Siaran Akhbar

 
> Siaran Akhbar
 

Sebagai sebahagian daripada pengumuman langkah-langkah liberalisasi sektor kewangan, kenyataan ini mengandungi keterangan lanjut mengenai pengeluaran lesen perbankan perdagangan baharu.

Lesen perbankan perdagangan baharu untuk peserta dengan kepakaran khusus

Sehingga dua lesen perbankan perdagangan baharu akan dikeluarkan kepada peserta asing yang berkelayakan dalam bidang perniagaan khusus bagi memenuhi keperluan dalam sektor kewangan dan merangsang perkembangan ekonomi sasaran.

Dalam menilai kualiti permohonan, kriteria berikut akan digunakan:

  • Pemohon hendaklah merupakan institusi kewangan berlesen asing yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan juga bereputasi tinggi serta mempunyai rekod prestasi yang teguh dalam bidang perniagaan khusus;
  • Pemohon hendaklah dikawal selia oleh pihak berkuasa pengawalseliaan yang berwibawa di negara asalnya;
  • Pemohon hendaklah disokong oleh pemegang saham yang bereputasi tinggi yang boleh menyediakan sokongan berterusan; dan
  • Pemohon hendaklah menunjukkan, melalui pelan perniagaan yang komprehensif, manfaat besar yang akan diperoleh dalam bidang kepakaran khusus, yang boleh menyediakan perkhidmatan kewangan kepada sektor pertumbuhan baharu dan ekonomi sasaran yang buat masa ini kurang mendapat perhatian dalam sektor kewangan. Pemohon hendaklah berupaya untuk membawa masuk kepakaran khusus yang diperlukan, serta pengetahuan dan teknologi bagi menyumbang secara membina terhadap bidang perniagaan khusus dalam sektor kewangan.

Bank perdagangan baharu tersebut hendaklah diperbadankan di Malaysia dan dilesenkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA). Sebagai bank perdagangan berlesen, bank baharu tersebut hendaklah mengekalkan dana modal minimum yang tidak akan terjejas oleh sebarang kerugian, iaitu sebanyak RM300 juta pada setiap masa. Dari segi pegangan saham asing, bank perdagangan baharu tersebut dibenarkan memegang ekuiti asing sehingga 100%.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2009. Pemohon yang berjaya akan memulakan operasi di Malaysia pada tahun 2010.

Lesen perbankan perdagangan baharu

Sehingga tiga lesen perbankan perdagangan baharu akan dikeluarkan kepada peserta asing yang berkelayakan, yang boleh memberikan manfaat yang besar kepada Malaysia.

Dalam menilai kualiti pemohon, kriteria berikut akan digunakan:

  • Pemohon hendaklah merupakan institusi kewangan asing bertaraf dunia yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, bereputasi tinggi dan mempunyai rekod prestasi yang teguh;
  • Pemohon hendaklah dikawal selia oleh pihak berkuasa pengawalseliaan yang berwibawa di negara asalnya;
  • Pemohon hendaklah disokong oleh pemegang saham bereputasi tinggi yang boleh menyediakan sokongan berterusan;
  • Pemohon hendaklah menunjukkan, melalui pelan perniagaan yang komprehensif, yang ia mempunyai kepakaran dan sumber yang boleh menyumbang secara membina kepada pembangunan sektor kewangan dan ekonomi Malaysia; dan
  • Pemohon hendaklah menyumbang ke arah usaha mempertingkatkan kesalinghubungan global dan membantu aliran perdagangan antarabangsa dan pelaburan antara Malaysia dengan negara-negara lain di dunia. Selain itu, manfaat besar kepada Malaysia akan antara lain, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa dan pusat perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar (shared services and outsourcing, SSO).

Bank perdagangan baharu tersebut hendaklah diperbadankan di Malaysia dan dilesenkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA). Bank perdagangan baharu tersebut hendaklah mengekalkan dana modal minimum yang tidak akan terjejas oleh kerugian, sebanyak RM300 juta pada setiap masa. Dari segi pegangan saham asing, bank perdagangan baharu tersebut dibenarkan memegang ekuiti asing sehingga 100%.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia selewat-lewatnya pada 31 Disember 2009. Pemohon yang berjaya akan memulakan operasi di Malaysia berkuat kuasa mulai 1 Januari 2011.

Borang permohonan boleh didapati daripada laman web Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my . Keterangan lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi alamat berikut:

Pengarah
Jabatan Pembangunan Sektor Kewangan
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
Telefon: 2691 9885 atau 2690 7593
E-mel: Lib.FS@bnm.gov.my

Lihat juga:

  1. Borang Permohonan bagi Lesen Perbankan Perdagangan [Doc] [PDF]
  2. Kenyataan Akhbar mengenai Liberalisasi Sektor Kewangan
  3. Kenyataan Akhbar mengenai Pengeluaran Lesen Baharu Perbankan Islam dan Takaful Keluarga
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 27 April 2009
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013