Administered Legislation

 
Akta Takaful 1984
 
  singa 

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 312

Akta Takaful 1984

 

 

  Tarikh Persetujuan Diraja 24-Dec-1984  
  Tarikh diterbitkan dalam Warta 31-Dec-1984  

                                           
  Suatu Akta bagi mengadakan peruntukan mengenai kawalan perniagaan takaful di Malaysia dan bagi lain–lain tujuan yang berhubungan dengan atau berkaitan dengan takaful.  
    [1st Januari 1985]  
 
  SUSUNAN SEKSYEN  
  BAHAGIAN I

PERMULAAN

 
1. Tajuk ringkas.  
2. Tafsiran.  
3. Pengelasan perniagaan takaful dan pentafsiran sebutan–sebutan mengenai perkara–perkara yang berkaitan dengan takaful.  
  BAHAGIAN II

PERJALANAN PERNIAGAAN TAKAFUL

Sekatan am ke atas pengendali takaful

 
4. Kehendak–kehendak bagi menjalankan perniagaan sebagai pengendali takaful.  
5. Mengemukakan diri sebagai pengendali takaful berdaftar.  
6. Penggunaan perkataan “takaful”.  
7. Pemeriksaan ke atas orang yang disyaki menjalankan perniagaan takaful.  
8. Pendaftaran pengendali takaful oleh Ketua Pengarah.  
9. Fee pendaftaran tahunan.  
10. Syarat–syarat pendaftaran.  
11. Pembatalan pendaftaran.  
12. Kesan pembatalan pendaftaran.  
13. Deposit.  
14. Waad bank sebagai ganti deposit.  
15. Daftar sijil takaful.  
16. Penubuhan dan penyenggaran kumpulan wang takaful, dan peruntukan lebihan.  
17. Kehendak–kehendak tentang aset kumpulan wang takaful.  
18. Sekatan–sekatan ke atas bayaran dividen dan pemberian pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit dan kemudahan pembiayaan.  
19. Penzahiran kepentingan oleh pengarah.  
20. Kehendak–kehendak tentang dokumen yang menerangkan hak aset kumpulan wang takaful.  
21. Penubuhan dan penyenggaraan kumpulan wang skim jaminan takaful dan bayaran wang dari kumpulan wang itu.  
22. Penguatkuasaan keperluan mengenai daftar sijil dan kumpulan wang takaful dan bayaran levi oleh pengendali.  
23. Takaful semula.  
24. Bayaran dalam mata wang Malaysia bagi wang perpaduan di bawah sijil perpaduan keluarga.  
25. Mengambil alih risiko oleh pengendali.  
26. Pernyataan khilaf tentang umur dan tak mengelak penyertaan.  
27. Mengawal borang cadangan, sijil dan risalah.  
28. Pernyataan, janji atau ramalan mengelirukan yang mendorong orang untuk membuat kontrak takaful.  
29. Kehendak–kehendak berkenaan dengan prospektus dan kenyataan modal.  
30. Membuat pejabat cawangan.  
31. Kehilangan kelayakan pengarah urusan, pengarah, ketua eksekutif, pegawai utama atau pengawal pengendali.  
32. Kewajipan memberitahu pertukaran pengarah urusan, pengarah, ketua eksekutif atau pegawai utama.  
33. Kuasa untuk memeriksa, menghendaki maklumat, dsb.  
34. Pertukaran dalam kawalan pengendali.  
35. Ejen dan broker takaful.  
36. Orang perantaraan dalam transaksi takaful.  
37. Melesenkan broker.  
38. Ajuster.  
39. Pemeriksaan ke atas orang yang disyaki bertindak, mengemukakan dirinya sebagai broker atau ajuster.  
40. Kecualian bagi keesahan perakuan.  
  BAHAGIAN IIA

PERNIAGAAN TAKAFUL ANTARABANGSA

 
40A. Kehendak bagi menjalankan perniagaan sebagai pengendali takaful antarabangsa.  
40B. Pendaftaran pengendali takaful antarabangsa oleh Ketua Pengarah.  
40C. Wang modal atau wang kerja bersih minimum.  
40D. Kuasa Menteri untuk mengubah suai peruntukan tertentu yang hendak dijadikan terpakai bagi pengendali takaful antarabangsa.  
  BAHAGIAN III

PENYATA, PENYIASATAN, PENGGULUNGAN DAN PEMINDAHAN PERNIAGAAN

 
41. Akaun tahunan dan audit.  
42. Penyiasatan aktuari dan laporan tentang perniagaan perpaduan keluarga.  
43. Kuasa untuk menghendaki penyata di bawah seksyen 41dan 42 dibetulkan.  
44. Peruntukan tambahan mengenai penyata di bawah seksyen 41 dan 42.  
45. Penyata perubahan dalam butir–butir pendaftaran.  
46. Penyiasatan hal–ehwal pengendali takaful.  
47. Kuasa Ketua Pengarah untuk mengeluarkan arahan.  
48. Peruntukan am mengenai penggulungan.  
49. Peruntukan khas bagi pengendali takaful yang diarahkan supaya menghentikan perniagaan takaful.  
50. Koperasi menjalankan perniagaan takaful.  
51. Skim bagi pemindahan perniagaan.  
52. Pengesahan skim.  
53. Dokumen–dokumen hendaklah difailkan apabila skim disahkan.  
  BAHAGIAN IV

PELBAGAI DAN AM

 
53A. Nasihat Majlis Penasihat Syariah.  
54. Bank Negara bertanggungjawab terhadap pentadbiran, dll. Akta ini dan Gabenor Bank Negara sebagai Ketua Pengarah Takaful.  
55. Indemniti.  
55A. Pegawai-pegawai yang disifatkan sebagai pengkhidmat-pengkhidmat awam.  
56. Laporan tahunan.  
57. Statistik.  
58. Penyampaian notis.  
59. Kerahsiaan dan penalti.  
59A. Pengecualian.  
60. Peruntukan am mengenai kesalahan.  
61. Mengkompaun kesalahan.  
62. Pendakwaan.  
63. Bidang kuasa mahkamah.  
64. Keupayaan kanak–kanak untuk turut serta.  
65. Bayaran tuntutan perpaduan keluarga tanpa probet, dsb.  
66. Pengetahuan dan pernyatan oleh ejen yang diberi kuasa hendaklah disifatkan pengetahuan dan pernyataan oleh pengendali.  
67. Pemakaian undang–undang lain.  
68. Peraturan–peraturan.  
69. Kuasa untuk mengeluarkan garis panduan, dsb.  
JADUAL PERTAMA.      
JADUAL KEDUA.      
 
  BAHAGIAN I

PERMULAAN

 
 
Tajuk ringkas. 1.   Akta ini bolehlah dinamakan Akta Takaful 1984.  
 
Tafsiran. 2.   Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—  
     “ajuster” ertinya mana–mana orang yang kerana pampasan, fee, komisen atau gaji menyiasat dan merunding penyelesaian tuntutan yang timbul di bawah kontrak takaful, semata–mata bagi pihak sama ada pengendali takaful atau peserta;  
     “Akauntan Negara” ertinya Akauntan Negara, Malaysia;  
Akta 287.
Sabah 3/58.
Sarawak Bab 66.
   “Akta Koperasi” ertinya Akta Koperasi 1948, atau Ordinan Koperasi 1958 bagi Sabah, atau Ordinan Koperasi bagi Sarawak, mengikut mana yang berkenaan;  
     “aktuari berkelayakan” ertinya seorang “Fellow” dari Institut Aktuari di England, atau seorang “Fellow” dari Fakulti Aktuari di Scotland, atau seorang “Fellow” dari Persatuan Aktuari di Amerika, atau mana–mana orang lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri;  
Ord. 61/58.    “Bank Negara” ertinya Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan di bawah Ordinan Bank Negara Malaysia 1958; Akta A699.
     “broker” ertinya mana–mana individu, firma atau syarikat yang kerana pampasan sebagai seorang kontraktor bebas, dengan apa jua cara mensolisit, merundingi atau mendapatkan kontrak takaful atau pembaharuan atau penerusannya bagi pihak peserta selain daripada dirinya;  
     “caruman” ertinya ansuran takaful yang kena dibayar oleh peserta;  
     “Daftar” ertinya daftar sijil takaful yang ditubuhkan oleh pengendali takaful di bawah seksyen 15;  
     “deposit takaful semula” ertinya suatu amaun yang didepositkan dengan atau yang disimpan oleh pengendali takaful melalui sekuriti bagi pelaksanaan oleh pengendali takaful semula bagi kontrak yang menyangupi liabiliti yang ditanggung beban oleh pengendali takaful;  
     “faedah takaful” termasuklah apa–apa faedah, sama ada yang berupa wang atau tidak yang dicagarkan dengan sijil takaful, dan “bayar” serta lain–lain ungkapan, jika digunakan berhubungan dengan faedah takaful, hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya;  
     “institusi asing” ertinya suatu syarikat asing yang menjalankan perniagaan di luar Malaysia yang serupa dengan perniagaan takaful sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta ini atau suatu syarikat asing yang menjalankan apa-apa perniagaan kewangan lain sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah; Akta A1306.
     “Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Takaful yang dilantik di bawah seksyen 54;  
     “kunci kira–kira statutori” dan “penilaian statutori” masing–masing ertinya suatu kunci kira–kira yang diserahsimpan dengan Ketua Pengarah untuk mematuhi subseksyen (1) seksyen 41, dan suatu penilaian yang keputusannya ditunjukkan dalam suatu kunci kira–kira penilaian yand diserahsimpan dengannya berikutan dari penyiasatan aktuari yang dibuat untuk mematuhi subseksyen (1) seksyen 42 dan—  
  (a) apa–apa sebutan mengenai kunci kira–kira statutori yang terakhir atau mengenai penilaian statutori yang terakhir hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenainya kepada yang terakhir disediakan atau dibuat dan tidak digantikan dengan terdapatnya data yang mengikutnya suatu kunci kira–kira statutori atau penilaian statutori yang lain disediakan atau dibuat; dan  
  (b) apa–apa sebutan mengenai terdapatnya lebihan aset dari liabiliti bagi suatu kumpulan wang takaful dalam suatu kunci kira–kira statutori atau pada suatu penilaian statutori hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya dengan sebutan mengenai bentuk kunci kira–kira atau kunci kira–kira penilaian yang ditetapkan dan mengenai kaedah–kaedah yang hendaklah diikuti di bawah Akta ini dalam menyediakannya;  
     “pegawai utama” ertinya seseorang yang, mengikut apa jua nama–jawatan dia dipanggil, dilantik oleh pengendali takaful dan dipertanggungkan dengan tanggungjawab menguruskan hal–ehwal pengendali;  
     “pengendali” ertinya suatu syarikat atau persatuan yang menjalankan perniagaan takaful yang didaftarkan di bawah seksyen 8 dan termasuklah suatu pengendali takaful antarabangsa yang didaftarkan di bawah seksyen 40B; Akta A1306.
     “pengendali takaful”, “pengendali takaful antarabangsa”, “ejen takaful” dan “broker takaful” ertinya seseorang yang menjalankan perniagaan takaful masing-masing sebagai pengendali takaful, pengendali takaful antarabangsa, ejen takaful dan broker takaful; Akta A1306.
     “peraturan–peraturan” ertinya peraturan–peraturan yang dibuat oleh Menteri di bawah Akta ini;  
     “perniagaan takaful” ertinya perniagaan takaful yang tujuan dan kendaliannya tidak melibatkan apa–apa unsur yang tidak diluluskan oleh Syariah;  
     “perniagaan takaful antarabangsa” ertinya perniagaan takaful dalam mata wang selain ringgit; Akta A1306.
     “perpaduan keluarga” ertinya suatu takaful bagi faedah individu dan keluarganya;  
     “peserta” termasuklah pemegang serahhak pada masa itu jika sesuatu sijil telah diberi kepadanya, dan wakil–wakil diri peserta yang mati jika mereka berhak mendapat faedah sijil itu daripada pengendali takaful;  
     “sijil takaful” termasuklah apa–apa kontrak takaful bagi perniagaan perpaduan keluarga atau perniagaan am sama ada atau tidak terkandung dalam atau diterangkan oleh suatu instrumen dalam bentuk sijil dan sebutan mengenai pengeluaran sijil hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya. Sebutan–sebutan mengenai sesuatu sijil pengendali takaful termasuklah apa–apa sijil yang berkenaan dengannya pengendali adalah di bawah apa–apa liabiliti, sama ada sijil itu telah dikeluarkan oleh pengendali atau liabiliti itu telah berpindah kepada pengendali daripada seorang pengendali lain;  
     “syarikat asing” mempunyai erti yang diberikan kepadanya oleh Akta Syarikat 1965; Akta A1306.
     “takaful” ertinya suatu skim yang berasaskan persaudaraan, perpaduan dan bantuan bersama yang menyediakan pertolongan dan bantuan kewangan kepada peserta–peserta jika diperlukan di mana peserta–peserta sama–sama bersetuju untuk memberi sumbangan bagi maksud itu;  
     “takaful semula” ertinya suatu perkiraan yang bersesuaian dengan prinsip–prinsip takaful yang baik bagi takaful semula liabiliti berkenaan dengan risiko–risiko yang ditanggung atau yang akan ditanggung oleh pengendali takaful semasa dia menjalankan perniagaan takaful;  
     “tempoh perakaunan”, berhubungan dengan pengendali takaful, ertinya tempoh yang baginya pengendali menyediakan akaun perniagaan takaful yang dijalankan olehnya di Malaysia.  
 
Pengelasan perniagaan takaful dan pentafsiran sebutan–sebutan mengenai perkara–perkara yang berkaitan dengan takaful. 3.   Bagi maksud–maksud Akta ini—  
  (a) perniagaan takaful hendaklah dibahagikan kepada dua kelas—  
  (i) perniagaan perpaduan keluarga yang, sebagai tambahan kepada semua perniagaan takaful berkenaan dengan sijil perpaduan, adalah termasuk, dalam hal pengendali takaful, apa–apa jenis perniagaan takaful yang dijalankan hanya sebagai sampingan kepada perniagaan perpaduan lain oleh pengendali itu; dan  
  (ii) perniagaan am, iaitu, semua perniagaan takaful yang bukan perniagaan perpaduan keluarga,  
    dan mentakaful semula liabiliti di bawah sijil takaful hendaklah dianggap sebagai perniagaan takaful bagi kelas dan jenis yang mana sijil itu dimaksudkan kiranya ia dikeluarkan oleh pengendali takaful semula;  
  (b) sebutan mengenai penjalanan perniagaan takaful termasuklah penjalanannya melalui seorang ejen, atau sebagai ejen;  
  (c) pengendalian, selain dari untuk mendapat keuntungan, sesuatu skim atau perkiraan berhubungan dengan perkhidmatan dalam pejabat atau pekerjaan tertentu, dan mempunyai tujuan atau salah satu daripada tujuannya untuk membuat peruntukan berkenaan dengan orang–orang yang berkhidmat di dalamnya terhadap persaraan atau persaraan separa, masa depan atau terhadap penamatan khidmat masa depan disebabkan kematian atau ketakupayaan, atau terhadap perkara–perkara yang serupa, tidaklah boleh dianggap sebagai menjalankan perniagaan takaful; dan  
13/66. (d) tiada pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 boleh disifatkan menjadi pengendali takaful, dan oleh itu tiada ejen bagi pertubuhan itu boleh sebagai sedemikian disifatkan menjadi ejen takaful itu; dan tiada apa–apa sebutan dalam Akta ini mengenai sijil atau kontrak takaful boleh dipakai bagi apa-apa sijil atau kontrak di mana suatu takaful dilaksanakan oleh pertubuhan itu.  
 
