dan juga pulangan yang tinggi seperti stok dan saham, bon dan unit amanah. Produk kewangan yang dipilih bergantung kepada keperluan kewangan anda. Walaupun beberapa jenis deposit mempunyai ciri-ciri yang serupa, dengan adanya inovasi kewangan, sebahagian daripada produk ini telah diubahsuai dan dipakejkan bagi menarik minat para penyimpan dan pelabur. Dalam membuat pilihan produk tabungan kewangan yang paling sesuai, selain daripada pulangan, anda juga perlu memahami ciri-ciri produk tersebut. Untuk memberi panduan dalam memilih produk kewangan yang bersesuaian dengan keperluan anda, berikut adalah butir-butir terperinci mengenai produk kewangan yang ditawarkan oleh institusi perbankan dan bukan perbankan.

 

Produk Tabungan Kewangan yang Ditawarkan oleh Institusi Perbankan

Institusi perbankan terdiri daripada bank perdagangan, syarikat kewangan dan bank saudagar. Pada akhir bulan November 1996, terdapat sebanyak 37 buah bank perdagangan, 40 buah syarikat kewangan dan 12 buah bank saudagar yang beroperasi di Malaysia (senarai lengkap institusi-institusi tersebut dilampirkan di Lampiran 2,). Produk-produk yang ditawarkan oleh institusi perbankan adalah seperti berikut:

(i) Akaun Semasa

Ia adalah sejenis akaun deposit yang menyediakan kemudahan cek dan hanya ditawarkan oleh bank perdagangan. Akaun ini boleh digunakan untuk urusan perniagaan dan persendirian. Pemegang akaun akan mendapat buku cek dan penyata bulanan. Perkhidmatan Mesin Teller Automatik (ATM) juga disediakan.

Kelayakan: Individu yang berusia 18 tahun ke atas, perniagaan persendirian, kelab, persatuan, pertubuhan, agensi Kerajaan dan syarikat perniagaan.
Jenis akaun: Akaun persendirian, bersama, perkongsian dan syarikat.
Deposit minimum: Jumlah minimum untuk membuka akaun berbeza di antara bank iaitu di antara RM500-1,000 bagi individu dan RM1,000-2,000 bagi perniagaan. Bagi membuka akaun baru, sokongan daripada mana-mana pemegang akaun di bank tersebut diperlukan.
Deposit & pengeluaran: Deposit boleh dilakukan di semua cawangan dan melalui ATM (bagi bank tertentu sahaja), sementara pengeluaran wang adalah melalui cek dan ATM.
Kadar faedah: Tiada.
Lain-lain: Bank mengenakan bayaran yuran perkhidmatan yang rendah jika purata baki adalah di bawah tahap yang ditetapkan oleh bank. Arahan pemotongan daripada akaun boleh diuruskan untuk membuat bayaran pinjaman dan bil-bil, dan untuk memindahkan wang. Kemudahan overdraf juga disediakan oleh beberapa bank.

(ii) Akaun Tabungan (Simpanan)

Ia adalah sejenis akaun yang menawarkan kadar faedah dan wang anda boleh dikeluarkan apabila dikehendaki. Akaun ini merupakan produk tabungan yang paling digemari kerana ia menawarkan pulangan dan juga mudah ditunaikan. Produk ini ditawarkan oleh semua bank perdagangan dan syarikat kewangan. Buku simpanan akan diberi untuk mencatatkan semua urusan. Bagi institusi tertentu, hanya penyata diberikan tanpa membekalkan buku simpanan. Kebanyakan bank perdagangan dan beberapa syarikat kewangan menyediakan kemudahan kad ATM.

Kelayakan: Individu berusia 12 tahun ke atas, kelab, persatuan dan organisasi bukan bermotifkan keuntungan boleh membuka akaun ini. Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun boleh membuka akaun ini tetapi di bawah akaun amanah atas nama penjaga atau pemegang amanah.
Jenis akaun: Akaun perseorangan, bersama dan amanah.
Deposit minimum: Jumlah minimum untuk membuka akaun adalah berbeza di antara institusi iaitu di antara RM100- 500 bagi bank perdagangan dan RM10-100 bagi syarikat kewangan. Di samping itu, jumlah minimum sebanyak RM1 diperlukan bagi mengekalkan akaun tersebut. Beberapa buah bank perdagangan memerlukan sokongan daripada pemegang akaun di bank tersebut untuk membuka akaun ini.
Deposit & pengeluaran: Deposit boleh dilakukan di semua cawangan dan melalui ATM (bagi institusi tertentu sahaja). Begitu juga, pengeluaran boleh dibuat di semua cawangan dan melalui ATM (maksimum sebanyak RM2,000 sehari).
Kadar faedah: Kadar faedah yang ditawarkan adalah berbeza di kalangan institusi perbankan. Setiap institusi kewangan boleh menawarkan lebih daripada satu kadar faedah. Kadar faedah ini dikira setiap hari dan dibayar kepada pemegang akaun tiap-tiap setengah tahun sekali.
Lain-lain: Arahan pemotongan daripada akaun boleh diuruskan bagi membuat bayaran pinjaman dan bil-bil, dan juga untuk memindahkan wang.

