Maklumat Pengguna

 
> Maklumat Pengguna > Panduan Kepada Orang Ramai Dan Pengguna Berkaitan Isu-Isu Kewangan
 

Pautan Pantas:

ISU PERBANKAN 

Baca terma dan syarat perjanjian dengan teliti
Anda perlu membaca dan memahami terma dan syarat perjanjian sesuatu produk sama ada berkaitan pinjaman atau pelaburan terlebih dahulu sebelum menandatangani sebarang dokumen yang berkaitan.

Tanggungjawab sebagai penjamin
Anda perlu fahami tanggungjawab dan kewajipan anda sebagai penjamin. Sebagai penjamin, anda terikat secara undang-undang untuk membayar balik pinjaman sekiranya peminjam tidak menjelaskan pinjaman tersebut.

Pendedahan maklumat kewangan
Jangan mendedahkan maklumat kewangan anda seperti nombor akaun, nombor kad kredit, kata laluan akaun dan sebagainya kepada pihak ketiga sama ada melalui telefon, e-mel atau mana-mana pautan di laman web.

Transaksi di mesin ATM
Jangan membenarkan pihak ketiga melakukan transaksi di mesin ATM bagi pihak anda walaupun orang yang dikenali seperti pasangan anda.

Transaksi kad kredit
Kad kredit hendaklah digunakan sebagai kemudahan membuat bayaran dan digunakan mengikut kemampuan. Selepas sebarang transaksi menggunakan kad kredit, pastikan jumlah yang dimasukkan adalah betul dan pastikan kad kredit yang dipulangkan adalah kepunyaan anda.

Penyerahan dokumen
Berwaspada sebelum menyerahkan salinan kad pengenalan atau pasport kepada pihak ketiga selain daripada institusi kewangan atau peguam-peguam yang bertindak bagi pihak anda.

Kemudahan perbankan internet
Jangan terpedaya untuk membuka akaun kemudahan perbankan internet hanya untuk membolehkan anda menerima hadiah atau hadiah warisan dari mana-mana pihak yang tidak dikenali. Ini merupakan satu cubaan penipuan! Jika anda telah berbuat demikian, segera hubungi dan laporkan kepada bank anda dan pihak polis untuk tindakan lanjut serta maklumkan kepada Bank Negara Malaysia.

Fungsi "memory cache"
Sila pastikan anda log keluar (log-out) secara sempurna selepas selesai menggunakan perbankan internet dan padamkan "memory cache" selepas sebarang transaksi dilakukan. 

^kembali ke atas

ISU INSURANS

Baca kontrak polisi dengan teliti
Anda perlu membaca dan memahami terma dan syarat polisi selepas menerima kontrak polisi daripada syarikat insurans. Anda diberi masa selama 15 hari daripada tarikh penerimaan untuk meneliti kandungan polisi. Gunakan peluang ini untuk memastikan maklumat adalah betul dan polisi tersebut menepati keperluan anda. Anda hendaklah memahami had-had atau klausa pengecualiannya. Jika perlu, dapatkan penerangan lanjut daripada syarikat insurans atau ejennya.

Kepentingan pendedahan
Anda mestilah mendedahkan semua fakta dalam borang permohonan anda sepenuhnya. Sekiranya ejen anda mengisikan borang permohonan untuk anda, baca dan fahamilah keperluan dalam borang tersebut sebelum anda menandatangani borang tersebut. Jika tidak, polisi insurans anda mungkin terbatal atau syarikat insurans boleh menolak tuntutan anda.

Pembelian polisi insurans
Anda boleh membeli polisi insurans samada terus daripada syarikat insurans, melalui ejen insurans yang sah, atau bank/institusi kewangan yang mempunyai urusan bankasurans dengan syarikat insurans. Sekiranya anda membeli polisi insurans melalui ejen, pastikan beliau adalah ejen yang sah bagi mana-mana syarikat insurans. Jika anda ragu-ragu, minta bukti pendaftaran/kad kuasa ejen tersebut atau terus hubungi syarikat insurans berkenaan. Semua ejen yang sah adalah berdaftar samada di bawah Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) atau Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Pembayaran premium
Anda mempunyai pilihan untuk membayar premium terus kepada syarikat insurans atau melalui ejen. Anda hendaklah memastikan pembayaran dibuat atas nama syarikat insurans dan pastikan anda menerima resit rasmi daripada syarikat insurans. Sekiranya boleh, elakkan daripada membuat pembayaran secara tunai kepada ejen.

^kembali ke atas

SKIM CEPAT KAYA

Pelaburan dan pengambilan deposit
Sekiranya anda ingin membuat pelaburan, pastikan syarikat-syarikat berkenaan mempunyai lesen yang SAH yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Sila hubungi BNM di talian 1-300-88-5465, SC (03-62048999/03-62048777) dan KPDNKK (1-800-886-800) untuk mengenal pasti status syarikat-syarikat tersebut.

Pulangan pelaburan yang tinggi
Berhati-hati dengan sebarang strategi pemasaran yang menjanjikan keuntungan atau pulangan yang tinggi tanpa risiko. Pulangan yang tinggi mempunyai risiko yang tinggi. Pastikan anda mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai syarikat tersebut.

SMS atau panggilan palsu
Jika anda menerima sebarang SMS atau panggilan melalui telefon bimbit anda yang menjanjikan hadiah wang tunai yang lumayan dengan syarat anda terus menelefon nombor yang diberi di dalam SMS atau panggilan tersebut, anda perlu mengesahkan terlebih dahulu dengan menghubungi pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia. Sentiasa berhati-hati dengan panggilan sebegini.

^kembali ke atas
 
 
Bookmark and Share
Last Updated Date : 16 April 2010
 

Sentiasa Berhubung

FacebookFacebook
Berinteraksi dengan kami.
TwitterTwitter
Ikuti perkembangan terkini.
 
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013