  BAHAGIAN II

PERJALANAN PERNIAGAAN TAKAFUL

Sekatan am ke atas pengendali takaful

 
 
Kehendak–kehendak bagi menjalankan perniagaan sebagai pengendali takaful.
Akta 125.
4.   (1)   Tertakluk kepada Akta ini, perniagaan takaful tidaklah boleh dijalankan di Malaysia oleh seseorang pengendali takaful kecuali—  
  (a) oleh suatu syarikat sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Syarikat 1965; atau  
  (b) oleh suatu koperasi yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi.  
    (2)   Tiada syarikat atau koperasi seperti itu boleh menjalankan perniagaan perpaduan keluarga atau perniagaan am atau kedua–duanya di Malaysia sebagai pengendali takaful melainkan jika—  
  (a) ia didaftarkan di bawah Akta ini berkenaan dengan kelas perniagaan itu atau kedua–duanya;  
  (b) dalam hal syarikat sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Syarikat 1965 dan koperasi yang disebutkan dalam subseksyen (1) (b), ia mengekalkan pada setiap masa lebihan aset dari liabiliti sebanyak tidak kurang daripada amaun yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa;  
  (c) ia mempunyai deposit yang dikehendaki oleh Akta ini berkenaan dengannya; dan  
  (d) ia adalah anggota persatuan takaful yang diluluskan oleh Menteri, dengan syarat bahawa perenggan ini tidaklah terpakai sehingga tertubuhnya persatuan itu. Akta A620.
    (3)   Bagi maksud–maksud subseksyen (2) (b), lebihan aset hendaklah dalam bentuk wang tunai atau sekuriti yang dinyatakan dalam Jadual Pertama, atau mana–mana gabungannya.  
    (4)   Bagi maksud–maksud seksyen ini, nilai aset dan liabiliti takaful boleh ditentukan mengikut dasar yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa.  
    (5)   Seseorang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi lapan puluh ribu ringgit, dengan ditambah sebanyak enam belas ribu ringgit bagi tiap–tiap satu hari yang dia dibuktikan telah melakukannya, atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua–duanya.  
 
Mengemukakan diri sebagai pengendali takaful berdaftar. 5.   Jika seseorang mengemukakan dirinya sebagai pengendali takaful berdaftar berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga atau perniagaan am atau kedua–duanya manakala dia tidak didaftarkan di bawah Akta ini berkenaan dengan perniagaan itu, maka orang itu adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda sebanyak dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh dua belas bulan atau kedua–duanya, dan denda harian tidak melebihi empat ribu ringgit.  
 
Penggunaan perkataan “takaful”. 6.   (1)   Tiada seorang pun selain dari pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini boleh, tanpa keizinan bertulis daripada Ketua Pengarah, menggunakan perkataan “takaful” atau mana–mana terbitannya dalam apa–apa bahasa, atau apa–apa perkataan lain yang menunjukkan bahawa orang itu menjalankan perniagaan takaful atas nama, perihal atau titel yang mengikutnya dia menjalankan perniagaan di Malaysia atau membuat apa–apa representasi yang bermaksud sedemikian dalam mana–mana kepala bil, kepala surat, notis atau iklan atau dengan apajua cara lain:  
     Dengan syarat bahawa tiada apa pun dalam Akta ini boleh melarang sesuatu persatuan takaful daripada menggunakan perkataan “takaful” atau mana–mana terbitannya dalam apa–apa bahasa sebagai sebahagian daripada namanya atau perihalnya tentang aktiviti–aktivitinya.  
    (2)    Seseorang yang melanggar peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda sebanyak empat ribu ringgit atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua–duanya dan denda harian tidak melebihi empat ratus ringgit.  
 
Pemeriksaan ke atas orang yang disyaki menjalankan perniagaan takaful. 7.    
       (1) Jika Ketua Pengarah ada sebab mengesyaki atau mempercayai bahawa seseorang sedang menjalankan perniagaan takaful tanpa didaftarkan di bawah Akta ini, dia boleh meminta atau memeriksa buku, akaun dan rekod orang itu untuk menentukan sama ada atau tidak orang itu telah melanggar atau sedang melanggar mana–mana peruntukan Akta ini.  
    (2)   Mana–mana orang yang bersengaja enggan untuk menyerahkan buku, akaun dan rekod atau untuk membenarkan buku, akaun dan rekod itu diperiksa adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda sebanyak dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh dua belas bulan atau kedua–duanya dan denda harian tidak melebihi empat ribu ringgit.  
 
Pendaftaran pengendali takaful oleh Ketua Pengarah. 8.   (1)   Ketua Pengarah adalah bertanggungjawab atas pendaftaran pengendali takaful dan, tertakluk kepada seksyen ini, hendaklah, atas permohonan mana–mana syarikat atau pertubuhan yang layak di bawah subseksyen (1) seksyen 4 mendaftarkan, dengan atau tanpa syarat dan setelah dibayar fee yang ditetapkan, pemohon berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga atau perniagaan am atau kedua–duanya.  
    (2)   Sesuatu permohonan untuk didaftarkan berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga atau perniagaan am boleh dibuat oleh suatu syarikat atau pertubuhan yang telahpun didaftarkan berkenaan dengan yang satu lagi itu.  
    (3)   Ketua Pengarah tidaklah dikehendaki menimbang sesuatu permohonan melainkan jika ianya dibuat secara bertulis, dan dia telah dilengkapkan dengan dokumen dan maklumat sebagaimana yang ditetapkan atau sebagaimana yang dikehendakinya dalam kes tertentu itu.  
    (4)   Ketua Pengarah boleh enggan mendaftarkan seseorang pemohon jika, selepas siasatan yang sesuai, dia berpuas hati bahawa nama pemohon itu mungkin memperdayai disebabkan persamaan namanya dengan nama mana–mana badan yang lain. Akta A620.
    (5)   Ketua Pengarah boleh juga enggan mendaftarkan seseorang pemohon melainkan jika dia berpuas hati—  
  (a) bahawa tujuan dan kendalian perniagaan takaful yang hendak dijalankannya itu tidak akan melibatkan apa–apa unsur yang tidak diluluskan oleh Syariah; dan  
  (b) bahawa terdapatnya dalam Artikel Persatuan pengendali takaful yang berkenaan peruntukan bagi penubuhan badan penasihat Syariah, sebagaimana yang diluluskan oleh Ketua Pengarah, untuk menasihat pengendali tentang kendalian perniagaan takafulnya untuk memastikan yang ia tidak terlibat dalam apa–apa unsur yang tidak diluluskan oleh Syariah. Akta A1212.
    (6)   Jika Ketua Pengarah berpuas hati bahawa seseorang pemohon telah mematuhi semua kehendak seksyen ini, dia hendaklah merujukkan permohonan itu kepada Menteri; dan, jika Menteri mengarahkan sedemikian, Ketua Pengarah tidaklah boleh mendaftarkan pemohon itu dan pemohon itu hendaklah diberitahu tentang arahan itu.  
    (7)   Ketua Pengarah tidaklah boleh mendaftar seseorang pemohon berkenaan dengan perniagaan takaful dari kedua–dua kelas sehingga Akauntan Negara memperakukan kepadanya bahawa pemohon telah membuat deposit yang dikehendaki oleh Akta ini berkenaan dengan perniagaan itu.  
    (8)   Ketua Pengarah hendaklah menyebabkan notis mengenai apa–apa pendaftaran pengendali takaful disiarkan dalam Warta. Akta A1306.
 
Fee pendaftaran tahunan. 9.   (1)   Tiap–tiap pengendali hendaklah membayar apa–apa fee pendaftaran tahunan sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri.  
    (2)   Menteri boleh menetapkan fee pendaftaran yang berlainan bagi perniagaan takaful dari kelas yang berlainan.  
 
Syarat–syarat pendaftaran. 10.   (1)   Ketua Pengarah boleh dari semasa ke semasa dan sebagaimana difikirkannya patut—  
  (a) mengenakan syarat–syarat pendaftaran ke atas pengendali; atau  
  (b) menambah, mengubah atau membatalkan apa–apa syarat pendaftaran yang ada yang dikenakan ke atas pengendali,  
  yang telah pun didaftarkan di bawah Akta ini supaya terus didaftarkan sedemikian.  
    (2)   Mana–mana pengendali yang tidak mematuhi apa–apa syarat yang dikenakan oleh Ketua Pengarah di bawah subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda sebanyak dua puluh ribu ringgit dan denda harian sebanyak empat ribu ringgit.  
 
Pembatalan pendaftaran. 11.   (1)   Ketua Pengarah boleh melalui perintah membatalkan pendaftaran pengendali sama ada keseluruhannya atau berkenaan dengan suatu kelas perniagaan, mengikut mana yang berkenaan, jika dia berpuas hati bahawa—  
  (a) pengendali mengejar matlamat atau menjalankan kendalian yang melibatkan apa–apa unsur yang tidak diluluskan oleh Syariah;  
  (b) pengendali belum lagi memulakan perniagaan dalam masa dua belas bulan selepas didaftarkan;  
  (c) pengendali tidak lagi menjalankan perniagaan takaful berkenaan dengan mana–mana kelas perniagaan;  
  (d) pengendali gagal mengekalkan lebihan aset daripada liabiliti mengikut perenggan 4(2)(b), atau, dalam hal pengendali takaful antarabangsa, pengendali takaful antarabangsa itu telah gagal mematuhi kehendak seksyen 40C, mengikut mana-mana yang berkenaan; Akta A1306.
  (e) pengendali telah mengabaikan atau enggan mematuhi perintah Ketua Pengarah untuk menganti apa–apa kekurangan, bila–bila masa sahaja kumpulan wang takafulnya telah menjadi kurang;  
  (f) pengendali bercadang untuk membuat, atau telah membuat apa–apa komposisi atau perkiraan dengan pemiutang–pemiutangnya atau telah dilikuidasikan atau telah digulung atau selainnya dibubarkan;  
  (g) pengendali menjalankan perniagaannya mengikut cara yang mungkin merosakkan kepentingan peserta–pesertanya;  
  (h) pengendali tidak dapat menunaikan obligasinya;  
  (i) pengendali telah gagal melaksanakan perkiraan takaful semula dengan memuaskan hati;  
  (j) pengendali melanggar atau telah melanggar peruntukan–peruntukan Akta ini atau mana–mana peraturan atau apa–apa syarat yang dikenakan atau apa–apa arahan yang diberi oleh Ketua Pengarah di bawah Akta ini;  
  (k) pengendali telah disabitkan atas sesuatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana–mana pegawainya yang berpangkat pengurus atau eksekutif telah disabitkan atas sesuatu kesalahan di bawah Akta ini;  
  (l) pengendali telah memberikan maklumat yang palsu, mengelirukan atau tidak tepat atau telah menyembunyikan atau tidak menzahirkan fakta–fakta matan dalam permohonannya bagi pendaftaran; atau  
  (m) adalah bagi kepentingan awam untuk membatalkan pendaftaran itu.  
    (2)   Ketua Pengarah hendaklah sebelum membatalkan apa–apa pendaftaran di bawah subseksyen (1) menyebabkan diberi kepada pengendali yang berkenaan notis secara bertulis tentang niatnya untuk berbuat demikian, dengan menyatakan suatu tarikh, tidak kurang daripada empat belas hari selepas tarikh notis itu, bila pembatalan akan berkuatkuasa dan memanggil pengendali untuk memberi sebab kepada Ketua Pengarah mengapa pendaftaran itu tidak patut dibatalkan.  
    (3)   Walaupun pada hakikatnya pendaftaran seseorang pengendali telah dibatalkan di bawah seksyen ini, selagi pengendali masih berada di bawah apa–apa liabiliti berkenaan dengan sijil Malaysia yang dipunyai oleh kelas perniagaan takaful yang dimaksudkan dengan pendaftaran itu, pengendali hendaklah mengambil apa–apa tindakan sebagaimana yang difikirkannya perlu atau sebagaimana yang dikehendaki oleh Ketua Pengarah untuk memuaskan hatinya bahawa peruntukan yang munasabah telah atau akan dibuat untuk liabiliti itu dan bahawa perkiraan secukupnya ada atau akan ada bagi membuat bayaran di Malaysia akan caruman dan tuntutan ke atas sijil itu.  
    (4)   Apabila Ketua Pengarah telah membatalkan suatu pendaftaran di bawah subseksyen (1) dia hendaklah dengan serta–merta memberitahu pengendali tentang pembatalan itu.  
    (5)   Mana–mana pengendali yang pendaftarannya telah dibatalkan menurut seksyen ini boleh, dalam masa enam puluh hari setelah diberitahu secara bertulis tentang pembatalan itu, merayu terhadap perintah pembatalan itu kepada Menteri yang mana keputusannya adalah muktamad.  
    (6)   Suatu perintah pembatalan yang dibuat oleh Ketua Pengarah, atau jika terdapat suatu rayuan, keputusan Menteri yang mengesahkan perintah pembatalan itu tidaklah boleh berkuatkuasa sehingga tamat tempoh empat belas hari selepas pengendali telah diberitahu secara bertulis tentang perintah atau keputusan itu.  
 
Kesan pembatalan pendaftaran. 12.   (1)   Jika suatu perintah pembatalan berkuatkuasa di bawah seksyen 11—  
  (a) notis pembatalan itu hendaklah disiarkan dalam Warta; dan  
  (b) pengendali hendaklah berhenti, dari tarikh pembatalan itu, menjalankan perniagaan takaful di Malaysia dari kelas yang berkenaan dengannya pendaftarannya telah dibatalkan di bawah Akta ini, selain daripada melalui pungutan atau penerimaan caruman atas sijil Malaysia yang tergolong dalam kelas itu yang dilaksanakan sebelum tarikh pembatalan pendaftaran dan subseksyen (2) seksyen 4 tidaklah terpakai bagi pengendali berkenaan dengan pungutan atau penerimaan caruman itu.  
    (2)   Peruntukan–peruntukan subseksyen (1) (a) tidaklah menjejaskan penguatkuasaan oleh mana–mana peserta atau orang akan apa–apa hak atau tuntutan terhadap pengendali atau oleh pengendali akan apa–apa hak atau tuntutan terhadap mana–mana peserta atau orang.  
 
