Print       Share


Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Syarikat yang Disyaki Menggunakan Perkataan "Bank" Tanpa Kelulusan

Release Date: 29 Oct 2019

Satu operasi serbuan telah dijalankan ke atas RSI International Berhad (1163501-P) di Cheras pada 23 Oktober 2019. RSI International Berhad disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 139(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kerana menggunakan perkataan “bank” di papan tanda premis pejabat tanpa kelulusan bertulis daripada Bank Negara Malaysia. Semasa serbuan, dokumen-dokumen yang berkaitan dan komputer telah dirampas bagi membantu siasatan.

Di bawah seksyen 139(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana individu yang menggunakan perkataan “bank” tanpa kelulusan bertulis kecuali individu tersebut diberikan lesen di bawah Akta ini untuk menjalankan perniagaan perbankan atau perniagaan perbankan pelaburan. Sekiranya disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lapan tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM25 juta atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dinasihati supaya berwaspada terhadap syarikat-syarikat tidak berlesen yang menggunakan perkataan “bank” tanpa mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Bank Negara Malaysia dan perlu merujuk senarai institusi kewangan berlesen yang terdapat di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my).

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.