Cetak       Kongsi


Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Syarikat yang Mengambil Deposit Secara Haram

Release Date: 29 Nov 2017

Satu operasi serbuan bersama telah dijalankan terhadap Koperasi Dinar Dirham Berhad pada 28 November 2017 dengan diketuai oleh Bank Negara Malaysia bersama-sama Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara (National Revenue Recovery Enforcement Team, NRRET), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Persatuan Koperasi Malaysia (SKM) dan Keselamatan Siber Malaysia (CSM). Koperasi Dinar Dirham Berhad disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Operasi serbuan bersama ini merupakan salah satu langkah antara agensi untuk menghapuskan kegiatan skim kewangan haram.

Sebanyak sembilan premis perniagaan yang berkaitan dengan Koperasi Dinar Dirham Berhad di Kuala Lumpur dan Selangor serta syarikat berkaitannya telah diserbu, dan dokumen yang berkenaan dirampas untuk membantu siasatan. Sebanyak enam pengarah syarikat yang disyaki menjadi dalang dan ejen kegiatan pengambilan deposit haram telah diberkas dan ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan. Operasi serbuan bersama ini juga telah merampas lapan buah kenderaan bernilai lebih daripada RM1.5 juta dan membekukan 114 akaun bank di 12 buah bank berjumlah RM15.3 juta di bawah AMLA. Sejumlah wang dalam Ringgit dan mata wang asing bernilai RM1.4 juta serta 22.5 kg barang berharga telah dirampas.

Pihak berkuasa juga sedang bekerjasama dengan Unit Risikan Kewangan Brunei untuk menyiasat operasi Syarikat berkenaan di Brunei atas kesalahan yang sama.

Di bawah seksyen 137(1) FSA, adalah menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang untuk mengambil deposit tanpa lesen. Siasatan terhadap kesalahan pengubahan wang haram akan dibuat mengikut peruntukan di bawah AMLA, yang jika sabit kesalahan individu tersebut boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram semasa kesalahan dibuat atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, dan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan syarikat pengambil deposit haram untuk tujuan pelaburan dan perlu merujuk kepada institusi kewangan berlesen yang tersenarai di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my) untuk maklumat lanjut.

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.