Deposit 13.   (1)   Seseorang pengendali takaful, semasa didaftarkan berkenaan dengan apa–apa kelas perniagaan takaful, hendaklah pada setiap masa mempunyai suatu deposit dengan Akauntan Negara berkenaan dengan perniagaan itu sebanyak tidak kurang daripada amaun yang ditetapkan oleh Menteri.  
    (2)   Apa–apa deposit tersebut hendaklah dibuat dengan wang tunai atau sekuriti yang dinyatakan dalam Jadual Pertama atau sebahagiannya dengan satu cara dan sebahagiannya lagi dengan cara yang satu lagi; dan apa–apa wang tunai yang terkandung dalam suatu deposit boleh dilaburkan mengikut apa–apa cara yang tidak bertentangan dengan Syariah sebagaimana yang diluluskan oleh Ketua Pengarah.  
    (3)   Semua pendapatan yang terakru berkenaan dengan suatu deposit adalah kena dibayar kepada pengendali yang membuat deposit itu.  
    (4)   Suatu deposit yang dibuat di bawah seksyen ini berkenaan dengan sesuatu kelas perniagaan takaful hendaklah disimpan oleh Akauntan Negara sehingga pengendali tidak lagi didaftarkan berkenaan dengan kelas perniagaan takaful itu atau deposit itu dikehendaki semasa menggulung pengendali, dan jika pengendali tidak lagi didaftarkan seperti tersebut di atas, deposit itu atau sebahagian daripadanya boleh disimpan selanjutnya bagi maksud dan mengikut mana–mana peruntukan bagi liabiliti berkenaan dengan sijil sebagaimana yang dikehendaki oleh subseksyen (3) seksyen 11.  
    (5)   Jika pada bila–bila masa suatu deposit di bawah seksyen ini (selain dari suatu deposit yang disimpan setelah pengendali tidak lagi didaftarkan seperti tersebut di atas) terdiri dari aset selain dari sekuriti Kerajaan dan nilai aset itu adalah kurang daripada jumlah wang yang ditetapkan menurut subseksyen (1) yang dikurangkan oleh nilai bagi mana–mana sekuriti Kerajaan yang terkandung dalam deposit itu, maka Ketua Pengarah boleh melalui notis secara bertulis mengarahkan pengendali menambah kepadanya dalam masa dua puluh lapan hari selepas penyampaian notis itu, wang tunai atau sekuriti yang dinyatakan dalam Jadual Pertama yang bernilai tidak kurang daripada perbezaan itu.  
    (6)   Seseorang pengendali yang telah membuat suatu deposit di bawah seksyen ini boleh pada bila–bila masa menggantikan mana–mana aset yang terkandung dalam deposit tunai atau sekuriti yang dinyatakan dalam Jadual Pertama, selagi nilai deposit itu tidak dengan demikian itu dikurangkan kepada suatu amaun yang kurang daripada amaun yang dikehendaki oleh Akta ini.  
    (7)   Dalam subseksyen yang disebut terdahulu “sekuriti” (kecuali dalam ungkapan “sekuriti Kerajaan”) termasuklah apa–apa bentuk pelaburan yang tidak bertentangan dengan Syariah, dan “sekuriti Kerajaan” ertinya sekuriti yang mana prinsipal atau dividennya dicagarkan secara langsung atau dengan jalan gerenti ke atas Kumpulan Wang Disatukan bagi Persekutuan atau mana–mana Negeri, tetapi tiada deposit boleh termasuk—  
  (a) apa–apa syer, atau lain–lain sekuriti bagi seseorang pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini;  
  (b) kecuali setakat mana suatu hutang yang terkandung dalam deposit dijamin ke atas tanah, apa–apa harta atau kepentingan ke atas tanah; atau  
  (c) apa–apa sekuriti yang dibenarkan dalam perenggan 2, 3, 4, 5 dan 6 Jadual Pertama yang mana Menteri atas nasihat Ketua Pengarah dan Akauntan Negara mengisytiharkan secara bertulis kepada pengendali sebagai tidak sesuai bagi maksud suatu deposit.  
    (8)   Jika menurut subseksyen (7) (c) apa–apa sekuriti yang terkandung dalam suatu deposit diisytiharkan tidak sesuai, pengendali hendaklah dalam masa satu bulan kalendar setelah sekuriti itu diisytiharkan sedemikian, menggantikannya dengan apa–apa sekuriti lain sebagaimana yang dibenarkan oleh sekysen ini.  
 
Waad bank sebagai ganti deposit.
Akta 276.
14.   (1)   Jika dalam hal mana–mana pengendali, sesuatu bank yang dilesenkan di bawah Akta Bank Islam 1983 membuat suatu perjanjian dengan Kerajaan dalam bentuk yang diluluskan oleh Ketua Pengarah, yang mana menurutnya bank berwaad dengan Kerajaan untuk mendepositkan dengan Akauntan Negara sejumlah wang tunai yang ditetapkan kerana deposit pengendali di bawah Akta ini berkenaan dengan salah satu kelas perniagaan takaful, dan waad itu mematuhi apa–apa kehendak yang Ketua Pengarah fikirkan patut dikenakan tentang hal keadaan dalam mana jumlah wang itu hendak didepositkan, maka bagi maksud–maksud Akta ini pengendali hendaklah dianggap telah mendepositkan di bawah seksyen 13 sejumlah wang tunai yang sama banyaknya dengan yang diwaadkan dan jumlah wang yang diwaadkan itu boleh didapatkan kembali walaupun tiada balasan diberi dalam perjanjian itu.  
    (2)   Apa–apa jumlah wang yang didepositkan oleh suatu bank menurut suatu perjanjian yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah diuruskan di bawah atau bagi maksud–maksud Akta ini seolah–olah ianya adalah jumlah wang yang didepositkan oleh pengendali di bawah seksyen 13.  
    (3)   Sekyen ini tidaklah boleh membenarkan suatu perjanjian digantikan di bawah subseksyen (6) seksyen 13 bagi aset yang terkandung dalam sesuatu deposit.  
 
Daftar sijil takaful 15.   (1)   Tiap–tiap pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini hendaklah mengadakan suatu daftar sijil takaful mengikut apa–apa bentuk sebagaimana yang ditetapkan dan hendaklah, selain dari apa–apa kecualian yang ditetapkan, menyimpan Daftar itu di tempat perniagaannya yang utama di Malaysia.  
    (2)   Tertakluk kepada seksyen ini, hendaklah dimasukkan dalam Daftar kesemua sijil Malaysia bagi pengendali, dan tiada sijil yang dimasukkan dalam Daftar boleh dikeluarkan dari Daftar itu selagi pengendali adalah bertanggungan berkenaan dengan sijil itu.  
    (3)   Seseorang pengendali hendaklah, atas permintaan seseorang yang mempunyai kepentingan dalam mana–mana sijil pengendali, memberitahunya sama ada atau tidak sijil itu dimasukkan dalam Daftar.  
    (4)   Jika pengendali terhenti daripada didaftarkan di bawah Akta ini berkenaan dengan mana–mana kelas perniagaan takaful, Daftar hendaklah terhenti daripada wujud sebagai suatu daftar statutori di bawah Akta ini mengenai sijil yang tergolong dalam perniagaan kelas itu dan apa–apa sebutan dalam Akta ini mengenai sijil yang didaftarkan di bawah Akta ini hendaklah ditafsirkan sewajarnya.  
    (5)   Tertakluk kepada subseksyen (4), Daftar hendaklah, walaupun pengendali pada bila–bila masa terhenti daripada menjalankan mana–mana kelas perniagaan takaful di Malaysia, terus disenggara oleh pengendali bagi sijil yang tergolong dalam kelas itu selagi pengendali adalah bertanggungan berkenaan dengan apa–apa sijil yang didaftarkan atau yang dikehendaki supaya didaftarkan pada masa itu.  
 
Penubuhan dan penyenggaraan kumpulan wang takaful, dan peruntukan lebihan. 16.   (1)   Setiap pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini hendaklah menubuhkan dan menyenggara mengikut seksyen ini suatu kumpulan wang takaful berkenaan dengan kelas atau tiap–tiap satu kelas perniagaan takaful yang dijalankan oleh pengendali di Malaysia setakat mana perniagaan itu ada kaitannya dengan sijil Malaysia.  
    (2)   Maka hendaklah dibayar ke dalam kumpulan wang takaful semua penerimaan pengendali yang dikaitkan dengan wajar dengan perniagaan yang dimaksudkan dengan kumpulan wang itu (termasuk pendapatan kumpulan wang itu), dan aset yang terkandung dalam kumpulan wang itu hendaklah digunakan hanya untuk memenuhi sebahagian dari liabiliti dan perbelanjaan yang boleh dikaitkan sedemikian dengan wajar.  
    (3)   Dalam hal suatu kumpulan wang yang ditubuhkan berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga, tiada bahagian daripada kumpulan wang itu boleh diuntukkan sebagai faedah tafakul kepada peserta–peserta kecuali dengan kelulusan aktuari berkelayakan dan dari lebihan aset atas liabiliti sebagaimana yang ditunjukkan pada penilaian statutori yang terakhir bagi kumpulan wang itu dan apabila membuat apa–apa penguntukan seperti itu, lebihan tersebut hendaklah, bagi maksud–maksud seksyen ini, dianggap sebagai dikurangkan sebanyak amaun yang diuntukkan itu.  
    (4)   Dalam suatu penggulungan, aset yang terkandung dalam deposit yang dibuat oleh pengendali di bawah Akta ini berkenaan dengan mana–mana satu kelas perniagaan hendaklah dianggap sebagai aset kumpulan wang takaful yang ditubuhkan oleh pengendali berkenaan dengan perniagaan kelas itu, dan subseksyen (2) hendaklah terpakai bagi aset itu sewajarnya.  
    (5)   Sesuatu kumpulan wang takaful yang ditubuhkan oleh pengendali bagi mana–mana kelas perniagaan hendaklah, walaupun pengendali itu pada bila–bila masa terhenti daripada menjalankan kelas perniagaan itu di Malaysia, terus disenggara oleh pengendali selagi pengendali dikehendaki oleh Akta ini supaya menyenggara Daftar bagi sijil yang tergolong dalam kelas itu.  
 
Kehendak–kehendak tentang aset kumpulan wang takaful. 17.   (1)   Aset sesuatu kumpulan wang takaful di bawah Akta ini hendaklah disimpan berasingan dari semua aset lain kepunyaan pengendali, dan tidaklah boleh termasuk aset yang terkandung dalam deposit di bawah Akta ini, dan juga tidaklah boleh termasuk apa–apa amaun atas akaun muhibah, faedah perbelanjaan pembangunan atau butiran–butiran serupa itu yang tidak diperolehi selain dari perniagaan atau sebahagian dari perniagaan pengendali.  
    (2)   Tertakluk kepada seksyen 24, aset mana–mana kumpulan wang takaful adalah—  
  (a) nilai aset Malaysia sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama, dengan apa–apa tambahan sebagaimana dibenarkan oleh subseksyen (4), adalah tidak kurang daripada lapan puluh peratus daripada jumlah nilai aset kumpulan wang; dan  
  (b) nilai pelaburan dalam sekuriti Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri yang dikeluarkan di Malaysia adalah tidak kurang daripada lima belas peratus dari jumlah nilai aset kumpulan wang itu pada bila–bila masa.  
    (3)   Bagi maksud–maksud subseksyen (2), maka bolehlah ditambah kepada nilai butiran–butiran yang dinyatakan dalam Jadual Pertama, amaun atau nilai apa–apa aset kumpulan wang dari jenis–jenis yang berikut:  
  (a) caruman yang belum dibayar ke atas sijil perpaduan keluarga yang mana liabiliti masa depan boleh dipenuhi dari aset kumpulan wang;  
  (b) jumlah wang yang merupakan dapatan kembali tuntutan–tuntutan dari pengendali takaful semula di dalam atau di luar Malaysia.  
    (4)   Menteri boleh, berkenaan dengan aset mana–mana kumpulan wang takaful, menghendaki seseorang pengendali takaful supaya—  
  (a) tidak membuat pelaburan dari suatu kelas atau jenis yang tertentu;  
  (b) mendapatkan, sebelum tamatnya tempoh tertentu atau apa–apa tempoh lanjutan sebagaimana yang dibenarkan oleh Menteri keseluruhan atau suatu bahagian tertentu pelaburan dari kelas atau jenis tertentu yang dipegang oleh pengendali semasa kehendak itu dibuat.  
    (5)   Bagi maksud seksyen ini, aset dari semasa ke semasa yang merupakan apa–apa deposit pengendali takaful semula yang dipegang oleh pengendali takaful untuk memenuhi liabiliti kumpulan wang hendaklah dengan persetujuan pengendali takaful semula dianggap sebagai aset kumpulan wang.  
 
Sekatan–sekatan ke atas bayaran dividen dan pemberian pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit dan kemudahan pembiayaan. 18.   (1)   Tiada pengendali boleh—  
  (a) membayar apa–apa dividen atas syernya sehingga semua perbelanjaan modalnya (termasuk perbelanjaan permulaan, perbelanjaan kelolaan, komisen penjualan syer, bayaran broker, amaun kerugian yang ditanggung, dan apa–apa butiran perbelanjaan lain yang tidak merupai aset zahir) telah diselesaikan sepenuhnya;  
  (b) memberi suatu pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan terhadap sekuriti syernya sendiri;  
  (c) kecuali dalam apa–apa hal–keadaan khas dan sebanyak amaun sebagaimana yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah, memberi pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan—  
  (i) kepada mana–mana pengarahnya selain dari pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan yang dijamin oleh sijil di atas nama pengarah;  
  (ii) kepada suatu firma di mana ia atau mana–mana dari pengarahnya mempunyai apa–apa kepentingan sebagai pekongsi, pengurus, atau ejen, atau kepada seorang individu atau suatu firma yang untuknya mana–mana pengarahnya, adalah seorang penggerenti;  
  (iii) kepada syarikat yang mana–mana dari pengarahnya mempunyai dua puluh peratus daripada syer mengundi atau lebih;  
  (iv) kepada syarikat yang pengendalinya mempunyai dua puluh peratus daripada syer mengundi atau lebih;  
  (v) kepada syarikat yang mempunyai dua puluh peratus daripada syer mengundi pengendali atau lebih; dan  
  (vi) kepada syarikat dalam mana syarikat yang tersebut dalam subperenggan (v) mempunyai dua puluh peratus daripada syer mengundi atau lebih;  
  (d) kecuali dalam apa–apa hal–keadaan khas dan sebanyak apa–apa amaun sebagaimana yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah, memberi kepada seseorang selain dari pekerjanya atau kepada orang–orang yang tersebut dalam perenggan (c) suatu pendahuluan tak bercagar, pinjaman tak bercagar, kemudahan kredit bercagar atau kemudahan pembiayaan tak bercagar;  
  (e) kecuali dalam apa–apa hal–keadaan khas sebagaimana yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah, bertindak sebagai penggerenti atas suatu pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan yang diberi kepada mana–mana orang yang tersebut dalam perenggan (c); dan  
  (f) kecuali dengan kelulusan Ketua Pengarah, menyandar, menggadaijanji atau mencagarkan mana–mana aset atau sekuritinya.  
    (2)   Semua pengarah pengendali adalah bertanggungan secara bersesama atau berasingan untuk menanggung rugi pengendali terhadap apa–apa kerugian yang timbul dari pembuatan pendahuluan tak bercagar, pinjaman tak bercagar, kemudahan kredit tak bercagar atau kemudahan pembiayaan tak bercagar.  
    (3)   Bagi maksud–maksud subseksyen (1), “pengarah” hendaklah disifatkan termasuk isteri, suami, bapa, ibu, anak lelaki atau anak perempuan pengarah.  
    (4)   Bagi maksud–maksud seksyen ini dan seksyen 19, “pendahuluan tak bercagar”, “pinjaman tak bercagar, “kemudahan kredit tak bercagar” atau “kemudahan pembiayaan tak bercagar” masing–masing ertinya—  
  (a) suatu pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan yang dibuat tanpa sekuriti; atau  
  (b) dalam hal pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan yang dibuat dengan sekuriti, mana–mana bahagian dari pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan itu yang pada bila–bila masa melebihi—  
  (i) nilai pasaran bagi aset yang menjadi sekuriti itu; atau  
  (ii) nilai aset yang menjadi sekuriti yang ditafsir atas dasar yang diluluskan oleh Ketua Pengarah jika dia berpuas hati bahawa tidak ada nilai pasaran yang tetap.  
    (5)   Tiada apa jua pun boleh menghalang pengendali daripada melaburkan wangnya mengikut apa–apa cara yang dibenarkan oleh Syariah.  
 
