English   |   Bahasa Malaysia
Larger Font Smaller Font W3C Disability Access
Kembali ke Laman Utama Bank Negara Malaysia
Peta Laman |  Capaian |   RSS  |  Indeks  (A-Z) |  Bantuan  |   Soalan Lazim |  Maklum Balas
            
 
  Pusat Berita & Media
> Siaran Akhbar > Liberalisasi Peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing dan Kadar Simpanan Tetap
PRINT       EMAIL

PEN: 03/05/-- (BN)

Embargo: Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada hari Rabu, 23 Mac 2005

Liberalisasi Peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing dan Kadar Simpanan Tetap

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk mempertingkatkan persekitaran perniagaan, meningkatkan kecekapan sistem penghantaran pengawalseliaan serta menggalakkan pengurusan risiko yang lebih baik, peraturan pentadbiran pertukaran asing telah dilonggarkan lagi berkuat kuasa 1 April 2005. Selain itu, Bank Negara Malaysia juga telah mengkaji semula dan meliberalisasikan lagi kadar simpanan tetap ke atas simpanan oleh syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (non-SME) dan bukan pemastautin yang akan berkuat kuasa dengan serta-merta.

Liberalisasi Peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing

Berkuat kuasa 1 April 2005, peraturan dan prosedur pentadbiran pertukaran asing diliberalisasikan lagi seperti yang berikut :

A. Pelaburan Luar Negeri
Untuk memberi lebih fleksibiliti bagi membuat pelaburan luar negeri, termasuk pemberian kemudahan kredit kepada bukan pemastautin serta penempatan dana oleh pemastautin, had RM10,000 yang sedia ada bagi pelaburan luar negeri telah dilonggarkan seperti yang berikut :-

  1. Pemastautin yang tidak mempunyai kemudahan kredit dalam negeri adalah bebas untuk melabur di luar negeri dalam mata wang asing dengan dibiayai oleh dana mata wang asing sendiri atau daripada penukaran dana ringgit.
  2. Syarikat yang mempunyai kemudahan kredit dalam negeri juga adalah bebas untuk menggunakan dana mata wang asing mereka atau dengan menukar ringgit sehingga jumlah agregat RM10 juta setahun untuk pelaburan dalam aset mata wang asing. Syarikat tersebut mestilah mempunyai dana pemegang saham minimum sebanyak RM100,000 dan mestilah telah beroperasi selama sekurang-kurangnya satu tahun.
  3. Individu yang mempunyai kemudahan kredit dalam negeri boleh melabur ke luar negeri sebarang amaun dana mata wang asing mereka atau dengan menukar ringgit sehingga RM100,000 setiap tahun untuk tujuan tersebut.
  4. Had yang dibenarkan untuk pelaburan luar negeri oleh syarikat amanah saham dinaikkan kepada 30% daripada 10% jumlah Nilai Aset Bersih (NAV) pada masa ini bagi semua dana pemastuatin yang diuruskan oleh syarikat amanah saham tersebut. Tiada sekatan dikenakan ke atas pelaburan luar negeri bagi dana yang dilanggan oleh pelanggan bukan pemastautin.
  5. Pengurus dana kini boleh melabur ke luar negeri sebarang amaun dana yang dimiliki oleh pelanggan bukan pemastautin dan pelanggan pemastautin yang tidak mempunyai sebarang kemudahan kredit dalam negeri. Mereka juga adalah bebas untuk melabur sehingga 30% dana pelanggan pemastautin yang mempunyai kemudahan kredit dalam negeri. Pada masa ini, pengurus dana hanya boleh melabur sehingga 10% dana pemastautin, tanpa mengambil kira sama ada pelanggan pemastautin tersebut mempunyai kemudahan kredit dalam negeri ataupun tidak.

B. Akaun Mata Wang Asing
Peraturan ke atas penyimpanan mata wang asing oleh pemastautin dilonggarkan lagi :-

  1. Pemastautin adalah bebas untuk membuka akaun mata wang asing di dalam negeri atau di luar pesisir (kecuali akaun mata wang asing untuk eksport). Tiada kebenaran khusus diperlukan terlebih dahulu.
  2. Tiada sebarang had dikenakan ke atas amaun dana mata wang asing yang boleh disimpan oleh pemastautin di dalam negeri atau di luar pesisir.
  3. Pemastautin yang tidak mempunyai kemudahan kredit dalam negeri adalah bebas untuk menukar sebarang amaun dana ringgitnya untuk dikreditkan ke dalam akaun mata wang asing yang diselenggara di dalam negeri atau di luar pesisir.
  4. Syarikat pemastautin yang mempunyai kemudahan kredit dalam negeri dibenarkan menukar ringgit sehingga RM10 juta setiap tahun kalendar untuk dikreditkan ke dalam akaun mata wang asing mereka.
  5. Pemastautin individu yang mempunyai kemudahan kredit dalam negeri juga dibenarkan untuk menukar ringgit untuk dikreditkan ke dalam akaun mata wang asing seperti yang berikut-

    Bagi tujuan pendidikan atau pekerjaan di luar negeri
    · Sehingga AS$150,000 untuk dikreditkan ke dalam akaun mata wang asing yang diselenggara dengan bank tempatan atau dengan bank luar pesisir di Labuan; dan
    · Sehingga AS$50,000 untuk dikreditkan ke dalam akaun mata wang asing dengan bank di luar negeri.

    Bagi tujuan lain
    · Sehingga RM100,000 setiap tahun.
  6. Pengeksport kini boleh menyimpan sebarang amaun perolehan eksport dalam mata wang asing mereka dengan bank berlesen tempatan. Had yang kini dikenakan antara AS$30 juta dan AS$100 juta dimansuhkan. Semua perolehan eksport terus dikehendaki untuk dibawa balik ke Malaysia.

