Cetak       Kongsi


Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Pengendali Perniagaan Perkhidmatan Wang Haram di Kedah dan Perlis

Release Date: 08 Mar 2019

Pada 7 Mac 2019, Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuat pertuduhan terhadap empat individu di Mahkamah Sesyen Alor Setar dan Kangar kerana menjalankan aktiviti penukaran wang tanpa lesen di bawah seksyen 7 (1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA), yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA.

Dua daripada tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan dijatuhi hukuman denda dan penjara seperti yang berikut:

Mahkamah Sesyen Alor Setar

  1. Lee Boon Kian (KP: 600422-02-5187): Didenda sebanyak RM60,000 (penjara 12 bulan jika gagal membayar denda) untuk kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA. Di samping itu, beliau juga didenda sebanyak RM30,000 (penjara 6 bulan jika gagal membayar denda) kerana menggunakan perkataan 'perniagaan perkhidmatan wang' tanpa mendapat kelulusan, iaitu suatu kesalahan di bawah seksyen 23 (1) MSBA.
  2. Lee Ai Choo (KP: 681231-02-5480): Didenda sebanyak RM60,000 (penjara 12 bulan jika gagal membayar denda).

Di Mahkamah yang sama, tertuduh yang lain, Kok Eng Huat (KP: 561227-02-5545) menuntut dibicarakan dan Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan satu penjamin. Tarikh sebutan seterusnya ditetapkan pada 28 Mac 2019.

Mahkamah Sesyen Kangar

  1. Tertuduh, Chin Foh Lean (KP: 501227-02-5284) menuntut dibicarakan dan Mahkamah menetapkan ikat jamin RM50,000 dengan satu penjamin. Tarikh sebutan seterusnya ditetapkan pada 9 April 2019.

Mata wang asing yang dijumpai di dalam premis itu juga dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Premis yang dikendalikan oleh individu-individu tersebut di atas di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis diserbu pada 3 Mac 2019 dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia. Serbuan ini merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan yang berterusan oleh BNM untuk melindungi orang ramai daripada kemungkinan kerugian kewangan apabila berurusan dengan entiti tidak berlesen. Oleh itu, orang ramai dinasihati untuk tidak berurusan atau melakukan apa-apa urus niaga penukaran wang atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram dan ejen-ejen mereka.

Mana-mana orang yang menjalankan urus niaga dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram melakukannya dengan risiko akan mengalami kerugian kewangan, dan tindakan undang-undang yang wajar akan diambil terhadapnya oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Orang ramai dinasihati merujuk senarai pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen melalui laman sesawang BNM (www.bnm.gov.my).

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.