Penzahiran kepentingan oleh pengarah. 19.   (1)   Setiap pengarah pengendali yang dengan apa–apa cara jua pun mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau secara tak langsung, dalam pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan dari pengendali hendaklah dengan seberapa segera yang praktik membuat suatu akuan secara bertulis kepada pengendali tentang jenis dan takat kepentingannya dan pengendali hendaklah, dalam masa tujuh hari selepas penerimaannya, memberi salinan akuan itu kepada Ketua Pengarah, juruauditnya dan semua pengarahnya.  
    (2)   Bagi maksud–maksud subseksyen (1), suatu notis am yang diberi kepada lembaga pengarah pengendali oleh seorang pengarah yang menyatakan bahawa dia mempunyai kepentingan dalam enterpris, pengusahaan, firma, atau syarikat tertentu bahawa dia hendaklah dianggap mempunyai kepentingan dalam pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan yang boleh, selepas tarikh notis itu, diberikan kepada enterpris, pengusahaan, firma atau syarikat itu hendaklah disifatkan sebagai akuan yang mencukupi tentang kepentingan berhubungan dengan pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan yang diberi sedemikan jika—  
  (a) ia menyatakan jenis dan takat kepentingannya dalam enterpris, pengusahaan, firma atau syarikat itu; dan  
  (b) pada masa pendahuluan, pinjaman atau kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan itu dibuat, kepentingannya tidak berbeza dari segi jenis atau lebih takatnya daripada yang telah dinyatakan dalam notis itu.  
    (3)   Setiap pengarah pengendali yang memegang sesuatu jawatan atau memiliki apa–apa harta yang kerananya, sama ada secara langsung atau secara tak langsung, suatu tugas atau suatu kepentingan mungkin timbul yang bercanggah dengan tugas atau kepentingan yang sedemikian itu, pengarah itu hendaklah membuat akuan dalam mesyuarat pengarah pengendali akan fakta, jenis dan takat percanggahan yang mungkin timbul itu.  
    (4)   Akuan yang tersebut dalam subsekyen (3) hendaklah dibuat dalam mesyuarat pengarah yang pertama yang diadakan—  
  (a) setelah orang itu menjadi pengarah pengendali; atau  
  (b) (jika telahpun menjadi pengarah) setelah orang itu mula memegang jawatan atau memiliki harta yang kerananya percanggahan itu mungkin timbul.  
    (5)   Setiausaha lembaga pengarah pengendali hendaklah menyebabkan dibawa dan dibaca apa–apa akuan yang dibuat atau notis yang diberi di bawah seksyen ini dalam mesyuarat lembaga pengarah yang akan datang setelah akuan itu dibuat atau notis itu diberi dan dia hendaklah merekodkannya dalam minit mesyuarat itu.  
    (6)   Mana–mana pengarah atau setiausaha kepada lembaga pengarah yang bertindak berlawanan dengan seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua–dua nya.  
 
Kehendak–kehendak tentang dokumen yang menerangkan hak aset kumpulan wang takaful. 20.   (1)   Jika pengendali telah menubuhkan suatu kumpulan wang takaful di bawah Akta ini, pengendali hendaklah memastikan bahawa apa–apa dokumen yang menerangkan hakmilik pengendali terhadap aset kumpulan wang atau aset yang termasuk dalam subseksyen (5) seksyen 17, selagi dokumen–dokumen itu dipegang oleh atau bagi pihak pengendali, hendaklah disimpan di Malaysia atau, jika tidak disimpan sedemikian, hendaklah disimpan dalam jagaan seseorang yang diluluskan oleh Ketua Pengarah dan di tempat dan atas terma–terma yang diluluskan sedemikian:  
     Dengan syarat bahawa Ketua Pengarah boleh, dalam hal seseorang pengendali yang sedang disiasat di bawah Akta ini atau jika Ketua Pengarah berpuas hati bahawa hal–ehwal pengendali sedang dijalankan mengikut cara yang mungkin merosakkan kepentingan peserta, atau bakal peserta, mengarah supaya semua dokumen dihantar untuk disimpan olehnya atau oleh seseorang yang diluluskan olehnya dan di tempat dan atas terma–terma yang diluluskan sedemikian.  
    (2)   Seseorang pengendali yang telah menubuhkan kumpulan wang takaful hendaklah dari semasa ke semasa memberitahu Ketua Pengarah secara bertulis orang yang menjaga apa–apa dokumen itu bagi pihak pengendali.  
    (3)   Apa–apa dokumen yang disimpan oleh Ketua Pengarah atau oleh seseorang yang diluluskan olehnya menurut proviso kepada subseksyen (1) tidaklah boleh dilepaskan kecuali dengan mendapat izin secara bertulis daripada Ketua Pengarah.  
    (4)   Apa–apa dokumen tersebut yang pada masa itu dipegang oleh atau bagi pihak pengendali hendaklah, dalam apa–apa tempoh yang dinyatakan dalam notis yang diberi secara bertulis oleh Ketua Pengarah kepada pengendali atau orang yang menyimpan dokumen itu, dikemukakan untuk pemeriksaan kepada Ketua Pengarah atau seorang yang dinamakan olehnya oleh orang yang kepadanya notis itu diberi.  
    (5)   Seseorang yang tidak mematuhi seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi empat ribu ringgit dan denda harian tidak melebihi dua ratus ringgit.  
 
Penubuhan dan penyenggaraan kumpulan wang skim jaminan takaful dan bayaran wang dari kumpulan wang itu. 21.   (1)   Maka hendaklah ditubuhkan dan disenggara oleh Ketua Pengarah mengikut seksyen ini, kumpulan wang skim jaminan takaful berkenaan dengan perniagaan am dan perniagaan perpaduan keluarga masing–masing dijalankan oleh pengendali di Malaysia setakat mana perniagaan itu berkaitan dengan sijil Malaysia.  
    (2)   Maka hendaklah dibayar masuk ke dalam kumpulan wang skim jaminan takaful melalui Ketua Pengarah semua levi yang boleh dikenakan ke atas pengendali dan dipungut daripada pengendali dengan apa–apa ansuran sebagaimana yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah.  
    (3)   Tertakluk kepada apa–apa arahan oleh Menteri jumlah amaun levi tidaklah boleh melebihi satu peratus daripada caruman sebenar tiap–tiap tahun seseorang pengendali dalam mana–mana satu tahun yang boleh ditaksirkan bagi perniagaan am dan dalam hal perniagaan perpaduan keluarga bagi apa–apa perniagaan baru yang dijalankan oleh pengendali dalam tahun yang terdahulu.  
     Dalam hal seseorang pengendali yang tidak mengemukakan penyata statutorinya di bawah seksyen 41 pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan, Ketua Pengarah boleh, bagi maksud mengira amaun levi yang kena dibayar oleh pengendali itu, mentaksir amaun yang disifatkan sebagai pendapatan caruman sebenar pengendali itu bagi tahun yang terdahulu dan amaun yang dipungut itu hendaklah dilaraskan terhadap pendapatan caruman sebenar yang ditunjukkan dalam penyata statutori apabila dikemukakan.  
    (4)   Apa–apa jumlah wang termasuk apa–apa wang atau pendapatan lain yang diterima atau dibayar ke dalam kumpulan wang skim jaminan takaful termasuk apa–apa keuntungan atau dividen yang diperolehi daripada apa–apa pelaburan mana–mana jumlah wang dari kumpulan wang itu boleh dikeluarkan dan digunakan dari semasa ke semasa dengan kelulusan dan tertakluk kepada arahan Ketua Pengarah untuk menampung kos pentadbiran, kos undang–undang dan lain–lain kos untuk menyenggara dan mentadbir kumpulan wang itu dan liabiliti mana–mana pengendali taksolven sebagaimana yang ditetapkan.  
     Bagi maksud subseksyen ini seseorang pengendali hendaklah disifatkan sebagai taksolven jika—  
  (a) pada penutup tempoh perakaunan yang akhir yang mana pernyataannya telah diserahsimpan dengan Ketua Pengarah di bawah seksyen 41, pengendali adalah taksolven;  
  (b) prosiding penggulungan telah dimulakan terhadap pengendali;  
  (c) suatu perintah penerimaan telah dibuat terhadapnya oleh Mahkamah; dan  
  (d) pengendali telah diisytiharkan bankrap.  
    (5)   Menteri boleh menurut budi bicaranya mengarahkan Ketua Pengarah pada bila–bila masa selepas penubuhan kumpulan wang skim jaminan takaful memberhentikan pemungutan apa–apa jumlah wang secara levi jika dia berpuas hati bahawa terdapat wang yang lebih daripada mencukupi dalam salah satu atau kedua–dua kumpulan wang itu untuk menampung liabiliti mana–mana pengendali taksolven mengikut subseksyen (4), tetapi boleh, jika hal–keadaan membenarkan, mengarahkan Ketua Pengarah supaya menyambung semula pungutan itu daripada pengendali berkenaan dengan salah satu atau kedua–dua kumpulan wang skim jaminan takaful:  
     Dengan syarat bahawa Menteri boleh dari semasa ke semasa menurut budi bicaranya mengarahkan supaya seksyen ini tidaklah terpakai bagi jenis–jenis perniagaan takaful tertentu dalam mana–mana kelas atau boleh terpakai hanya dengan apa–apa kecualian, sekatan atau atas terma–terma atau selama apa–apa tempoh atau mengikut apa–apa cara sebagaimana yang ditetapkannya.  
    (6)   Ketua Pengarah boleh melantik mana–mana orang yang layak untuk membantunya dalam pentadbiran dan pembahagian kumpulan wang skim jaminan takaful.  
    (7)   Wang dalam kumpulan wang skim jaminan takaful setakat yang pada masa itu tidak dikehendaki dibelanjakan bagi maksud–maksud seksyen ini boleh dilaburkan mengikut apa–apa cara yang diluluskan oleh Menteri dan tidak berlawanan dengan Syariah dan semua pendapatan yang terakru berkenaan dengan pelaburan itu hendaklah dikreditkan ke dalam kumpulan wang.  
 
Penguatkuasaan keperluan mengenai daftar sijil dan kumpulan wang takaful dan bayaran levi oleh pengendali. 22.   (1)   Jika pengendali ingkar mematuhi peruntukan–peruntukan seksyen 15 hingga 21, Ketua Pengarah boleh melalui notis secara bertulis menghendaki pengendali membetulkan keingkaran itu.  
    (2)   Jika pengendali tidak membetulkan keingkaran itu dalam masa satu bulan setelah notis diberi, Mahkamah Tinggi boleh atas permohonan Ketua Pengarah membuat apa–apa perintah terhadap pengendali atau mana–mana pengarah atau pegawai pengendali sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah Tinggi dengan tujuan untuk membetulkan keingkaran itu dan selainnya menjamin pematuhan oleh pengendali akan seksyen 15 hingga 21.  
    (3)   Tiada apa jua yang dilakukan di bawah seksyen ini boleh menjejaskan liabiliti mana–mana orang kerana apa–apa kesalahan terhadap Akta ini.  
 
Takaful semula. 23.   (1)   Pengendali hendaklah membuat perkiraan yang konsisten dengan prinsip–prinsip takaful yang baik bagi mentakaful semula liabiliti berkenaan dengan risiko–risiko yang disanggupi atau yang akan disanggupi oleh pengendali semasa dia menjalankan perniagaan takaful.  
    (2)   Ketua Pengarah boleh dengan memberi notis secara bertulis menghendaki pengendali mengemukakan untuk pemeriksaannya, dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis itu, triti mengenai takaful semula, apa–apa maklumat lanjut lain mengenainya dan apa–apa perkiraan takaful semula lain sebagaimana yang dikehendakinya dalam kes tertentu.  
    (3)   Seseorang yang tidak mematuhi subseksyen (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit dan denda harian tidak melebihi seratus ringgit.  
 
Bayaran dalam mata wang Malaysia bagi wang perpaduan di bawah sijil perpaduan keluarga. 24.   (1)   Dalam hal sijil perpaduan keluarga yang dikeluarkan kepada peserta yang adalah seorang warganegara, apa–apa wang perpaduan atau wang yang kena dibayar semasa penyerahan sijil itu hendaklah, walaupun apa jua dalam sijil atau dalam apa–apa perjanjian berhubungan dengannya, di bayar dalam mata wang Malaysia, melainkan jika pada masa pembayaran itu, adalah dipersetujui sebaliknya di antara pengendali dan orang yang berhak mendapat bayaran.  
    (2)   Jika pengendali memuaskan hati Ketua Pengarah berkenaan dengan apa–apa sijil perpaduan keluarga yang didaftarkan di bawah Akta ini oleh pengendali bahawa wang perpaduan (termasuk apa–apa wang yang kena dibayar di bawah sijil itu apabila diserahkan) tidak boleh, mengikut sijil atau mana–mana perjanjian berhubungan dengannya, dibayar dalam mata wang Malaysia, maka bagi maksud–maksud subseksyen (2) seksyen 17 sebahagian daripada nilai aset kumpulan wang takaful yang relevan yang mana adalah bersamaan dengan nilai liabiliti pengendali berkenaan dengan sijil yang ditetapkan atas dasar yang diluluskan oleh Ketua Pengarah hendaklah diketepikan.  
 
