Print       Share


Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Pengendali Perniagaan Perkhidmatan Wang Secara Haram di Sibu, Sarawak

Release Date: 08 May 2019

Pada 3 Mei 2019, Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuat pertuduhan terhadap lima individu di Mahkamah Sesyen Sibu kerana menjalankan aktiviti pengiriman wang secara haram tanpa lesen di bawah seksyen 7(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA), yang merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA dan penggunaan frasa “perniagaan perkhidmatan wang” tanpa kebenaran yang melanggar seksyen 23(1) MSBA.

Semua yang tertuduh mohon dibicarakan dan Mahkamah menetapkan ikat jamin seperti yang berikut:

  1. Hu Peng Hing (No. K.P.: 851008-13-6531) mohon dibicarakan untuk dua pertuduhan terhadapnya dan Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada Mahkamah. Ikat jamin tambahan sebanyak RM80,000 akan dikenakan dan Waran Tangkap akan dikeluarkan sekiranya tertuduh gagal hadir di Mahkamah semasa pengurusan kes.
  2. Tiong Kung Ing (No. K.P.: 741031-13-5169) pemilik Add Me Telecommunication Trading mohon dibicarakan untuk dua pertuduhan terhadapnya dan Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada Mahkamah. Ikat jamin tambahan sebanyak RM80,000 akan dikenakan dan Waran Tangkap akan dikeluarkan sekiranya tertuduh gagal hadir di Mahkamah semasa pengurusan kes.
  3. Maria Linda Antoni (No. Pasport: AT854566), mohon dibicarakan untuk dua pertuduhan terhadapnya dan Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada Mahkamah. Ikat jamin tambahan sebanyak RM80,000 akan dikenakan dan Waran Tangkap akan dikeluarkan sekiranya tertuduh gagal hadir di Mahkamah semasa pengurusan kes.
  4. Ting Ling Ling (No. K.P.: 890728-13-5854) pemilik Liang Liang Mobile Trading Co mohon dibicarakan untuk dua pertuduhan terhadapnya dan Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada Mahkamah.
  5. Matthew Ngu Yew Mieng (No.K.P.: 940207-13-5587) mohon dibicarakan dan Mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada Mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes bagi kesemua kes pada 21 Jun 2019.

Mata wang asing yang dijumpai di dalam premis itu juga dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 29 April 2019, BNM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia telah membuat serbuan terhadap lapan pengendali kiriman wang haram di pelbagai lokasi di Sibu, Sarawak.  Serbuan ini merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan yang berterusan oleh BNM untuk melindungi orang ramai daripada kemungkinan mengalami kerugian kewangan apabila berurusan dengan entiti tidak berlesen. Oleh itu, orang ramai dinasihati untuk tidak berurusan atau melakukan apa-apa urus niaga penukaran wang atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang secara haram dan ejen-ejen mereka.

Mana-mana individu yang menjalankan urus niaga dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen akan mendedahkan diri mereka pada risiko kerugian kewangan dan tindakan undang-undang boleh diambil oleh pihak berkuasa yang berkenaan terhadap mereka. Orang ramai dinasihati merujuk senarai pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen melalui laman sesawang BNM (www.bnm.gov.my).

 

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.