Print       Share


Empat Pengarah MGSB Berhad Mengaku Bersalah Terhadap Kesalahan Mengambil Deposit Secara Haram dan Menjalankan Aktiviti Pengubahan Wang Haram

Release Date: 23 Aug 2019

MGSB Berhad dan empat pengarahnya dibicarakan di bawah seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA), mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang pada 22 Ogos 2019 atas kesalahan mengambil wang daripada pendeposit tanpa lesen yang sah di bawah seksyen 10 FSA dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman seperti yang berikut:

A. Pertuduhan di bawah seksyen 137(1) FSA:

MGSB Berhad didenda RM5 juta, sementara pengarah-pengarahnya, Hisyamuddin Che Ali dan Ahmad Zalimi Mohd Ali masing-masing dihukum penjara dua tahun dan denda RM1 juta (enam bulan penjara jika gagal membayar denda) dan Halimatun Saadiah Che Omar dihukum penjara selama  satu tahun dan denda RM1 juta (enam bulan penjara jika gagal membayar denda).

B. Pertuduhan di bawah seksyen 4(1) AMLA:

MGSB Berhad didenda sebanyak RM288 juta, sementara pengarah-pengarahnya, Ahmad Zalimi Mohd Ali, Halimatun Saadiah Che Omar dan Nur Ain Aliana Mat Azmi masing-masing dihukum penjara dua tahun bagi setiap tiga pertuduhan dan denda sebanyak RM288 juta (satu tahun penjara jika gagal membayar denda). Hisyamuddin Che Ali dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi setiap lima pertuduhan dan denda sebanyak RM298 juta (satu tahun penjara jika gagal membayar denda).

Kesalahan di bawah FSA dan AMLA akan dijalankan secara berasingan.

Orang ramai diingatkan supaya tidak menyimpan wang atau deposit dengan institusi yang tidak berlesen atau terlibat dengan sebarang bentuk skim cepat kaya bagi mengelakkan kehilangan wang mereka. Senarai institusi yang dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia untuk menerima deposit boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berhubung dengan skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia di Laman Sesawang Amaran Penipuan Kewangan (http://fraudalert.bnm.gov.my).

Untuk pertanyaan lanjut orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di pusat hubungan yang berikut:

Laman Maklumat Nasihat dan Khidmat (BNMLINK)
(Pusat Khidmat Pelanggan)
Tingkat B, Blok D
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur

Telefon  : 1-300-88-5465 (BNMTELELINK)
E-mel    : bnmtelelink@bnm.gov.my

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.