Mengambil alih risiko oleh pengendali. 25.   (1)   Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), tiada pengendali boleh mengambil alih apa–apa risiko berkenaan dengan sesuatu perniagaan am melainkan jika dan sehingga—  
  (a) caruman yang kena dibayar diterima oleh pengendali atau dijamin akan dibayar oleh mana–mana orang mengikut apa–apa cara dan dalam suatu masa sebagaimana yang ditetapkan; atau  
  (b) deposit bagi suatu amaun sebagaimana yang ditetapkan adalah dibuat terlebih dahulu mengikut cara yang ditetapkan.  
    (2)   Jika caruman yang kena dibayar menurut subseksyen (1) diterima oleh mana–mana orang, termasuk ejen takaful atau broker, bagi pihak pengendali, penerimaan itu hendaklah disifatkan sebagai penerimaan yang dibuat oleh pengendali bagi maksud–maksud subseksyen itu dan beban membuktikan bahawa caruman yang kena dibayar itu telah diterima oleh seseorang, termasuk ejen takaful atau broker yang tidak diberi kuasa untuk menerima caruman itu hendaklah terletak pada pengendali.  
    (3)   Subseksyen (1) dan (2) hendaklah terpakai bagi apa–apa jenis perniagaan am takaful sebagaimana yang ditetapkan dari semasa ke semasa.  
    (4)   Jika mana–mana orang, termasuk ejen takaful atau broker, menerima bagi pihak pengendali suatu caruman atas sijil takaful dari jenis yang ditetapkan pada masa itu menurut subseksyen (3), orang itu hendaklah mendeposit dengan, atau menghantar secara pos kepada, pengendali caruman yang dipungut sedemikian itu dalam suatu masa sebagaimana yang ditetapkan berhubungan dengan sijil–sijil dari jenis itu.  
    (5)   Apa–apa pembayaran balik caruman berhubungan dengan sijil takaful dari jenis yang ditetapkan di bawah subseksyen (3) yang kena dibayar kepada peserta kerana pembatalan sijil atau perubahan di segi terma dan syaratnya atau apa–apa sebab lain hendaklah dibayar oleh pengendali secara langsung kepada peserta dan resit yang sempurna hendaklah diperolehi oleh pengendali dari peserta itu dan pembayaran balik itu tidak boleh sekali–kalinya dibayar atau dikreditkan kepada mana–mana orang lain, termasuk ejen takaful atau broker.  
    (6)   Mana–mana orang yang tidak mematuhi seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit.  
 
Pernyataan khilaf tentang umur dan tak mengelak penyertaan. 26.   Sesuatu sijil takaful tidak boleh dipersoalkan semata–mata oleh sebab hanya sesuatu pernyataan khilaf tentang umur peserta dalam hal perniagaan perpaduan keluarga yang disertai.  
 
Mengawal borang cadangan, sijil dan risalah. 27.   (1)   Ketua Pengarah boleh melalui notis secara bertulis menghendaki pengendali menyerahkan kepadanya borang cadangan dan sijil yang digunakan pada masa itu oleh pengendali, dan apa–apa risalah yang digunakan pada masa itu oleh pengendali untuk memperihalkan terma atau syarat, atau faedah yang akan atau yang mungkin akan diperolehi dari, sijil itu; dan jika kesemua atau sebahagian daripada mana–mana borang atau risalah itu bukan dalam Bahasa Kebangsaan atau bahasa Inggeris maka hendaklah diserahkan juga terjemahannya dalam Bahasa Kebangsaan atau bahasa Inggeris.  
    (2)   Kehendak di bawah seksyen ini, melainkan jika diperuntukkan selainnya di dalamnya, hendaklah terpakai kepada semua borang dan risalah seperti tersebut di atas tadi yang digunakan selepas kehendak itu dibuat dan sebelum Ketua Pengarah memberitahu pengendali bahawa kehendak itu ditarik balik.  
    (3)   Jika pada hemat Ketua Pengarah, setelah memberi peluang kepada pengendali untuk membuat representasi secara lisan atau bertulis bahawa mana–mana borang atau risalah seperti tersebut di atas tadi melanggari atau tidak mematuhi mana mana peruntukan Akta ini, atau dalam apa–apa segi mungkin mengelirukan, dia boleh melalui notis secara bertulis mengarahkan pengendali supaya menghentikan penggunaan borang atau risalah itu sama ada dengan serta–merta atau dari suatu tarikh yang dinyatakan dalam notis itu.  
    (4)   Bagi setiap kali seseorang pengendali menggunakan suatu salinan borang atau risalah dengan melanggar subseksyen (3), pengendali adalah bersalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi empat ribu ringgit.  
    (5)   Dalam seksyen ini, “risalah” termasuk apa–apa selembaran, pekeliling atau bahan pengiklanan serupa itu, sama ada bercetak atau tidak.  
 
Pernyataan, janji atau ramalan mengelirukan yang mendorong orang untuk membuat kontrak takaful. 28.   Mana–mana orang yang, dengan apa–apa pernyataan, janji atau ramalan yang dia ketahui adalah mengelirukan, palsu atau memperdayakan atau merahsiakan secara fraud sesuatu fakta matan, atau dengan cara semberono membuat (secara fraud atau sebaliknya) sesuatu pernyataan, janji, atau ramalan yang mengelirukan, palsu atau memperdayakan, mendorong atau cuba untuk mendorong orang lain untuk membuat atau menawar untuk membuat apa–apa kontrak takaful dengan seorang pengendali adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua–duanya.  
 
Kehendak–kehendak berkenaan dengan prospektus dan kenyataan modal.
Akta 125.
29.   (1)   (a)   Dalam sesuatu kes di mana, di bawah seksyen 39 atau 42 Akta Syarikat 1965, adalah menyalahi undang–undang untuk mengeluar, mengedar atau membahagikan suatu prospektus berhubungan dengan suatu syarikat tanpa satu salinannya dihantar terlebih dahulu untuk pendaftaran di bawah Akta itu, adalah juga menyalahi undang–undang, dalam hal sesuatu syarikat yang didaftarkan atau yang dicadang untuk didaftarkan sebagai pengendali di bawah Akta ini, melakukan sedemikian tanpa prospektus itu diizinkan oleh Ketua Pengarah; dan mana–mana orang yang dengan diketahuinya bertanggungjawab atas pengeluaran pengedaran atau pembahagian sesuatu prospektus yang melanggar subseksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit.  
  (b) Dalam subseksyen ini “prospektus” termasuklah apa–apa dokumen yang mana ungkapan itu terpakai dalam seksyen 39 atau 42 yang tersebut itu.  
    (2)   Jika notis, iklan atau lain–lain penerbitan rasmi sesuatu syarikat yang didaftarkan atau yang dicadang untuk didaftarkan sebagai pengendali di bawah Akta ini, mengandungi suatu pernyataan mengenai modal syer syarikat yang dibenarkan, dan tidak menyatakan di dalamnya banyak mana modal yang telah dicarum dan yang telah dibayar, syarikat itu adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi empat ribu ringgit.  
 
Membuka pejabat cawangan. 30.   Kecuali dengan kelulusan secara bertulis terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah, tiada pengendali boleh membuka pejabat cawangan.  
 
Kehilangan kelayakan pengarah urusan, pengarah ketua eksekutif, pegawai utama atau pengawal pengendali. 31.   (1)   Tanpa menjejaskan apa–apa jua yang terkandung dalam Akta Syarikat 1965, mana–mana orang yang menjadi pengarah urusan, pengarah, ketua eksekutif, pegawai utama atau pengawal pengendali hendaklah terhenti daripada memegang jawatan—  
  (a) jika dia menjadi bankrap;  
  (b) jika dia menyerahhakkan hartanya bagi faedah pemiutangnya atau membuat suatu perkiraan dengan pemiutangnya menurut mana–mana undang–undang berhubungan dengan kebankrapan; atau  
  (c) jika dia disabitkan atas suatu kesalahan yang melibatkan kecurangan atau fraud.  
    (2)   Mana–mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.  
 
Kewajipan memberitahu pertukaran pengarah urusan, pengarah, ketua eksekutif atau pegawai utama. 32.   Seseorang pengendali hendaklah memberi notis secara bertulis kepada Ketua Pengarah akan hal yang mana–mana orang telah menjadi atau terhenti menjadi pengarah urusan, pengarah, ketua eksekutif atau pegawai utama sebelum habis tempoh empat belas hari dari hari berikutan dengan hari yang hal atau perkara itu sampai kepada pengetahuan pengendali.  
 
Kuasa untuk memeriksa, menghendaki maklumat, dsb. 33.   (1)   Ketua Pengarah boleh dari semasa ke semasa secara rahsia memeriksa buku-buku, akaun-akaun dan transaksi-transaksi mana-mana pengendali dan mana-mana pejabat cawangannya. Akta A699.
    (2)   Bagi maksud-maksud pemeriksaan di bawah subseksyen (1), pengendali hendaklah memberi Ketua Pengarah akses kepada semua buku, akaun dan dokumen dan hendaklah memberikan semua maklumat dan kemudahan yang diperlukan untuk menjalankan pemeriksaan itu:  
     Dengan syarat bahawa buku-buku, akaun-akaun dan dokumen-dokumen itu tidaklah dikehendaki dikemukakan pada masa dan di tempat yang boleh mengganggu perjalanan sempurna perniagaan harian yang biasa bagi pengendali itu.  
    (3)   Jika Ketua Pengarah berpendapat bahawa adalah perlu berbuat demikian bagi mana-mana maksud Akta ini, dia boleh, melalui notis bertulis, menghendaki mana-mana pengarah, pegawai atau wakil mana-mana pengendali—  
  (a) memberinya apa-apa maklumat; atau  
  (b) hadir di hadapannya,  
  berkaitan dengan apa-apa perkara yang berhubungan dengan apa-apa perniagaan yang dijalankan oleh pengendali itu di dalam atau di luar Malaysia mengikut cara dan setakat, dan dalam hal kehadiran di hadapannya, pada masa dan di tempat, yang dinyatakan dalam notis itu.  
    (4)   Mana-mana orang yang enggan membenarkan pemeriksaan di bawah subseksyen (1), atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan subseksyen (2) atau mana-mana kehendak Ketua Pengarah di bawah subseksyen (3), adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit dan boleh juga dikenakan denda tambahan tidak melebihi lima ribu ringgit bagi tiap-tiap satu hari kesalahan itu diteruskan.  
 
Pertukaran dalam kawalan pengendali. 34.   (1)   Pertukaran dalam kawalan tidak boleh dibuat ke atas pengendali yang diperbadankan di Malaysia atau yang didaftarkan sebagai suatu pertubuhan di Malaysia melainkan jika Ketua Pengarah telah memberi kelulusan secara bertulis bagi pertukaran itu.  
    (2)   Dalam seksyen ini, “kawalan” ertinya pemilikan, secara langsung atau secara tak langsung, kuasa untuk mengarahkan atau menyebabkan diberi arahan kepada pihak pengurusan dan tentang polisi pengendali.  
 
Ejen dan broker takaful. 35.   (1)   Tiada seorang pun boleh menjalankan perniagaan takaful di Malaysia sebagai ejen takaful bagi seseorang pengendali yang tidak berkelayakan di bawah Akta ini untuk menjalankan perniagaan yang dipersoalkan di Malaysia; dan seorang yang melanggar subseksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit dengan ditambah sebanyak empat ribu ringgit bagi tiap–tiap satu hari yang dia dibuktikan telah melakukan kesalahan itu, atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua–duanya.  
    (2)   Tertakluk kepada subseksyen (3), tiada broker takaful boleh, semasa menjalankan urusannya sebagai sedemikian, merundingi apa–apa kontrak takaful dengan seseorang pengendali selain daripada pengendali yang berkelayakan di bawah Akta ini untuk menjalankan urusan yang dipersoalkan itu di Malaysia, dan tiada seorang pun di Malaysia boleh mensolisit perniagaan takaful bagi pengendali yang tidak berkelayakan untuk menjalankan perniagaan itu di Malaysia; dan seseorang yang melanggar subseksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi lapan ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua–duanya.  
    (3)   Sebutan–sebutan dalam subseksyen (2) mengenai kontrak takaful dan perniagaan takaful tidaklah terpakai bagi takaful semula.  
    (4)   Seksyen 33 hendaklah terpakai bagi ejen takaful dan broker takaful.  
 
Orang perantaraan dalam transaksi takaful. 36.   (1)   Mana–mana orang yang—  
  (a) mempelawa seorang lain untuk membuat tawaran atau cadangan atau mengambil apa–apa langkah lain dengan tujuan untuk membuat suatu kontrak takaful dengan seseorang pengendali; dan  
  (b) ada kaitan dengan pengendali sebagaimana yang diperuntukkan dalam peraturan–peraturan,  
  adalah dikehendaki memberi maklumat yang ditetapkan berkenaan dengan kaitannya dengan pengendali kepada orang yang kepadanya pelawaan itu dibuat.  
    (2)   Mana–mana orang yang tidak mematuhi seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi empat ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua–duanya.  
 
Melesenkan broker. 37.   (1)   Tiada seorang pun boleh bertindak atau mengemukakan dirinya sebagai broker takaful melainkan jika dia adalah pemegang lesen sebagai broker takaful yang diberi oleh Ketua Pengarah dan adalah anggota persatuan broker takaful yang diluluskan oleh Menteri.  
    (2)   Ketua Pengarah tidaklah dikehendaki menimbangkan sesuatu permohonan untuk mendapatkan lesen di bawah seksyen ini melainkan jika dia telah diberi apa–apa dokumen dan maklumat sebagaimana yang ditetapkan atau yang dikehendakinya dalam kes tertentu.  
    (3)   Dalam memberi suatu lesen di bawah seksyen ini Ketua Pengarah boleh mengenakan apa–apa syarat sebagaimana yang difikirkannya patut dan boleh pada bila–bila masa menambah, mengubah atau membatalkan syarat–syarat itu.  
    (4)   Tiap–tiap lesen di bawah seksyen ini hendaklah diberikan bagi suatu tempoh selama dua belas bulan setelah dibayar fee yang ditetapkan.  
    (5)   Ketua Pengarah boleh membatalkan apa–apa lesen yang diberi di bawah seksyen ini jika dia berpuas hati bahawa apa–apa syarat yang dikenakan ke atas lesen telah dilanggar atau adalah bagi kepentingan awam untuk berbuat demikian.  
    (6)   Seseorang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi lapan ribu ringgit dengan ditambah sebanyak dua ribu ringgit bagi tiap–tiap satu hari dia dibuktikan telah melakukannya atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua–duanya.  
 
