Print       Share


Mengenai BNM

Dasar Pemberian Maklumat


Pemberian Maklumat (Whistleblowing)

Bank berusaha melaksanakan urusannya dengan penuh integriti, cekap dan profesional dan pada masa yang sama terus beriltizam untuk mencapai tahap keberkesanan dan kecemerlangan tertinggi1. Oleh itu, adalah penting agar Bank dimaklumkan mengenai apa-apa kelakuan tidak wajar yang telah atau akan berlaku, yang akan menghalang pencapaian aspirasi tersebut.

Salah satu cara yang digunakan oleh Bank untuk mengesan dan menangani isu kelakuan tidak wajar adalah melalui maklumat yang diterima daripada pemberi maklumat (whistleblower). Pada amnya, pemberi maklumat ialah seseorang dalam sesebuah organisasi (contohnya kakitangan, jururunding atau vendor), yang melaporkan kelakuan tidak wajar dalam organisasi. Dalam usaha menggalakkan pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan menyampaikan maklumat mengenai apa-apa kelakuan yang dikatakan tidak wajar, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 merupakan saluran pelindung yang selamat untuk mereka melaporkan dengan jujur apa-apa kelakuan yang dikatakan tidak wajar (pemberian maklumat) kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Pihak berkuasa yang menerima laporan akan melindungi identiti pemberi maklumat dengan memberi mereka imuniti daripada tindakan sivil dan prosiding jenayah serta melindungi mereka daripada tindakan yang boleh memudaratkan mereka.

 

Penzahiran “kelakuan tidak wajar”

Penzahiran boleh dibuat kepada Bank jika berkaitan dengan “kelakuan tidak wajar”, yang telah dilakukan atau akan dilakukan, yang melibatkan:

  • kesalahan jenayah yang dilakukan oleh pegawai, kakitangan dan pengarah Bank, termasuk penipuan, rasuah atau penyalahgunaan kuasa;
  • salah guna dana atau aset Bank;
  • salah pengurusan yang nyata di Bank;
  • pelanggaran Kod Etika Bank oleh kakitangan Bank;
  • pelanggaran Kod Tatalaku Vendor oleh vendor Bank;
  • kegagalan mana-mana individu untuk mematuhi peruntukan undang-undang yang ditadbir Bank;
  • membantu individu untuk melakukan apa-apa perbuatan tidak wajar seperti yang dinyatakan di atas; dan
  • tindakan yang memudaratkan terhadap pemberi maklumat atau mereka yang berkait rapat dengan pemberi maklumat. 

Pemberi maklumat dinasihati supaya mempertimbangkan sama ada kelakuan yang dikatakan tidak wajar yang ingin mereka laporkan kepada Bank adalah termasuk dalam mana-mana keadaan yang dinyatakan di atas, sebelum membuat penzahiran. Pemberi maklumat juga perlu membuat pertimbangan sama ada penzahiran yang ingin dibuat dilarang secara khusus oleh mana-mana undang-undang bertulis seperti Akta Rahsia Rasmi 1972. Dalam hal ini, pemberi maklumat mungkin ingin mendapatkan nasihat undang-undang daripada pengamal perundangan terlebih dahulu sebelum membuat penzahiran kepada Bank.

 

Perlindungan yang diberikan

Sebagai badan berkanun yang diamanahkan dengan kuasa pengawalan, penyeliaan dan penguatkuasaan, Bank komited untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat seperti yang digariskan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan undang-undang yang ditadbir Bank.

Perlindungan berikut akan diberikan kepada pemberi maklumat yang menzahirkan kelakuan tidak wajar kepada Bank dengan jujur:

  • identiti dirahsiakan;
  • perlindungan daripada liabiliti sivil dan jenayah bagi penzahiran yang dibuat; dan
  • perlindungan daripada tindakan yang memudaratkan.
 
Pengecualian daripada Perlindungan

Pemberi maklumat juga diingatkan bahawa terdapat keadaan yang akan menyebabkan perlindungan mereka dibatalkan atau tidak diberikan. Perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat tidak merangkumi penzahiran yang berikut dan akan dibatalkan oleh Bank menurut seksyen 11 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010:

  • apabila penzahiran kelakuan tidak wajar adalah -
    • remeh atau menyusahkan;
    • pada dasarnya mempersoalkan merit dan dasar Kerajaan, termasuk dasar sesebuah agensi awam;
    • sedia diketahui oleh pemberi maklumat bahawa maklumat adalah palsu atau tidak berasas; atau
    • semata-mata atau sebahagian besarnya untuk mengelak daripada dibuang kerja atau dikenakan tindakan disiplin lain;
  • apabila pemberi maklumat terlibat dalam kelakuan tidak wajar yang dizahirkan;
  • apabila pemberi maklumat melakukan kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010; atau
  • apabila penzahiran kelakuan tidak wajar mengandungi maklumat yang dilarang secara khusus untuk dizahirkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis seperti Akta Rahsia Rasmi 1972.

