Cetak       Kongsi


Kemudahan Tempahan dan Pembayaran Dalam Talian bagi Pembelian Wang Peringatan yang Dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia

Release Date: 19 Aug 2019

Bank Negara Malaysia (Bank) ingin mengumumkan penyediaan kemudahan tempahan dan pembayaran dalam talian bagi pembelian wang peringatan yang dikeluarkan oleh Bank bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong Keenam Belas.

Tempahan Dalam Talian
Orang ramai boleh membuat tempahan mereka melalui laman sesawang  https://duit.bnm.gov.my mulai 19 Ogos 2019 (9.00 pagi) hingga 23 Ogos 2019 (11.00 malam). Sekiranya terdapat tempahan yang berlebihan, cabutan untuk menentukan tempahan yang berjaya akan dibuat. Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian Bank Negara Malaysia sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. 

Bayaran
Bagi memudahkan tempahan, semua tempahan perlu dibayar sepenuhnya secara dalam talian (e-pembayaran) dengan menggunakan kad kredit / kad debit atau kemudahan perbankan dalam talian. Bayaran bagi tempahan yang tidak berjaya akan dikembalikan kepada pembeli melalui kaedah e-pembayaran yang digunakan semasa tempahan. Bayaran mungkin dikembalikan kepada pembeli sebelum pengumuman keputusan tempahan.

Had Tempahan Dalam Talian
Bagi memberikan peluang yang sama rata kepada semua, had pembelian bagi setiap pembeli ditetapkan seperti yang berikut:

Jenis

Had Tempahan

Emas

1

Perak

1

Emas Nordic

3

Set dua dalam satu
Perak dan Emas Nordic

1

Pengumuman Keputusan Tempahan
Keputusan tempahan akan diumumkan pada 17 September 2019 di laman sesawang https://duit.bnm.gov.my. Pembeli boleh mengetahui keputusan tempahan mereka dengan membuat log masuk berdaftar sama seperti semasa membuat tempahan.

Pengambilan
Pembeli yang berjaya boleh mengambil wang peringatan yang ditempah antara 30 September hingga 11 Oktober 2019 di lokasi pengambilan yang mereka pilih semasa membuat tempahan. Pengambilan boleh dibuat pada hari dan waktu bekerja biasa di Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia (Blok D) dan di Pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia di seluruh negara. Pembeli perlu hadir dan menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah (contohnya, MyKad bagi warganegara Malaysia atau Pasport bagi bukan warganegara Malaysia) semasa mengambil wang peringatan. Pasport Malaysia TIDAK diterima sebagai bukti pengenalan diri bagi pengambilan wang peringatan.

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.