Cetak       Kongsi


Pelantikan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia

Release Date: 02 Dec 2019

Bank Negara Malaysia (Bank) mengumumkan pelantikan Dato’ Abdul Rauf Rashid dan pelantikan semula Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour dan Puan Yoong Sin Min sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia (Jawatankuasa Eksekutif) berikutan tamat tempoh keanggotaan ahli bukan ex-officio. Pelantikan ini selaras dengan Seksyen 37(2) Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA 2009). Kesemua pelantikan ini berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun bermula 3 November 2019 hingga 2 November 2022.

Jawatankuasa Eksekutif ini terdiri daripada tujuh orang ahli, dengan kebanyakannya  terdiri daripada ahli bukan eksekutif yang tidak terlibat dengan pengurusan Bank.

  1. Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus
    Gabenor dan Pengerusi
  1. Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir
    Ketua Setiausaha Perbendaharaan
  1. Datuk Syed Zaid Albar
    Pengerusi, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
  1. Encik Rafiz Azuan Abdullah
    Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia
  1. Datuk Abdul Rasheed Ghaffour
    Timbalan Gabenor
  1. Puan Yoong Sin Min
    Rakan Kongsi, Firma Guaman Messr Shook Lin & Bok
  1. Dato’ Abdul Rauf Rashid
    Pengarah Urusan, Ernst & Young Malaysia

Jawatankuasa Eksekutif ini ditubuhkan pada tahun 2010 menurut Seksyen 37 CBA 2009 dan pada amnya bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun. Tujuan utama penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk membantu Bank melaksanakan mandat berkanunnya bagi memelihara kestabilan kewangan, melalui kuasa yang dipegang untuk menentukan langkah-langkah dasar tertentu yang boleh diambil oleh Bank bagi menghindari atau mengurangkan risiko terhadap kestabilan kewangan. Jawatankuasa Eksekutif ini merupakan komponen utama rangka kerja akauntabiliti yang telah diinstitusikan untuk melaksanakan kuasa kestabilan kewangan yang luas yang diberikan kepada Bank di bawah CBA 2009. Jawatankuasa ini bertanggungjawab memastikan langkah-langkah yang dicadangkan dalam bidang kuasanya adalah wajar setelah mempertimbangkan penilaian risiko oleh Bank terhadap kestabilan kewangan.

 

Profil ahli baharu dan ahli yang dilantik semula Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia:

 

Datuk Abdul Rasheed Ghaffour

Datuk Abdul Rasheed Ghaffour merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia. Beliau bertanggungjawab terhadap pembangunan keseluruhan sektor kewangan Malaysia, termasuk fungsi perbankan, insurans dan pembayaran serta pembangunan perbankan Islam dan takaful. Beliau juga bertanggungjawab terhadap Sektor Monetari dan Ekonomi di Bank, dan ini termasuk hubungan antarabangsa dan perkhidmatan statistik. Beliau merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Pengurusan, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko Bank Negara Malaysia.  Sepanjang 30 tahun berkhidmat di Bank, beliau terlibat dalam bidang-bidang utama perbankan pusat, termasuk perumusan dasar dalam pembangunan sektor kewangan, pengawasan kewangan dan dasar kehematan untuk sektor perbankan dan insurans.

 

Puan Yoong Sin Min

Puan Yoong menyertai firma guaman Messrs Shook Lin & Bok pada tahun 1985 dan menjadi rakan kongsi firma ini pada tahun 1992. Beliau merupakan peguam di Malaysia dan Singapura. Beliau juga merupakan peguam yang membuat litigasi (litigation) dalam pertikaian sivil – dengan kepakaran khusus dalam bidang litigasi perbankan dan kewangan. Puan Yoong mempunyai pengalaman yang luas dalam isu-isu sektor kewangan, termasuk hal-hal yang berkaitan dengan kewangan Islam, sekuriti hutang swasta, perbankan pelaburan, penerimaan dan insolvensi. Beliau terlibat dalam isu-isu berkaitan dengan perintah peletakan hak susulan beberapa penggabungan bank serta peletakan hak pinjaman tidak berbayar bank kepada institusi bukan bank. Beliau merupakan ahli majlis mesyuarat Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia (Insolvency Practitioners Association of Malaysia, IPAM) dan telah mendapat pengiktirafan daripada beberapa penerbitan terkemuka termasuk Legal500, Chamber and Partners dan Asialaw Profiles.

 

Dato’ Abdul Rauf Rashid

Dato’ Abdul Rauf merupakan Rakan Kongsi Pengurusan Negara Ernst & Young (EY) Malaysia dan juga Rakan Kongsi Pengurusan EY Asean Assurance. Beliau memulakan kerjaya profesionalnya di United Kingdom dan mempunyai pengalaman profesional selama lebih 27 tahun dalam khidmat nasihat jaminan dan perniagaan di Malaysia dan luar negara. Beliau telah menyumbangkan pelbagai jenis khidmat nasihat jaminan dan perniagaan ke serata industri perkhidmatan kewangan. Antara kliennya ialah bank, pengendali insurans dan takaful, pengurus dana, skim pencen pekerjaan dan syarikat pelaburan. Sebagai  ahli Malaysian Accounting Standards Board (MASB) Standing Committee on Islamic Financial Reporting, beliau menerajui EY dalam bidang perkhidmatan kewangan Islam. Selain itu, beliau merupakan ahli Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan menganggotai majlis Malaysian Institute of Accountants (MIA). Beliau merupakan ahli majlis Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) - menyandang jawatan Presiden antara bulan Jun 2014 hingga Jun 2017. Beliau kini merupakan Alternate Chairman sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab membuat penyiasatan.

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.