Mana-mana individu yang menzahirkan kelakuan tidak wajar kepada Bank dan mengetahui atau mempercayai bahawa mana-mana kenyataan penting dalam penzahiran tersebut adalah palsu atau tidak berasas, dianggap telah melakukan kesalahan jenayah di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

 
Bagaimanakah untuk memberikan maklumat?

Sebarang penzahiran kelakuan tidak wajar yang melibatkan Bank perlu dibuat kepada mana-mana Individu Ditetapkan yang berkenaan melalui saluran komunikasi yang ditetapkan dalam jadual yang berikut:

Individu yang Dikatakan Bersalah

Individu Ditetapkan

Alamat E-mel

Surat

  • Gabenor

Pengerusi Jawatankuasa Risiko Lembaga

chairbrc_wb@bnm.gov.my

Surat yang telah digamkan dan mempunyai label seperti “Untuk dibuka oleh [nama Individu Ditetapkan] sahaja”, dan dihantarkan kepada -

[“Nama Individu Ditetapkan yang Berkenaan”]
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn,
50480 Kuala Lumpur, Malaysia

  • Mana-mana ahli Lembaga Pengarah Bank, termasuk Timbalan Gabenor
  • Mana-mana Penolong Gabenor
  • General Counsel
  • Pengarah LINK dan Pejabat BNM

Gabenor

gabenor_wb@bnm.gov.my

Mana-mana individu yang tidak dikenal pasti secara khusus dalam ruangan ini –

  • Kakitangan Bank yang lain
  • Institusi kewangan dan kakitangannya
  • Vendor dan kakitangannya

General Counsel

generalcounsel_wb@bnm.gov.my

 

Pengarah LINK dan Pejabat BNM

directorlink_wb@bnm.gov.my

Pemberi maklumat dinasihati untuk membuat penzahiran secara bertulis dan memberikan butiran yang lengkap, termasuk maklumat yang berikut:

  • jenis atau keterangan perihal kelakuan tidak wajar;
  • nama individu yang membuat atau terlibat dengan kelakuan tidak wajar; dan
  • ‘bagaimana’, ‘apa’, dan ‘di mana’ yang berkaitan dengan kelakuan tidak wajar dan disertakan dokumen sokongan atau bukti, sekiranya ada.

Pemberi maklumat digalakkan untuk memaklumkan identiti atau maklumat mereka untuk dihubungi bagi memudahkan Bank mendapatkan penjelasan atau maklumat lanjut untuk tujuan siasatan selanjutnya terhadap kelakuan tidak wajar. Dimaklumkan bahawa mana-mana individu yang memilih untuk merahsiakan identiti mereka tidak akan mendapat perlindungan yang lazimnya diberikan kepada pemberi maklumat, dan keupayaan Bank untuk membuat siasatan terhadap kelakuan yang dikatakan tidak wajar adalah terhad kepada kandungan laporan yang diterima oleh Bank.

Pemberi maklumat akan dimaklumkan oleh Individu Ditetapkan berhubung dengan hasil siasatan dan tindakan yang diambil, sekiranya ada, oleh pihak berkuasa disiplin yang berkenaan atau pihak berkuasa lain yang berkenaan, majikan atau individu lain yang berkenaan atau Pendakwa Raya, mengikut kes.

 
Pertanyaan atau aduan am

Sekiranya isi penzahiran adalah selain daripada “kelakuan tidak wajar”, contohnya pertanyaan am mengenai perbankan konvensional atau perbankan Islam atau aduan mengenai produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh mana-mana institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank, orang ramai boleh menghubungi BNMLINK atau BNMTELELINK untuk maklumat, pertanyaan atau bantuan penyelesaian selanjutnya melalui:

BNMLINK (Pusat Perkhidmatan Pelanggan)
Ground Floor, D Block
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur



BNM TELELINK (Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan)
Bank Negara Malaysia
P.O. Box 10922
50929 Kuala Lumpur
Tel: 1-300-88-5465



Waktu Urusan: 9.00 pagi – 5.00 petang (Isnin – Jumaat)

 


1 Bank juga menghendaki standard yang sama dipatuhi oleh institusi kewangan yang dikawalselianya.