Cetak       Kongsi


Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Pengendali Perniagaan Perkhidmatan Wang Secara Haram di Kuala Lumpur

Release Date: 14 Feb 2019

Pada 12 Februari 2019, Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu lapan premis yang menjalankan urus niaga penukaran dan pengiriman wang tanpa lesen. Tindakan ini diambil berdasarkan peruntukan di bawah seksyen 7(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (APPW), yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1) APPW.

Mana-mana individu atau syarikat yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 4(1) APPW apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Dokumen-dokumen berkaitan dan peralatan computer telah disita untuk membantu siasatan. Serbuan dilakukan di beberapa premis di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman and Jalan Dato’ Keramat, Kuala Lumpur.

Entiti-entiti yang terlibat ialah:

  1. Anver Cahaya Enterprise (002422813-D)
  2. Kawzar Enterprise (002222493-K)
  3. Mabruk Mohaideen Enterprise (PG0413789-U)
  4. Nisha Khan Enterprise (002616692-V)
  5. Rifai Maju Enterprise (002689961-X)
  6. B First Resources (002581856-X)
  7. Money Me@Hotel Kita (945197-U)
  8. Nur Ekspress Enterprise (002392685-H)

Operasi serbuan ini dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Lima pendatang tanpa izin yang terlibat menjaga premis dan pelanggan kepada entiti tersebut telah ditahan untuk siasatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia atas kesalahan melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Serbuan ini adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan yang dilaksanakan oleh BNM untuk melindungi orang ramai daripada kemungkinan mengalami kerugian kewangan kerana berurusan dengan entiti tanpa lesen. Orang ramai dinasihati agar tidak menjalankan apa-apa urus niaga penukaran atau kiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang secara haram dan ejen mereka.

Mana-mana individu yang menjalankan urus niaga dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang secara haram akan bertanggungjawab atas risiko yang diambil oleh mereka. Tindakan undang-undang yang wajar juga boleh diambil oleh pihak berkuasa yang berkaitan terhadap mereka. Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada senarai pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen melalui laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my).

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.