(iii) Akaun Tabungan Kanak-kanak

Dalam usaha menggalakkan kanak-kanak menabung, kebanyakan bank perdagangan dan syarikat kewangan telah memperkenalkan akaun tabungan khas untuk kanak-kanak. Mereka yang layak membuka akaun ini adalah individu yang berusia 18 tahun dan ke bawah. Bagi mereka yang berusia 12 tahun dan ke bawah, akaun ini perlu dibuka di bawah akaun amanah di mana pemegang utama akaun adalah ibu bapa/penjaga, manakala anak-anak mereka adalah pewaris akaun tersebut. Ciri-ciri akaun ini adalah sama seperti akaun tabungan biasa. Di samping itu, pemegang akaun juga menerima beberapa pemberian lain seperti tabung, perlindungan insurans peribadi yang percuma dan lain-lain.

(iv) Akaun Tabungan Warga Tua

Ia adalah sejenis akaun untuk individu yang berusia 50 tahun dan ke atas. Ianya ditawarkan oleh bank perdagangan dan syarikat kewangan. Ciri- ciri akaun ini adalah sama seperti akaun tabungan biasa kecuali jumlah minimum untuk membuka akaun ini adalah lebih tinggi, dalam lingkungan RM10-2,000. Walau bagaimanapun, kadar faedah yang ditawarkan adalah lebih tinggi dan pemegang akaun juga mungkin akan menerima beberapa pemberian lain seperti perlindungan insurans kemalangan peribadi secara percuma.

(v) Akaun Deposit Tetap

Ia adalah sejenis akaun pelaburan di mana sejumlah wang yang tertentu banyaknya ditabung untuk jangka masa tertentu dan ditawarkan oleh bank perdagangan, syarikat kewangan dan bank saudagar. Penyimpan akan mendapat kadar faedah yang telah ditentukan terlebih dahulu apabila tabungan tersebut matang. Penyimpan akan menerima sijil deposit tetap.

Kelayakan: Individu berusia 12 tahun ke atas, kelab, persatuan, agensi Kerajaan dan syarikat perniagaan. Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah boleh membuka akaun ini di bawah akaun amanah atas nama penjaga atau pemegang amanah.
Jenis akaun: Akaun persendirian, bersama, amanah, perkongsian dan syarikat.
Deposit minimum: Jumlah minimum bagi membuka akaun ialah RM5,000 untuk tempoh matang selama satu bulan dan RM500 untuk tempoh matang selama 3 hingga 60 bulan bagi bank perdagangan dan syarikat kewangan. Manakala bagi bank saudagar, deposit minimum adalah RM200,000 untuk perniagaan dan hanya bank saudagar dalam Kumpulan-1 dibenarkan menerima deposit daripada individu, tertakluk kepada jumlah minimum sebanyak RM1 juta.
Tempoh matang: 1,3,6,9,12,15,18,21,24,36,48 dan 60 bulan.
Kadar faedah: Institusi perbankan bebas menentukan kadar faedah. Kadar ini berbeza- beza mengikut tempoh matang deposit dan ianya adalah lebih tinggi daripada yang ditawarkan bagi akaun tabungan.
Pengeluaran: Pengeluaran deposit tetap boleh dilakukan pada bila-bila masa sebelum tempoh matang, tetapi ianya tertakluk kepada syarat- syarat yang digariskan oleh Persatuan Bank-bank dalam Malaysia dan Persatuan Syarikat Kewangan Malaysia.
Lain-lain: Sijil deposit tetap boleh digunakan sebagai cagaran untuk kemudahan pinjaman, di samping memperoleh kadar faedah.

(vi) Instrumen Deposit Boleh Niaga (IDB)

IDB adalah sejenis dokumen/sijil yang dikeluarkan oleh institusi perbankan di mana ianya menyatakan sejumlah wang tertentu telah disimpan dengan institusi yang mengeluarkan sijil tersebut, pada kadar faedah tetap, yang akan dibayar balik kepada pemegang IDB pada tarikh yang ditetapkan. Instrumen ini boleh diniagakan dan boleh dijual oleh pemegang asal kepada mana-mana pihak dalam pasaran kedua sebelum ianya matang. Walau bagaimanapun, penjualan instrumen ini sebelum tempoh matang adalah tertakluk kepada kadar faedah semasa iaitu pada masa ianya dijual. Ini bermakna faedah yang diterima boleh bertambah atau berkurangan. IDB ditawarkan oleh bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan yang tertentu.

