Cetak       Kongsi


Pembangunan Sektor Kewangan

Rangkuman Kewangan

Rangkuman kewangan merupakan teras penting dalam menyokong peranan pembangunan Bank Negara Malaysia bagi memastikan setiap aktiviti ekonomi, kawasan geografi dan segmen masyarakat mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan. Rangkuman kewangan termasuk memastikan orang ramai mempunyai akses kepada pembiayaan, perkhidmatan kewangan, bantuan penyelesaian kewangan dan maklumat kewangan.

 

Akses kepada Pembiayaan



Inisiatif akan terus diambil untuk memastikan supaya individu dan entiti perniagaan yang berdaya maju mempunyai akses kepada pembiayaan yang mencukupi. Khususnya, Bank Negara Malaysia telah menubuhkan satu mekanisme yang komprehensif untuk memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai akses kepada pembiayaan secara berterusan. Ini termasuk mewujudkan pengaturan institusi, mengukuhkan penyedia perkhidmatan kewangan, membangunkan rangka kerja institusi pembiayaan mikro, mewujudkan dana dan skim pembiayaan khas serta meningkatkan jangkauan dan kesedaran.

 

Inisiatif juga telah diambil untuk memastikan akses yang berterusan kepada pembiayaan melalui pasaran modal, yang berfungsi sebagai sumber alternatif untuk pembiayaan korporat. Ini termasuk penubuhan Danajamin Nasional Berhad untuk menyediakan penambahbaikan kredit kepada syarikat korporat bagi meningkatkan keupayaan mereka memanfaatkan pasaran bon. Hasil daripada inisiatif pengawalseliaan, pembinaan infrastruktur dan liberalisasi dasar pertukaran asing yang berterusan, pasaran modal Malaysia telah meningkatkan keluasan dan kedalamannya  sekali gus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pembiayaan jangka sederhana dan panjang sektor awam dan swasta. Sehingga kini, pasaran bon Malaysia adalah yang ketiga terbesar di Asia selepas Jepun dan Korea.

 

Akses kepada Perkhidmatan Kewangan

 

Bank Negara Malaysia menggalakkan program jangkauan yang meluas melalui pembukaan rangkaian cawangan bank yang lebih banyak untuk meningkatkan akses orang ramai kepada perkhidmatan kewangan. Berdasarkan kajian Bank Dunia, dianggarkan bahawa kira-kira 80%1 penduduk Malaysia mempunyai akses kepada akaun simpanan. Selain daripada cawangan yang ada, bank perdagangan secara proaktif memanfaatkan saluran penyampaian alternatif seperti perbankan mudah alih dan unit bergerak untuk menambah kecekapan jangkauan sambil mengekalkan kos urus niaga pada kadar yang munasabah.

Usaha menambah baik akses kepada perkhidmatan kewangan juga bertujuan untuk memastikan orang ramai mempunyai akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan pada kos yang berpatutan. Institusi perbankan juga dikehendaki  menawarkan akaun simpanan asas dan akaun semasa asas pada kos yang minimum kepada semua rakyat Malaysia dan penduduk tetap. Institusi perbankan juga dikehendaki untuk menyiarkan dan memberi maklumat mengenai yuran, caj dan komisen yang dikenakan ke atas produk dan perkhidmatan.

 

Akses kepada Bantuan Penyelesaian Kewangan dan Akses kepada Maklumat Kewangan

 

Untuk melindungi kepentingan dan meningkatkan keupayaan kewangan pengguna, Bank Negara Malaysia menyediakan pelbagai saluran kepada pengguna untuk membuat tuntutan kewangan dan menangani isu-isu berkaitan pengguna.

Bagi membantu pengguna membuat keputusan yang wajar seiring dengan keperluan dan kemampuan mereka, pelbagai usaha telah diperkenalkan. Ini bertujuan untuk meningkatkan tahap celik pengguna melalui Program Pendidikan Pengguna yang komprehensif.  Ini bertujuan untuk menyediakan pengguna dengan akses kepada maklumat yang relevan mengenai produk dan perkhidmatan kewangan serta memberikan pendidikan yang mencukupi kepada pengguna agar mereka memahami risiko dan obligasi yang terlibat.

Untuk mengetahui inisiatif yang berkaitan dengan akses kepada Bantuan Penyelesaian kewangan dan maklumat kewangan, rujuk seksyen Maklumat Pengguna.


1 Anggaran ini berdasarkan kaedah yang disiarkan dalam Honohan, P., 2008, Perbezaan Merentas Negara bagi Akses Isi Rumah kepada Perkhidmatan Kewangan, Jurnal Perbankan & Kewangan dan digunakan dalam penerbitan Bank Dunia - Finance for all: Policies & Pitfalls in Expanding Access (2008).