(1) Pengeluaran Lesen Baharu Perbankan Islam dan Takaful Keluarga
Sebagai sebahagian daripada pengumuman langkah-langkah liberalisasi sektor kewangan, kenyataan ini menggariskan kriteria bagi pengeluaran sehingga dua lesen baharu untuk perbankan Islam dengan modal berbayar minimum sebanyak USD 1 bilion dan sehingga dua lesen baharu untuk takaful keluarga.
Pemegang lesen baharu mesti diperbadankan di Malaysia dan akan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.
Bank-bank Islam baharu akan dilesenkan di bawah Akta Bank Islam 1983. Bank Islam baharu boleh mempunyai kepentingan ekuiti asing sehingga 100% manakala modal syer diterbitkan dan modal syer berbayar minimum ialah USD1 bilion.
Pengendali takaful keluarga baharu akan didaftarkan di bawah Akta Takaful 1984. Modal diterbitkan dan modal berbayar minimum kekal RM100 juta.
Kriteria berikut akan digunakan apabila menilai merit permohonan:
- Pemohon hendaklah sebuah institusi kawal selia yang berwibawa atau pemegang saham institusi kawal selia yang berwibawa, dan
- Pemohon hendaklah mempamerkan, melalui rancangan perniagaan yang menyeluruh, bahawa institusi berlesen baharu yang dicadangkan untuk ditubuhkan di Malaysia atau rakan kongsi asing yang ingin memiliki kepentingan ekuiti bank Islam domestik yang sedia ada, seharusnya mempunyai kepakaran dan sumber yang perlu yang boleh memanfaatkan pasaran kewangan Islam global dan akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.
Rancangan perniagaan tersebut harus merangkumi perkara yang memberikan manfaat besar, yang antara lainnya ialah:
- Bidang kepakaran khusus dengan perincian mengenai cara produk dan perkhidmatan yang ditawarkan tersebut akan mempertingkat kedalaman dan keluasan pasaran;
- Iltizam untuk membangunkan modal insan dan keperluan infrastruktur untuk operasi yang teguh di Malaysia; dan
- Rancangan mantap mengenai cara untuk memperluas operasi bagi pengembangan serantau dan antarabangsa.
Permohonan lesen baharu perbankan Islam dan takaful keluarga yang lengkap harus sampai ke Bank Negara Malaysia selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2009. Pemohon yang berjaya hendaklah memulakan operasi tidak lebih daripada dua belas bulan dari tarikh penerimaan kelulusan masing-masing.
Borang permohonan boleh didapati di laman web Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my . Butiran lanjut boleh didapati dengan menghubungi:
Pengarah
Jabatan Perbankan Islam dan Takaful
Bank Negara Malaysia
No. Telefon: 603 2698 8044 sambungan 8395 atau 603 2691 4606
E-mel: Lib.FS@bnm.gov.my
(2) Kenaikan had ekuiti asing
Had ekuiti asing bagi institusi perbankan Islam domestik sedia ada dinaikkan kepada 70%. Had baharu ini juga terpakai untuk institusi perbankan Islam domestik sedia ada yang ingin menjadi institusi perbankan Islam yang besar dengan modal berbayar minimum sebanyak USD 1 bilion dan mengadakan perkongsian strategik dengan peserta asing.
Bagi pengendali takaful domestik yang ingin mengadakan perkongsian asing, fleksibiliti untuk perkongsian tersebut kini mempunyai had penyertaan ekuiti asing sehingga 70%.
Lihat juga:
- Borang Permohonan bagi Lesen Perbankan Islam [Doc] [PDF]
- Borang Permohonan bagi Lesen Takaful [Doc] [PDF]
- Siaran Akhbar mengenai Liberalisasi Sektor Kewangan
- Siaran Akhbar mengenai Pengeluaran Lesen Perbankan Perdagangan Baharu