C. Kemudahan Kredit Dalam Mata Wang Asing
Untuk memudahkan akses kepada dana dalam mata wang asing, had bagi perolehan kredit dalam mata wang asing oleh pemastautin daripada bukan pemastautin, bank berlesen tempatan dan bank saudagar berlesen telah ditingkatkan seperti yang berikut :-

  1. Syarikat pemastautin, berdasarkan setiap kumpulan korporat, kini boleh memperoleh kemudahan kredit dalam mata wang asing sehingga jumlah agregat bersamaan RM50 juta. Pinjaman mata wang asing yang boleh digunakan untuk pembiayaan pelaburan luar negeri adalah sehingga bersamaan RM10 juta.
  2. Had agregat untuk pinjaman dalam mata wang asing oleh individu juga ditingkatkan daripada bersamaan RM5 juta kepada RM10 juta. Dana tersebut boleh digunakan untuk sebarang tujuan, termasuk membiayai pelaburan luar negeri.

D. Perlindungan Nilai
Untuk meningkatkan kecekapan pengurusan risiko ke atas pendedahan dalam mata wang asing, peraturan ke atas perlindungan nilai juga diliberalisasikan lagi bagi membolehkan pemastautin serta bukan pemastautin untuk mengikat peraturan perlindungan nilai dengan bank berlesen tempatan seperti yang berikut :-

Pemastautin

  1. Sebarang urus niaga akaun semasa yang terikat atau dijangkakan.
  2. Sebarang pembayaran akaun modal yang terikat, termasuk pembayaran bagi pinjaman yang akan dibayar dalam tempoh 24 bulan, dan penerimaan yang terikat.
  3. Pendedahan mata wang asing bagi pelaburan luar negeri yang dibenarkan (melindung nilai ekuiti).

Bukan Pemastautin
Semua aliran masuk atau aliran keluar dana untuk urus niaga terikat.

E. Pinjaman Dalam Negeri oleh Syarikat Dikuasai oleh Bukan Pemastautin
Peraturan untuk pinjaman dalam negeri oleh syarikat yang dikuasai oleh bukan pemastautin diliberalisasikan sepenuhnya dengan pemansuhan had semasa RM50 juta serta keperluan nisbah penggearan 3:1.

Pendaftaran awal bagi tujuan statistik

Bagi tujuan pengumpulan statistik imbangan pembayaran ke atas aliran keluar dan masuk dana daripada negara, urus niaga yang melibatkan pelaburan luar negeri, perlindungan nilai dan kemudahan kredit dalam mata wang asing terus dikehendaki untuk dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia melalui proses pendaftaran. Secara ringkas, urus niaga yang diliberalisasi seperti yang berikut perlu didaftarkan : -

  • Penghantaran dana melebihi bersamaan RM50,000 dari Malaysia untuk pelaburan luar negeri;
  • Perolehan kemudahan kredit dalam mata wang asing melebihi RM1 juta; dan
  • Cadangan oleh pemastautin untuk mengikat kontrak tukaran asing hadapan bernilai melebihi bersamaan AS$10 juta bagi melindung nilai urus niaga akaun semasa berasaskan jangkaan serta semua urus niaga terikat di bawah urus niaga akaun modal.

Bank Negara Malaysia juga telah melancarkan Exchange Control Approval and Monitoring System (ECAMS) untuk penghantaran permohonan dalam talian bagi urus niaga yang berkaitan dengan peraturan pentadbiran pertukaran asing. Maklumat berkaitan peraturan pentadbiran pertukaran asing dan borang-borang permohonan/pendaftaran untuk penghantaran permohonan dalam talian boleh didapati daripada laman web Bank Negara Malayisa di www.bnm.gov.my/fxadmin

Liberalisasi ke atas kadar simpanan tetap
Berkuat kuasa dengan serta-merta, kadar faedah ke atas semua simpanan tetap oleh syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana dan bukan pemastautin akan ditentukan berdasarkan rundingan tanpa mengambil kira sebarang amaun simpanan, dan tidak lagi tertakluk pada kadar faedah minimum seperti yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.

Simpanan tetap bagi jumlah sehingga RM1 juta oleh individu, perusahan kecil dan sederhana, dan penyimpan lain untuk tempoh 1 hingga 12 bulan akan terus tertakluk pada kadar faedah minimum yang ditetapkan. Kadar faedah minimum tersebut kekal pada kadar 3% setahun bagi tempoh satu bulan dan 3.70% setahun bagi tempoh 12 bulan.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi meja bantuan di 03-2693 2617 atau 03-2691 6606 yang dibuka dari 24 Mac 2005 hingga 30 April 2005 pada waktu pejabat (9 pagi hingga 5 petang) pada hari Isnin hingga Jumaat. Orang ramai juga boleh mengemukakan pertanyaan mereka melalui alamat e-mail: ecams_jppa @bnm.gov.my atau melalui faksimili: 03-2694 3991, 03-2691 3266 atau 03-2693 7732.

 

Bank Negara Malaysia
23 Mac 2005

© Bank Negara Malaysia, 2010. All rights reserved.

 

Bookmark and Share

Last Updated Date: 23 March 2005


Terma Penggunaan | Kenyataan Privasi | Dasar Keselamatan | Penafian | Hubungi Kami 
1-300-88-5465 | SMS to 15888: BNM TANYA [your enquiry] | Email : bnmtelelink@ bnm.gov.my
© Bank Negara Malaysia, 2010. Hak Cipta Terpelihara