Ajuster. 38.   (1)   Tiada seorang pun boleh bertindak atau mengemukakan dirinya sebagai seorang ajuster melainkan jika dia adalah pemegang lesen sebagai seorang ajuster yang diberi oleh Ketua Pengarah dan adalah seorang anggota sesuatu persatuan ajuster yang diluluskan oleh Menteri.  
    (2)   Ketua Pengarah tidaklah dikehendaki menimbangkan sesuatu permohonan untuk mendapatkan lesen di bawah seksyen ini melainkan jika dia telah diberi apa–apa dokumen dan maklumat sebagaimana yang ditetapkan atau yang dikehendakinya dalam kes tertentu.  
    (3)   Dalam memberi sesuatu lesen di bawah seksyen ini Ketua Pengarah boleh mengenakan apa–apa syarat sebagaimana yang difikirkannya patut dan boleh pada bila–bila masa menambah, mengubah atau membatalkan syarat–syarat itu.  
    (4)   Tiap–tiap lesen di bawah seksyen ini hendaklah diberikan bagi suatu tempoh selama dua belas bulan setelah dibayar fee yang ditetapkan.  
    (5)   Ketua Pengarah boleh membatalkan apa–apa lesen yang diberi di bawah seksyen ini jika dia berpuas hati bahawa apa–apa syarat yang dikenakan ke atas lesen telah dilanggar atau adalah bagi kepentingan awam untuk berbuat demikian.  
    (6)   Tiada suatu pun dalam seksyen ini boleh dipakai bagi—  
  (a) seorang peguambela dan peguamcara dan anggota–anggota dari profesion lain yang bertindak atau membantu menyelaraskan tuntutan takaful yang bersampingan dengan amalan profesion mereka dan yang tidak mengemukakan diri mereka sebagai ajuster;  
  (b) seorang ajuster bagi kerugian maritaim; atau  
  (c) seorang pekerja pengendali yang, semasa menjalankan pekerjaannya, bertindak atau membantu menyelaraskan tuntutan takaful dan yang tidak mengemukakan dirinya sebagai seorang ajuster.  
    (7)   Tiap–tiap ajuster hendaklah dalam masa satu bulan setelah berakhirnya setiap suku tahun mengemukakan kepada Ketua Pengarah satu laporan suku tahun dalam borang yang ditetapkan tentang semua kerugian yang menjadi perkara penyelarasan yang dilaksanakan olehnya.  
    (8)   Seksyen 30 dan 33 adalah terpakai bagi ajuster.  
    (9)   Seseorang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit dengan ditambah sebanyak empat ribu ringgit bagi tiap–tiap satu hari dia dibuktikan telah melakukannya, atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua–duanya.  
    (10)   Jika seseorang itu tidak mengemukakan laporan sebagaimana yang dikehendaki oleh subseksyen (7), dia adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit dan denda harian tidak melebihi dua ratus ringgit.  
 
Pemeriksaan ke atas orang yang disyaki bertindak mengemukakan dirinya sebagai broker atau ajuster. 39.   (1)   Apabila Ketua Pengarah mempunyai sebab untuk mngesyaki atau mempercayai bahawa seseorang itu bertindak atau mengemukakan dirinya sebagai broker takaful atau ajuster tanpa suatu lesen yang diberi di bawah Akta ini, dia boleh meminta atau memeriksa buku, akaun dan rekod orang itu bagi menentukan sama ada atau tidak orang itu telah melanggar atau sedang melanggar mana–mana peruntukan Akta ini.  
    (2)   Mana–mana orang yang dengan sengaja enggan mengemukakan buku, akaun dan rekod atau enggan membenarkan pemeriksaannya adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda sebanyak dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh dua belas bulan atau kedua–duanya dan denda harian tidak melebihi empat ribu ringgit.  
 
Kecualian bagi keesahan sijil. 40.   Tiada suatu pun dalam Bahagian ini boleh berkuatkuasa untuk membatalkan mana–mana sijil takaful.  
 
  BAHAGIAN IIA

PERNIAGAAN TAKAFUL ANTARABANGSA

 
 
Kehendak bagi menjalankan perniagaan sebagai pengendali takaful antarabangsa 40A.   (1)   Tiada seorang pun, selain seorang pengendali takaful yang mendaftar di bawah seksyen 8, boleh menjalankan atau melakukan transaksi atau mengemukakan dirinya sebagai menjalankan atau melakukan transaksi perniagaan takaful antarabangsa melainkan orang itu merupakan— Akta A1306.
  (a) suatu syarikat sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Syarikat 1965; atau  
  (b) suatu institusi asing,  
  dan didaftarkan di bawah Bahagian ini untuk menjalankan perniagaan itu.  
    (2)   Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lapan puluh ribu ringgit, dengan ditambah sebanyak enam belas ribu ringgit bagi tiap-tiap hari yang dia dibuktikan telah melakukan kesalahan itu, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua-duanya.  
 
Pendaftaran pengendali takaful antarabangsa oleh Ketua Pengarah 40B.   (1)   Suatu syarikat atau institusi asing yang membuat permohonan untuk pendaftaran di bawah Bahagian ini hendaklah membuat permohonan itu secara bertulis kepada Ketua Pengarah dan hendaklah membekalkan— Akta A1306.
  (a) suatu salinan memorandum persatuan dan artikel persatuan atau surat cara lain yang di bawahnya syarikat atau institusi asing itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, diperbadankan, yang ditentusahkan dengan sewajarnya melalui akuan berkanun yang dibuat oleh pegawai kanan syarikat atau institusi asing itu, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan  
  (b) apa-apa dokumen atau maklumat lain yang diperlukan oleh Ketua Pengarah.  
    (2)   Permohonan untuk didaftarkan berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga atau perniagaan am boleh dibuat oleh pengendali takaful antarabangsa yang telah pun didaftarkan berkenaan dengan yang satu lagi itu.  
    (3)   Ketua Pengarah tidak dikehendaki untuk menimbangkan suatu permohonan di bawah Bahagian ini, melainkan jika dia berpuas hati bahawa tujuan dan pengendalian perniagaan takaful antarabangsa yang hendak dijalankan itu tidak akan melibatkan apa-apa unsur yang tidak diluluskan oleh Agama Islam.  
    (4)   Jika Ketua Pengarah berpuas hati bahawa seseorang pemohon telah mematuhi semua kehendak seksyen ini dan seksyen 40C, Ketua Pengarah hendaklah merujukkan permohonan itu kepada Menteri dan melainkan jika Menteri mengarahkan selainnya, Ketua Pengarah hendaklah mendaftarkan pemohon itu berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga atau perniagaan am atau kedua-duanya—  
  (a) tertakluk kepada pembayaran fi yang ditetapkan di bawah seksyen 9; dan  
  (b) dengan atau tanpa syarat yang boleh dikenakan oleh Ketua Pengarah di bawah seksyen 10.  
    (5)   Ketua Pengarah hendaklah menyebabkan notis mengenai apa-apa pendaftaran suatu pengendali takaful antarabangsa disiarkan dalam Warta.  
 
Wang modal atau wang kerja bersih minimum 40C.   (1)   Tiada seorang pun boleh didaftarkan di bawah seksyen 40B dan tiada seorang pun yang didaftarkan di bawah seksyen itu boleh menjalankan perniagaan di Malaysia tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah jika— Akta A1306.
  (a) dalam hal suatu syarikat, wang modalnya yang tidak terjejas oleh kerugian atau selainnya adalah kurang daripada amaun minimum; atau  
  (b) dalam hal suatu institusi asing, wang kerja bersihnya yang tidak terjejas oleh kerugian atau selainnya adalah kurang daripada amaun minimum.  
    (2)   Bagi maksud seksyen ini—  
     “amaun minimum” ertinya apa-apa amaun wang modal atau apa-apa amaun wang kerja bersih yang disenggarakan oleh pengendali takaful antarabangsa sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri, atas syor Ketua Pengarah, melalui pemberitahuan dalam Warta;  
     “wang kerja bersih” ertinya apa-apa liabiliti bersih institusi asing di luar Malaysia sebagaimana yang ditakrifkan dan dikira mengikut apa-apa cara yang dinyatakan melalui notis secara bertulis dari semasa ke semasa oleh Ketua Pengarah; dan  
     “wang modal” ertinya modal berbayar dan rizab dan apa-apa sumber modal lain sebagaimana yang ditakrifkan dan dikira mengikut apa-apa cara yang dinyatakan melalui notis secara bertulis oleh Ketua Pengarah.  
    (3)   Penetapan amaun minimum yang hendaklah disenggarakan di bawah subseksyen (2) hendaklah dipatuhi dalam tempoh tangguhan yang sama yang tidak kurang daripada tiga bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam pemberitahuan itu.  
    (4)   Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lapan puluh ribu ringgit, dengan ditambah sebanyak enam belas ribu ringgit bagi tiap-tiap hari yang dia dibuktikan telah melakukan kesalahan itu, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua-duanya.  
 
Kuasa Menteri untuk mengubah suai peruntukan tertentu yang hendak dijadikan terpakai bagi pengendali takaful antarabangsa 40D.   (1)   Bagi mengelakkan keraguan, diisytiharkan bahawa suatu pengendali takaful atau pengendali takaful antarabangsa hendaklah, berkenaan dengan perniagaan takaful antarabangsa yang dijalankan olehnya, menjadi tertakluk kepada peruntukan Akta ini dan mana-mana peruntukan Akta ini yang terpakai bagi pengendali takaful hendaklah terpakai bagi pengendali takaful antarabangsa seolah-olah sebutan mengenai pengendali takaful dalamnya ialah sebutan mengenai pengendali takaful antarabangsa. Akta A1306.
    (2)   Menteri boleh, atas syor Ketua Pengarah, berkenaan dengan perniagaan takaful antarabangsa yang dijalankan oleh suatu pengendali takaful atau pengendali takaful antarabangsa, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, membuat apa-apa ubah suaian kepada mana-mana peruntukan Akta ini sebagaimana yang difikirkannya patut.  
 
  BAHAGIAN III

PENYATA, PENYIASATAN, PENGGULUNGAN DAN PEMINDAHAN PERNIAGAAN

 
 
Akaun tahunan dan audit. 41.   (1)   Seseorang pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini hendaklah menyediakan pernyataan akaun dan lain–lain pernyataan yang dikehendaki oleh Bahagian I Jadual Kedua dan menyerahsimpannya dengan Ketua Pengarah (bersama–sama dengan apa–apa fee yang ditetapkan), dan Bahagian III Jadual itu setakat mana yang relevan dengan pernyataan itu, hendaklah mempunyai kesan mengenai bentuk dan kandungannya serta masa dan cara ianya akan diserahsimpan.  
    (2)   Seseorang pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini hendaklah diaudit akaunnya bagi setiap tempoh perakaunan yang baginya pernyataan akaun itu disediakan mengikut subseksyen (1), dan apabila pernyataan itu diserahsimpan dengan Ketua Pengarah maka hendaklah diserahsimpan bersama–samanya suatu sijil juruaudit sebagaimana yang dikehendaki oleh Bahagian I Jadual Kedua.  
    (3)   Audit yang dikehendaki oleh subseksyen (2) hendaklah dibuat oleh seseorang yang—  
  (a) mempunyai tempat perniagaan di Malaysia;  
  (b) pada masa itu diberi kuasa di bawah seksyen 8 Akta Syarikat 1965, menjadi juruaudit pengendali atau juruaudit syarikat secara am; dan  
  (c) pada masa itu telah mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah untuk bertindak bagi maksud–maksud seksyen ini.  
    (4)   Dokumen–dokumen yang hendak diserahsimpan dengan Ketua Pengarah di bawah seksyen ini bagi apa–apa tempoh perakaunan pengendali hendaklah disertakan dengan salinan apa–apa laporan yang dikemukakan kepada anggota–anggota pengendali berkenaan dengan tempoh itu dan (jika ia bukan di antara dokumen–dokumen yang diserahsimpan sedemikian) dengan apa–apa pernyataan akaun yang dikemukakan sedemikian berkenaan dengan tempoh itu; tetapi sebutan–sebutan dalam Akta ini mengenai dokumen–dokumen yang diserahsimpan dengan Ketua Pengarah tidaklah boleh dikira termasuk dokumen–dokumen yang dikehendaki oleh seksyen ini disertakan dengan dokumen–dokumen yang diserahsimpan itu.  
    (5)   Jika apa–apa laporan atau pernyataan yang tersebut dalam subseksyen (4) adalah dalam bahasa yang lain daripada Bahasa Kebangsaan atau bahasa Inggeris, salinan yang dikehendaki oleh subseksyen itu hendaklah dalam Bahasa Kebangsaan atau bahasa Inggeris dan hendaklah diperakui oleh penterjemah sebagai terjemahan yang sebenar dari salinannya yang asal.  
 
Penyiasatan aktuari dan laporan tentang perniagaan perpaduan keluarga. 42.   (1)   Tertakluk kepada seksyen ini, seseorang pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga hendaklah menyebabkan suatu penyiasatan dibuat oleh seorang aktuari yang berkelayakan ke atas keadaan kewangan bagi bahagian kumpulan wang takaful dari perniagaan perpaduan keluarganya yang diuntukkan dengan khasnya untuk membayar faedah–faedah takaful dan hendaklah menyebabkan laporan mengenainya dibuat oleh aktuari kepada pengendali itu, dan hendaklah diserahsimpan dengan Ketua Pengarah (bersama–sama dengan apa–apa fee yang ditetapkan) ringkasan laporan aktuari dan sijil yang berhubungan dengannya dan apa–apa pernyataan tentang perniagaan itu sebagaimana yang dikehendaki oleh Bahagian II Jadual Kedua dan Bahagian III Jadual itu, setakat mana yang relevan dengan dokumen–dokumen itu, hendaklah mempunyai kesan mengenai bentuk dan kandungannya serta masa dan cara ianya akan diserahsimpan.  
    (2)   Penyiasatan di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat tiap–tiap tahun pada akhir tiap–tiap tempoh perakaunan sebagaimana yang ditetapkan oleh pengendali.  
    (3)   Sebutan–sebutan dalam Akta ini mengenai dokumen–dokumen yang diserahsimpan dengan Ketua Pengarah tidaklah boleh dikira termasuk dokumen–dokumen yang dikehendaki oleh seksyen ini disertakan dengan dokumen–dokumen yang diserahsimpan sedemikian.  
    (4)   Jika pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga—  
  (a) telah membuat penyiasatan aktuari ke atas perniagaan perpaduan keluarga yang baginya ada disenggarakan suatu kumpulan wang takaful di bawah Akta ini (sama ada dengan atau tanpa apa–apa perniagaan perpaduan keluarga lain yang dijalankan olehnya); dan  
  (b) penyiasatan itu tidak dibuat untuk mematuhi subseksyen (1) atau apa–apa peruntukan tentang penyata dalam undang–undang berhubungan dengan takaful dalam suatu negara di luar Malaysia, tetapi hasil penyiasatan itu diumumkan, maka pengendali hendaklah, apabila dokumen–dokumen itu diserahsimpan dengan Ketua Pengarah, mematuhi kehendak–kehendak subseksyen (1) sama halnya seperti penyiasatan di bawah subseksyen itu.  
 