Kelayakan: IDB ditawarkan kepada individu dan pelanggan korporat. Penyimpan perlu menyimpan sijil IDB mereka dengan institusi yang diberi kuasa termasuk bank perdagangan, syarikat kewangan dan bank saudagar.
Jumlah minimum: Sekurang-kurangnya RM50,000. Setiap tambahan IDB adalah gandaan RM50,000 dan denominasi maksimum adalah RM10 juta. Bagi beberapa institusi, denominasi maksimum ialah sebanyak RM1 juta setiap sijil.
Tempoh matang: Minimum selama 3 bulan sehingga maksimum selama 60 bulan.
Jenis-jenis IDB: Terdapat 4 jenis IDB, iaitu IDB jangka pendek, IDB jangka panjang, IDB kupon-kosong (tanpa faedah) dan IDB kadar terapung.
Kadar faedah: Kadar yang ditawar boleh dirunding tertakluk kepada kadar faedah antara bank semasa.

(vii) Perjanjian Belian Balik (Repo)

Perjanjian belian balik (Repo) adalah satu perjanjian di mana institusi perbankan menjual "kertas bernilai" kepada pelabur dengan persetujuan untuk membelinya semula, pada harga yang telah dipersetujui dan pada tarikh yang ditetapkan di masa hadapan. Repo ini ditawarkan oleh bank perdagangan, syarikat kewangan dan bank saudagar. Bagi produk ini, apa yang menarik ialah tempoh matang pelaburan boleh dirunding supaya dapat disesuaikan dengan aliran tunai dan keperluan pelabur. Bagi memudahkan urus niaga, pelabur biasanya dikehendaki membuka akaun semasa dengan bank.

Kelayakan: Produk ini ditawarkan kepada individu serta badan korporat dan badan-badan berkanun.
Jenis-jenis kertas untuk Repo: Penerimaan jurubank, IDB, Sekuriti Kerajaan Malaysia, bon Cagamas, bil Perbendaharaan dan bil Bank Negara.
Jumlah minimum: Sekurang-kurangnya RM50,000.
Tempoh matang: Minimum satu bulan. Walau bagaimanapun, peniaga utama dibenar menerima Repo dengan sebarang tempoh matang.
Kadar faedah: Kadar faedah boleh dirunding dan bergantung kepada tempoh matang dan ianya berkait rapat dengan kadar faedah antara bank semasa. Pelabur akan menerima pelaburan pokok serta faedahnya apabila matang.

 

Produk Tabungan Kewangan yang Ditawarkan oleh Institusi Bukan Perbankan

Bagi melengkap dan menambah aktiviti pengambilan deposit oleh institusi perbankan, beberapa buah institusi kewangan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Pertanian Malaysia, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan Lembaga Tabung Haji juga menerima deposit daripada orang ramai. BSN mempunyai rangkaian cawangan di seluruh Malaysia dan ditubuhkan dengan tujuan menyediakan kemudahan bank kepada penyimpan secara kecil-kecilan. Bank Pertanian ditubuhkan untuk menyediakan kemudahan kredit kepada peladang kecil serta menerima tabungan daripada peladang. Bank Rakyat merupakan "apex" bank kepada koperasi luar bandar yang mempunyai rangkaian cawangan yang meluas. Peranannya adalah untuk menggembleng deposit daripada ahli dan koperasi. Jenis-jenis produk tabungan kewangan yang ditawarkan oleh institusi- institusi kewangan tersebut dan ciri-cirinya adalah hampir serupa dengan yang ditawarkan oleh institusi perbankan. Produk-produk yang ditawarkan adalah seperti berikut:

(i) Akaun Tabungan (Simpanan)

Akaun ini ditawarkan oleh kesemua institusi tersebut kecuali Lembaga Tabung Haji dan adalah sama seperti akaun tabungan biasa yang ditawarkan oleh institusi perbankan.

Kelayakan: Akaun ini boleh dibuka oleh individu (akaun amanah untuk kanak-kanak) dan organisasi bukan bermotifkan keuntungan.
Jenis akaun: Akaun perseorangan, bersama dan amanah.
Deposit minimum: Jumlah minimum untuk membuka akaun adalah RM1 bagi BSN dan RM10 bagi institusi yang lain.
Kadar faedah: Kadar faedah yang ditawarkan adalah berbeza-beza di kalangan institusi tersebut. BSN menawarkan kadar faedah yang berbeza- beza mengikut jumlah dan tempoh matang, manakala institusi yang lain menawarkan kadar faedah tetap tanpa mengambil kira baki dalam akaun.

