Print       Share


Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Rangkaian Pengendali Perniagaan Perkhidmatan Wang Haram

Release Date: 02 Aug 2019

Pada 1 Ogos 2019, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan operasi serbuan terhadap rangkaian pengendali perniagaan perkhidmatan (MSB) wang haram di Lembah Klang dan Pulau Pinang, yang disyaki membantu aktiviti pengiriman wang haram, terutamanya untuk pelanggan dan peniaga asing.

Rangkaian ini disiasat kerana kesalahan yang disyaki menjalankan aktiviti MSB tanpa lesen di bawah seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Serbuan itu dilakukan di lapan premis yang berkaitan dengan Magmatrans (M) Sdn Bhd, Vonstar Resources Sdn Bhd dan Vonstar Sdn Bhd yang terletak di:

  1. Jalan Silang di Kuala Lumpur
  2. Puchong, Selayang, Balakong dan Klang di Selangor
  3. Georgetown dan Bukit Mertajam di Pulau Pinang

Operasi ini menyebabkan 35 akaun bank dibekukan dan wang tunai dan harta tanah berjumlah RM4 juta disita, bersama-bersama dengan dokumen, komputer dan telefon bimbit yang berkaitan dengan aktiviti tersebut. Sebanyak 14 individu telah disoal siasat untuk membantu siasatan.

Di samping itu, 22 pendatang tanpa izin, yang disyaki kakitangan dan pelanggan pengendali haram itu ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Mereka yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan di bawah seksyen 4(1) AMLA, individu yang didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil aktiviti atau instrumen yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan mana-mana pengendali MSB haram untuk menghantar wang. Sesiapa yang terlibat tidak akan dilindungi daripada kerugian kewangan sekiranya berlaku pertikaian. Orang ramai harus menjalankan urus niaga mereka dengan perniagaan perkhidmatan wang berlesen, yang disenaraikan di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my).

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.