Kuasa untuk menghendaki penyata di bawah seksyen 41 dan 42 dibetulkan. 43.   (1)   Jika pada hemat Ketua Pengarah bahawa apa–apa dokumen yang diserahsimpan mengikut seksyen 41 dan 42 mengenai sesuatu hal itu adalah tidak memuaskan, tidak lengkap, tidak tepat atau mengelirukan atau ia tidak mematuhi kehendak–kehendak Akta ini, Ketua Pengarah boleh melalui notis secara bertulis menghendaki apa–apa penjelasan sebagaimana yang difikirkannya perlu dibuat oleh atau bagi pihak pengendali dalam suatu masa (tidak kurang daripada empat belas hari) sebagaimana yang ditetapkan dalam notis itu.  
    (2)   Ketua Pengarah boleh, setelah menimbangkan penjelasan yang tersebut dalam subseksyen (1), atau jika penjelasan itu tidak diberi oleh atau bagi pihak pengendali dalam masa yang ditetapkan dalam subseksyen itu, menolak dokumen itu atau meberi apa–apa arahan sebagaimana yang difikirkannya perlu bagi membuat perubahan dalam suatu masa (tidak kurang daripada satu bulan) sebagaimana yang ditetapkan dalam arahan itu.  
    (3)   Arahan–arahan yang diberi di bawah subseksyen (2) berkenaan dengan apa–apa dokumen boleh menghendaki dibuat apa–apa perubahan berbangkit akan apa–apa dokumen lain yang diserahsimpan oleh pengendali di bawah seksyen 41 dan 42 sebagaimana yang ditetapkan dalam arahan itu.  
    (4)   Jika arahan diberi di bawah subseksyen (2), apa–apa dokumen yang berkaitan dengannya hendaklah disifatkan belum diserahsimpan sehingga ianya dikemukakan semula dengan perubahan–perubahan yang dikehendaki oleh arahan itu, tetapi pengendali hendaklah disifatkan telah mengemukakan dokumen itu dalam masa yang dihadkan oleh Jadual Kedua jika ia dikemukakan semula seperti yang tersebut di atas dalam masa yang dihadkan oleh arahan itu.  
 
Peruntukan–peruntukan tambahan mengenai penyata di bawah seksyen 41 dan 42. 44.   (1)   Seseorang peserta kepada pengendali adalah berhak, setelah memohon kepada pengendali, supaya dihantar oleh pengendali di alamat yang diberikan olehnya salinan–salinan dokumen yang diserahsimpan oleh pengendali untuk mematuhi seksyen 41 dan 42 dan supaya salinan itu dihantar tidak lewat daripada empat belas hari setelah pengendali menerima permohonan itu:  
     Dengan syarat bahawa hak itu tidaklah boleh meliputi apa–apa dokumen yang dikecualikan daripada subseksyen ini oleh Bahagian I Jadual Kedua atau dokumen dari apa–apa jenis lain kecuali jenis yang terakhir sekali diserahsimpan.  
    (2)   Seseorang itu adalah berhak, setelah membayar fee yang ditetapkan, memeriksa pada bila–bila masa sepanjang waktu bekerja, di pejabat Ketua Pengarah, apa–apa dokumen yang diserahsimpan oleh pengendali bagi mematuhi seksyen 41 atau 42 dan apa–apa dokumen yang dikehendaki oleh subseksyen (4) seksyen 41 supaya disertakan dengan dokumen yang diserahsimpan sedemikian, dan membuat satu salinan kesemua atau mana–mana bahagiannya:  
     Dengan syarat bahawa hak itu tidaklah boleh meliputi apa–apa dokumen yang dikecualikan daripada subseksyen ini oleh Bahagian I Jadual Kedua atau dokumen dari apa–apa jenis lain yang diserahsimpan lebih daripada sepuluh tahun terdahulunya.  
    (3)   Dalam mana–mana prosiding, sesuatu sijil yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah bahawa sesuatu dokumen adalah dokumen yang diserahsimpan oleh pengendali supaya mematuhi seksyen 41 atau 42, atau yang disertakan dengan dokumen yang diserahsimpan sedemikian, bolehlah diterima sebagai keterangan akan fakta–fakta yang diperakui itu.  
    (4)   Jika seseorang pengendali tidak mematuhi seksyen 41 atau 42, pengendali itu adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit dan denda harian tidak melebihi dua ratus ringgit.  
 
Penyata perubahan dalam butir–butir pendaftaran. 45.   (1)   Tertakluk kepada subseksyen (3), jika pengendali didaftarkan di bawah Akta ini berkenaan dengan mana–mana satu kelas perniagaan takaful, pengendali itu hendaklah dari semasa ke semasa, sehingga pengendali terhenti daripada didaftarkan sedemikian, memberitahu Ketua Pengarah secara bertulis mengenai apa–apa perubahan yang menjejaskan butir–butir pendaftaran pengendali, dan hendaklah berbuat sedemikian dalam masa tiga bulan selepas berlakunya perubahan itu.  
    (2)   Jika perubahan itu terkandung dalam pindaan kepada mana–mana dokumen atau gantian mana–mana dokumen oleh suatu dokumen baru, pengendali hendaklah memberi kepada Ketua Pengarah satu salinan dokumen yang menunjukkan pindaan itu atau, mengikut mana yang berkenaan, satu salinan dokumen yang baru itu.  
    (3)   Seksyen ini hendaklah berkuatkuasa tertakluk kepada apa–apa kecualian yang ditetapkan, dan Ketua Pengarah boleh dalam sesuatu kes tertentu mengenepikan (sama ada dengan tidak bersyarat atau tertakluk kepada apa–apa syarat) kehendak memberi maklumat di bawah seksyen ini tentang apa–apa perkara.  
    (4)   Dalam seksyen ini “butir–butir pendaftaran” ertinya dokumen dan maklumat yang diberi oleh pengendali untuk mematuhi subseksyen (3) seksyen 8 atau dalam hal pengendali takaful antarabangsa, subseksyen 40B(1) apabila memohon untuk didaftarkan berkenaan dengan kelas perniagaan yang berkenaan, atau yang diberi oleh pengendali untuk mematuhi seksyen ini berkenaan dengannya. Akta A1306.
 
Penyiasatan hal–ehwal pengendali takaful. 46.   (1)   Ketua Pengarah boleh memulakan suatu penyiasatan ke atas ke semua atau mana–mana bahagian perniagaan yang dijalankan oleh seseorang pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini, jika pada hemat Ketua Pengarah—  
  (a) pengendali itu tidak dapat atau mungkin tidak dapat memenuhi kewajipannya;  
  (b) pengendali itu tidak mematuhi mana–mana peruntukan Akta ini berhubung dengan kumpulan wang takaful;  
  (c) pengendali itu, setelah diberi notis di bawah seksyen 33, belum lagi, dalam masa satu bulan selepas itu, memberi maklumat yang dikehendaki dengan sepenuhnya dan dengan memuaskan;  
  (d) pengendali itu tidak mematuhi mana–mana peruntukan seksyen 41, 42 atau 45  
  (e) perbelanjaan atau mana–mana kelas perbelanjaan yang dilakukan semasa memperolehi, menyenggara atau mentadbir apa–apa perniagaan takaful bagi pengendali adalah tinggi dengan tidak wajar berhubungan dengan pendapatan yang diperolehi dari caruman;  
  (f) cara dengan mana apa–apa pendapatan atau perbelanjaan pengendali itu diumpuk di antara kumpulan–kumpulan wang takaful atau di antara suatu kumpulan wang takaful dengan mana–mana kumpulan wang atau akaun lain adalah tak saksama; atau  
  (g) apa–apa maklumat yang dimiliki oleh Ketua Pengarah memerlukan diadakan penyiasatan seperti itu.  
    (2)   Sebelum memulakan sesuatu penyiasatan di bawah seksyen ini, Ketua Pengarah hendaklah menyampaikan kepada pengendali suatu notis secara bertulis yang menetapkan bahawa sebelum tamat sesuatu penyiasatan di bawah seksyen ini pengendali tidaklah boleh dalam apa–apa hal–keadaan kecuali dengan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah, melupuskan apa–apa aset yang terletakhak pada pengendali atau yang terakru kepada pengendali.  
     Walau apa pun keluasan makna yang tersebut di atas bagi maksud seksyen ini, aset adalah termasuk tetapi tidaklah terhad kepada—  
  (i) aset tak alih mana–mana tanah, bangunan dan lekapan;  
  (ii) aset alih apa–apa perabot, kelengkapan, buku, majalah berkala dan apa–apa barangan alih lain, apa–apa kenderaan motor, vesel, kapal, pesawat udara dan lain–lain cara pengangkutan dari apa jua jenis termasuklah apa–apa traktor, jentolak dan apa–apa jenis jentera ringan dan berat yang lain dan juga alat dan perkakas;  
  (iii) pelaburan apa–apa sekuriti kerajaan Persekutuan, Negeri dan tempatan termasuk sekuriti bagi mana–mana badan kuasi kerajaan atau ejensi;  
  (iv) syarikat dan lain–lain pelaburan apa–apa stok dan syer sama ada disebut dalam sesuatu bursa saham atau tak disebutkan;  
  (v) wang tunai apa–apa wang tunai yang didepositkan dalam mana–mana bank, institusi pinjaman atau yang disimpan dengan mana–mana badan atau ejensi lain selama apa–apa jua tempoh sama ada atas akaun semasa atau akaun deposit termasuk apa–apa amaun wang tunai dalam tangan yang boleh ditentukan;  
  (vi) lain–lain aset apa–apa caruman, komisen dan lain–lain hutang atau bayaran yang belum dijelaskan yang terhutang dan kena dibayar dan hak yang kontraktual atau selainnya yang terakru atau terletakhak pada pengendali.  
    (3)   Ketua Pengarah sendiri boleh menjalankan penyiasatan atau boleh melantik seorang pemeriksa untuk membuat penyiasatan itu dan melaporkan hasil penyiasatan itu kepadanya.  
    (4)   Ketua Pengarah boleh melantik seorang juruaudit (selain dari juruaudit yang menyediakan pernyataan akaun atau lain–lain pernyataan bagi pengendali di bawah seksyen 41), seorang aktuari, atau mana–mana orang lain yang sesuai menjadi pemeriksa untuk menjalankan penyiasatan di bawah seksyen ini dan kos penyiasatan itu hendaklah dibayar oleh pengendali.  
    (5)   Dalam membuat sesuatu penyiasatan di bawah seksyen ini, Ketua Pengarah atau pemeriksa boleh menghendaki—  
  (a) pengendali, atau mana–mana orang yang menyimpannya bagi pihak pengendali;  
  (b) mana–mana orang yang menjadi atau telah pada bila–bila masa menjadi atau bertindak sebagai pengarah, aktuari, juruaudit, pegawai, pengkhidmat atau ejen pengendali; atau  
  (c) mana–mana peserta pengendali yang dahulu atau sekarang,  
  mengemukakan untuk pemeriksaannya, dan membenarkannya mempunyai akses kepada dan menyalin kesemua atau mana–mana bahagian daripada, mana–mana buku, akaun, rekod atau lain–lain dokumen pengendali, sama ada yang disimpan di Malaysia atau di tempat lain (termasuk dokumen yang menerangkan hakmilik pengendali ke atas sesuatu aset):  
     Dengan syarat bahawa suatu kehendak di bawah subseksyen ini hendaklah meliputi hanya dokumen–dokumen berhubungan dengan perniagaan yang dijalankan oleh pengendali di Malaysia, atau yang menerangkan hak milik pengendali ke atas aset yang dipegang bagi maksud apa–apa perniagaan seperti itu.  
    (6)   Dalam membuat sesuatu penyiasatan di bawah seksyen ini, Ketua Pengarah atau pemeriksa boleh menghendaki mana–mana individu sebagaimana yang ditetapkan dalam subseksyen (5) supaya hadir di hadapannya dan diperiksa dengan mengangkat sumpah berkenaan dengan perniagaan pengendali, dan bagi maksud–maksud subseksyen ini boleh mengendalikan sumpah.  
    (7)   Jika mana–mana orang enggan atau tidak, apabila dikehendaki berbuat demikian di bawah subseksyen (5) atau (6), mengemukakan sesuatu dokumen dalam simpanan atau kuasanya atau hadir atau menyerah untuk pemeriksaan oleh Ketua Pengarah atau pemeriksa atau pun menjawab apa–apa soalan yang dikemukakan kepadanya apabila diperiksa sedemikian, Ketua Pengarah atau pemeriksa boleh mengesahkan keengganan di bawah tandatangannya dan dihantar ke Mahkamah Tinggi; dan Mahkamah Tinggi boleh selepas itu menyiasat kes itu, dan setelah mendengar mana–mana saksi yang di kemukakan terhadap atau bagi pihak pesalah yang dikatakan itu dan setelah mendengar apa–apa pernyataan yang diberi sebagai pembelaan, menghukum pesalah itu dengan cara yang sama seolah–olah dia telah bersalah kerana menghina Mahkamah Tinggi.  
 
Kuasa Ketua Pengarah untuk mengeluarkan arahan. 47.   (1)   Jika Ketua Pengarah berpuas hati bahawa hal–ehwal pengendali dijalankan mengikut cara yang mungkin merugikan kepentingan awam, kepentingan peserta, atau kepentingan pengendali, Ketua Pengarah boleh mengeluarkan apa–apa arahan kepada pengendali sebagaimana difikirkannya perlu dan khususnya boleh menghendaki pengendali—  
  (a) mengambil apa–apa tindakan atau mengambil bertugas mana–mana kakitangan pengurusan sebagaimana perlu untuk membolehkan pengendali menjalankan perniagaannya mengikut prinsip–prinsip takaful yang baik;  
  (b) memecat mana–mana pengarahnya yang Ketua Pengarah fikirkan bukannya orang yang layak dan sesuai untuk terus menjadi pengarah;  
  (c) mengambil tindakan mengenai pelupusan atau mendapatkan kembali asetnya;  
  (d) mengambil langkah untuk mendapatkan kembali wang yang pada hemat Ketua Pengarah telah dibayar secara menyalahi undang–undang atau tak wajar;  
  (e) menghentikan pembaharuan atau menghentikan pengeluaran sijil bagi kelas perniagaan yang dimaksudkan dengan arahan itu;  
  (f) membuat apa–apa perkiraan berkenaan dengan takaful semula sebagaimana yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah.  
    (2)   Ketua Pengarah boleh mengubahsuai atau membatalkan apa–apa arahan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) dan dalam berbuat demikian boleh mengenakan apa–apa syarat sebagaimana difikirkannya patut.  
    (3)   Seseorang pengendali yang tidak mematuhi apa–apa arahan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) adalah bersalah melakukan suatu kesalahan dan, apa–apa disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua–duanya dan denda tambahan sebanyak empat ribu ringgit bagi tiap–tiap hari selama mana kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.  
 