(ii) Akaun GIRO

Ia adalah sejenis akaun tabungan (simpanan) yang dibayar faedah, yang ditawarkan oleh BSN dan Bank Pertanian Malaysia. Akaun ini menyediakan sistem penerimaan pembayaran dan pemindahan wang tanpa melibatkan wang tunai. Akaun ini memberi kemudahan berikut: (a) pemindahan wang kepada akaun GIRO yang lain; (b) pembayaran bil seperti bil elektrik, air, telefon dll. serta menerima arahan pembayaran; dan (c) kemudahan ATM. Selain daripada kemudahan ini, ciri-ciri akaun ini adalah sama dengan akaun tabungan biasa.

(iii) Akaun Tabungan Kanak-kanak

Akaun ini ditawarkan oleh kesemua institusi kecuali Lembaga Tabung Haji dan terbuka kepada kanak-kanak berusia 18 tahun dan ke bawah. Ia mempunyai ciri-ciri yang sama dengan akaun tabungan biasa. Di samping itu, pemegang akaun juga ditawarkan beberapa pemberian lain seperti tabung, perlindungan insurans peribadi dengan percuma dan bahan-bahan promosi dari masa ke semasa. BSN menyediakan skim untuk menggalakkan tabungan di kalangan pelajar dengan menawarkan hadiah dalam bentuk wang tunai dan biasiswa kepada para pelajar dan sekolah-sekolah yang menyertai skim tersebut.

(iv) Akaun Deposit Tetap

Akaun ini adalah sama dengan akaun deposit tetap yang ditawarkan oleh institusi perbankan dan boleh didapati di BSN, Bank Pertanian Malaysia dan Bank Rakyat. Ia boleh dibuka oleh individu (setiap institusi mempunyai kriteria umur yang berbeza), organisasi bukan bermotifkan keuntungan dan badan korporat. Jumlah minimum yang diperlukan untuk membuka akaun dengan BSN ialah sebanyak RM250 dan bagi Bank Pertanian ialah sebanyak RM300 manakala Bank Rakyat sama seperti bank perdagangan. Tempoh matang adalah selama 3, 6, 12 dan 15 bulan untuk BSN sementara bagi Bank Pertanian dan Bank Rakyat adalah sama seperti institusi perbankan.

(v) Sijil Simpanan Premium

Sijil ini ditawarkan oleh BSN di mana pemegang sijil ini adalah layak untuk memenangi hadiah pada setiap cabutan bulanan yang dianjurkan oleh BSN.

Kelayakan: Individu berusia 12 tahun dan ke atas (termasuk bukan pemastautin).
Jumlah minimum: RM10 (bersamaan 1 unit).
Deposit & pengeluaran: Sijil ini boleh dibeli di semua cawangan BSN dan boleh dijual balik kepada BSN pada bila-bila masa.
Dividen: Sijil yang bernilai sekurang-kurangnya RM100 dan dipegang selama 3 bulan sebelum 31 Disember setiap tahun layak menerima dividen.

(vi) Skim Simpan-Dari-Pendapatan

Skim ini ditawarkan oleh BSN di mana penyimpan perlu menyimpan wang dengan jumlah yang tetap setiap bulan untuk jangka masa 24 bulan seperti yang dipersetujui.

Jumlah minimum: Deposit minimum bulanan sebanyak RM20.
Kadar faedah: Di samping menerima faedah, penyimpan juga akan menerima bonus sebanyak 15% ke atas faedah yang diperoleh dalam masa 12 bulan pertama dan 30% ke atas faedah yang diperoleh selepas 24 bulan.
Lain-lain: Penyimpan juga layak untuk memohon pinjaman di antara RM1,000-5,000 bagi tujuan tertentu seperti kesihatan, pendidikan dan pelaburan dalam unit amanah.

(vii) Produk Tabungan Islam

Institusi-institusi bukan perbankan ini menawarkan dua jenis produk tabungan Islam, iaitu Akaun Tabungan Al-Wadiah dan Akaun Pelaburan Al- Mudharabah, yang mana mempunyai persamaan dengan produk yang ditawarkan oleh institusi perbankan. Bagi Lembaga Tabung Haji, institusi ini hanya menawarkan Akaun Tabungan Al-Wadiah untuk orang Islam sahaja. Produk-produk ini akan diterangkan dengan lebih lanjut bersama dengan produk tabungan berasaskan prinsip-prinsip Islam yang lain, di bahagian berikutnya.

 

 

 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 18 December 2002
 

Stay connected

FacebookFacebook
Engage with us
TwitterTwitter
Follow our latest updates
 
 





Best viewed 1024 x 768 with Internet Explorer 7.0 and Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 02 September 2014