Cetak       Kongsi


Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Syarikat yang Mengambil Deposit Secara Haram

Release Date: 20 Sep 2017

Satu operasi serbuan bersama telah dijalankan terhadap MGSB Berhad diketuai oleh Bank Negara Malaysia bersama-sama Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara (National Revenue Recovery Enforcement Team, NRRET), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 15 September 2017. MGSB Berhad telah diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Operasi serbuan bersama ini merupakan salah satu daripada langkah antara agensi yang berterusan untuk menghapuskan kegiatan skim kewangan haram.

Serbuan telah dibuat ke atas tujuh buah premis yang berkaitan dengan MGSB Berhad di Kajang, Bangi, Shah Alam dan Kuala Lumpur (Jalan Tun Razak) dan entiti berkaitannya (setiausaha syarikat dan firma guaman). Dokumen-dokumen yang berkenaan telah dirampas untuk membantu siasatan. Tiga pengarah syarikat yang disyaki menjadi perancang dan ejen aktiviti pengambilan deposit haram telah ditahan dan direman. Operasi serbuan bersama ini juga telah menyebabkan pembekuan 54 akaun bank dalam 11 buah bank dan rampasan wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing berjumlah lebih daripada RM700,000 di bawah AMLA.

Di bawah Seksyen 137(1) FSA, adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana individu untuk menerima deposit tanpa lesen. Siasatan berhubung pengubahan wang haram juga akan dijalankan di bawah AMLA. Sekiranya sabit kesalahan, seseorang individu itu boleh didenda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil daripada kegiatan haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, serta dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap syarikat tidak berlesen apabila ingin membuat pelaburan dan hendaklah merujuk senarai institusi kewangan berlesen di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my).

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.