Peruntukan am mengenai penggulungan. 48.   (1)   Orang–orang yang boleh membuat petisyen di bawah Akta Syarikat 1965 bagi penggulungan pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini, atau bagi penerusan penggulungna pengendali seperti itu tertakluk kepada pengawasan Mahkamah, hendaklah termasuk Ketua Pengarah.  
    (2)   Ketua Pengarah hendaklah menjadi suatu pihak dalam mana–mana prosiding di bawah Akta Syarikat 1965, berhubungan dengan penggulungan pengendali seperti itu, dan likuidator dalam penggulungan itu hendaklah memberi kepadanya apa–apa maklumat yang ditanyai dari semasa ke semasa mengenai hal–ehwal pengendali itu.  
    (3)   Bagi maksud apa–apa prosiding di bawah Akta Syarikat 1965, bagi penggulungan pengendali seperti itu oleh Mahkamah, liabiliti kontingen dan prospektif pengendali berkenaan dengan sijil hendaklah, dalam menentukan sama ada ia tidak dapat membayar hutangnya, dianggarkan mengikut peraturan–peraturan itu; dan keterangan bahawa pengendali adalah taksolven pada penutup tempoh perakaunan yang akhir yang baginya pernyataan akaun telah diserahsimpan dengan Ketua Pengarah di bawah seksyen 41 hendaklah menjadi bukti bahawa pengendali itu terus tidak dapat membayar hutangnya.  
    (4)   Jika Menteri mengemukakan kepada Jawatankuasa Kaedah cadangan–cadangan bagi membuat peruntukan khas di bawah seksyen 372 Akta Syarikat 1965, berhubungan dengan pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini atau apa–apa jenis pengendali, Jawatankuasa itu boleh melalui kaedah–kaedah di bawah seksyen itu melaksanakan cadangan–cadangan, sama ada sebagaimana dikemukakan atau tertakluk kepada apa–apa ubahsuaian sebagaimana yang difikirkan patut oleh Jawatankuasa.  
    (5)   Cadangan–cadangan di bawah subseksyen (4), dan kaedah–kaedah yang dibuat menurut kuasanya, boleh mengadakan peruntukan bagi pengubahsuaian atau pengecualian, berhubungan dengan pengendali yang didaftarkan sedemikian, peruntukan–peruntukan Bahagian X Akta Syarikat 1965 yang menghendaki diadakan mesyuarat atau selainnya berhubungan dengan prosedur dalam penggulungan.  
    (6)   Dalam penggulungan pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini, subseksyen (2) seksyen 291 Akta Syarikat 1965 (yang memakai kaedah–kaedah kebankrapan dalam penggulungan syarikat taksolven) tidaklah terpakai bagi penilaian liabiliti berkenaan dengan sijil; tetapi dalam sesuatu penggulungan itu, sama ada pengendali itu taksolven atau tidak, liabiliti itu hendaklah dianggarkan mengikut peraturan–peraturan dan, berkenaan dengan perkara–perkara yang tidak ditetapkan oleh peraturan–peraturan, atas dasar yang diluluskan oleh Mahkamah:  
     Dengan syarat bahawa dalam penggulungan sukarela seorang anggota, dasar yang akan dipakai berkenaan dengan perkara–perkara yang tidak ditetapkan oleh peraturan–peraturan boleh diluluskan oleh Ketua Pengarah dan bukannya oleh Mahkamah.  
    (7)   Sebutan–sebutan dalam seksyen ini mengenai pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini hendaklah juga meliputi pengendali yang telah terhenti daripada didaftarkan sedemikian tetapi terus berada di bawah apa–apa liabiliti berkenaan dengan sijil Malaysia.  
 
Peruntukan khas bagi pengendali takaful yang diarahkan supaya menghentikan perniagaan takaful. 49.   (1)   Jika Ketua Pengarah memberi pengendali suatu arahan di bawah subseksyen (1) (e) seksyen 47, pengendali boleh digulung oleh Mahkamah di bawah Akta Syarikat 1965 seolah–olah ia telah menggantung perniagaannya bagi keseluruhan tahun (atau, dalam hal penggulungan di bawah Penggal 5 Bahagian X Akta itu, seolah–olah ianya telah terhenti menjalankan perniagaan).  
    (2)   Jika Ketua Pengarah memberi pengendali suatu arahan seperti tersebut di atas tadi tetapi, atas suatu petisyen supaya pengendali digulungkan oleh Mahkamah, Mahkamah berpuas hati bahawa pengendali boleh membayar hutangnya dengan penuh dalam masa dua belas bulan atau suatu tempoh yang lebih lama sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah, Mahkamah boleh (jika difikirkannya patut) memerintahkan supaya hal–ehwal pengendali digulung hanya berkenaan dengan kumpulan wang takaful yang disenggara untuk jenis perniagaan yang dimaksudkan dengan arahan itu.  
    (3)   Suatu perintah di bawah subseksyen (2) bagi penggulungan yang terhad hendaklah mempunyai kesan yang sama seperti suatu perintah supaya pengendali digulungkan secara am, kecuali setakat mana seksyen ini memperuntukkan selainnya.  
    (4)   Jika perintah seperti itu dibuat, kuasa likuidator hendaklah kena dijalankan hanya bagi maksud menggunakan aset bagi kumpulan wang takaful yang relevan sahaja (termasuk deposit di bawah Akta ini) dalam melepaskan liabiliti yang mengenainya ia terpakai, bersama–sama dengan kos, caj dan perbelanjaan yang dilakukan dalam penggulungan itu; tetapi pengendali hendaklah dari semasa ke semasa, sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah, membuat apa–apa tambahan kepada aset itu sebagaimana yang dikehendaki untuk menjaminkan yang ia mencukupi bagi maksud itu atau hendaklah, jika Mahkamah mengarahkan sedemikian, melepaskan mana–mana liabiliti itu dari aset lain.  
    (5)   Dalam penggulungan seseorang pengendali di bawah perintah seperti itu, Akta Syarikat 1965 hendaklah mempunyai kuatkuasa tertakluk kepada ubahsuaian yang berikut:  
  (a) seksyen 214 (atau, mengikut mana yang berkenaan, seksyen 316) dan lain–lain seksyen setakat mana ianya berhubungan dengan caruman tidaklah terpakai;  
  (b) seksyen 222 hendaklah terpakai, sebagaimana terpakai sebelumnya, setelah dibuat perintah penggulungan, dan subseksyen (3) seksyen 126 tidaklah terpakai; dan  
  (c) seksyen 223, 224, 272, 283 dan 293 hingga 299 tidaklah terpakai.  
    (6)   Jika perintah seperti itu dibuat, Mahkamah boleh pada bila–bila masa, atas permintaan likuidator atau mana–mana orang yang mungkin membuat petisyen supaya pengendali digulungkan, menggantikan suatu perintah supaya pengendali digulungkan secara am, dan memberi apa–apa arahan yang difikirkan patut oleh Mahkamah tentang perkara–perkara yang sedang berjalan di bawah perintah yang terdahulu, dan, tertakluk kepada apa–apa arahan seperti itu, penggulungan hendaklah bagi segala maksud berkaitan dengan perintah yang digantikan itu, disifatkan telah mula berkuatkuasa pada masa pemakaian perintah itu.  
 
Koperasi menjalankan perniagaan takaful. 50.   (1)   Jika sesuatu koperasi yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi adalah pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini, tiada apa–apa prosiding bagi pembubaran atau penggulungan koperasi itu boleh diambil di bawah Bahagian VII Akta itu kecuali dengan keizinan Ketua Pengarah dan mengikut apa–apa syarat, jika ada, sebagaimana yang difikirkannya patut dengan melampirkan keizinan itu.  
    (2)   Walau apa pun peruntukan—  
  (a) seksyen 57 Akta Koperasi 1948 atau seksyen 59 Ordinan Koperasi Sabah dan Sarawak, mengikut mana yang berkenaan; atau  
  (b) subseksyen (1) seksyen 314 Akta Syarikat 1965,  
  mana–mana koperasi seperti itu yang menjadi pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini hendaklah disifatkan sebagai syarikat tak berdaftar dalam erti Penggal 5 Bahagian X Akta Syarikat 1965 dan boleh digulung oleh Mahkamah dengan sewajarnya di bawah Akta itu:  
     Dengan syarat bahawa dalam sesuatu penggulungan seperti itu—  
  (a) peruntukan–peruntukan Akta Syarikat 1965 hendaklah terpakai dengan menggantikan sebutan–sebutan mengenai Pendaftar Syarikat dan daftar di bawah Akta itu dengan sebutan–sebutan mengenai Pendaftar dan daftar di bawah Akta Koperasi; dan  
  (b) peruntukan–peruntukan Akta Koperasi, yang mengawal pelupusan sesuatu lebihan, hendaklah terpakai, tertakluk kepada apa–apa ubahsuaian yang perlu, sebagaimana peruntukan–peruntukan terpakai jika sesuatu koperasi digulung di bawah Akta itu.  
    (3)   Jika sesuatu koperasi terhenti daripada menjadi pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini, tetapi masih di bawah sesuatu liabiliti berkenaan dengan sijil Malaysia, seksyen ini hendaklah terpakai seolah–olah koperasi itu adalah pengendali yang didaftarkan sedemikian.  
 
Skim bagi permindahan perniagaan. 51.   (1)   Kesemua atau sebahagian daripada perniagaan takaful bagi pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini boleh dipindahkan kepada seorang pengendali lain yang didaftarkan berkenaan dengan kelas atau kelas–kelas perniagaan yang akan dipindahkan itu, jika pemindahan itu dilaksanakan melalui suatu skim di bawah seksyen ini, tetapi tidaklah boleh dipindahkan kecuali melalui skim seperti itu:  
     Dengan syarat bahawa tiada apa–apa skim boleh memindahkan apa–apa perniagaan takaful bagi koperasi yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi kecuali kepada suatu koperasi lain yang didaftarkan sedemikian, dan juga tidaklah boleh memindahkan kepada pertubuhan itu apa–apa perniagaan kecuali perniagaan sesuatu koperasi yang lain.  
    (2)   Mana–mana pengendali yang didaftarkan di bawah Akta ini hendaklah menurut kuasa seksyen ini mempunyai kuasa untuk membuat pemindahan seperti itu melalui skim di bawah seksyen ini, dan pengarah adalah berkuasa bagi pihak pengendali membuat perkiraan mengenai pemindahan itu dan melakukan semua perkara yang perlu untuk melaksanakan pemindahan itu; dan subseksyen ini hendaklah terpakai walaupun ketiadaan kuasa atau autoriti di bawah perlembagaan pengendali atau ada apa–apa sekatan yang dikenakan oleh perlembagaannya atas kuasa pengarah.  
    (3)   Suatu skim di bawah seksyen ini boleh mengadakan peruntukan bagi perniagaan yang berkenaan dipindahkan kepada badan yang tidak didaftarkan sebagai pengendali di bawah Akta ini berkenaan dengan kelas perniagaan yang relevan (termasuk suatu badan yang belum lagi wujud), jika skim itu dirangka sedemikian untuk berkuatkuasa hanya sekiranya badan itu didaftarkan sedemikian.  
    (4)   Suatu skim di bawah seksyen ini bagi pemindahan sesuatu perniagaan takaful boleh meliputi pemindahan dengannya apa–apa perniagaan lain, yang bukannya perniagaan takaful, di mana perniagaan yang satu lagi itu dijalankan oleh pengendali sebagai tambahan sahaja kepada perniagaan takaful yang dipindahkan.  
    (5)   Suatu skim di bawah seksyen ini boleh termasuk peruntukan–peruntukan mengenai perkara–perkara yang bersampingan dengan pemindahan yang dilaksanakan itu, dan peruntukan untuk menguatkuasakan pemindahan itu, dan khususnya—  
  (a) bagi apa–apa harta, hak atau liabiliti pemindahmilik (termasuk aset yang terkandung dalam suatu deposit di bawah Akta ini atau dalam kumpulan wang takaful) diletakhakkan, menurut kuasa skim itu dan tanpa asurans selanjutnya atau asurans lain, pada penerima pindahmilik; dan  
  (b) bagi pendaftaran oleh penerima pindahmilik sijil, bagi amaun yang dimasukkan berkenaan dengan sijil ke dalam kumpulan wang takaful penerima pindahmilik dan bagi perkara–perkara yang timbul di bawah Akta ini dari pemindahan itu.  
    (6)   Suatu skim di bawah seksyen ini tidak akan berkuatkuasa melainkan jika disahkan oleh Mahkamah Tinggi, tetapi boleh disediakan dan dikemukakan untuk pengesahan kepada Mahkamah Tinggi oleh mana–mana pengendali berkenaan; dan jika disahkan sedemikian, skim itu hendaklah mempunyai kuatkuasa menurut tenornya walau apa pun peruntukan yang terkandung dalam seksyen yang terdahulu dan hendaklah mengikat mana–mana orang yang terlibat dengannya itu.  
 
Pengesahan skim. 52.   (1)   Sebelum sesuatu permohonan dibuat kepada Mahkamah Tinggi bagi pengesahan skim di bawah seksyen 51—  
  (a) satu salinan skim itu hendaklah diserahsimpan dengan Ketua Pengarah bersama–sama dengan salinan aktuari dan laporan–laporan lain (jika ada) yang skim itu berasaskan padanya;  
  (b) tidak lebih awal daripada satu bulan setelah salinan itu diserahsimpan sedemikian notis tentang niat untuk membuat permohonan (mengandungi butir–butir sebagaimana yang ditetapkan) hendaklah disiarkan dalam Warta dan dalam tidak kurang daripada dua buah akhbar yang diluluskan oleh Ketua Pengarah; dan  
  (c) bagi tempoh selama lima belas hari selepas tersiarnya notis itu, satu salinan skim itu hendaklah disimpan di tiap–tiap pejabat di Malaysia bagi setiap pengendali yang berkenaan, dan hendaklah dibuka untuk pemeriksaan oleh semua anggota dan peserta pengendali yang terlibat dengan skim itu.  
    (2)   Ketua Pengarah boleh menyebabkan satu laporan ke atas skim itu dibuat oleh aktuari berkelayakan yang bebas dari pihak–pihak kepada skim itu dan, jika dia berbuat demikian, hendaklah menyebabkan satu salinan laporan itu dihantar kepada setiap pengendali yang berkenaan.  
    (3)   Salinan–salinan skim dan apa–apa laporan seperti itu yang disebutkan dalam subseksyen (1) (a) atau (2), atau ringkasan skim itu yang diluluskan oleh Ketua Pengarah dan apa–apa laporan itu, hendaklah, kecuali setakat mana Mahkamah Tinggi atas permintaan yang dibuat bagi pihak itu mengarahkan selainnya, dihantar oleh pengendali yang berkenaan, sekurang–kurangnya lima belas hari sebelum permohonan dibuat bagi pengesahan skim itu kepada tiap–tiap peserta yang terlibat dengan skim itu.  
    (4)   Sesuatu permohonan kepada Mahkamah berkenaan dengan apa–apa perkara yang berkaitan dengan skim itu boleh, pada bila–bila masa sebelum pengesahan oleh Mahkamah, dibuat oleh Ketua Pengarah atau oleh mana–mana orang yang pada pendapat Mahkamah mungkin akan terlibat dengan skim itu.  
    (5)   Mahkamah boleh mengesahkan skim tanpa ubahsuaian atau tertakluk kepada ubahsuaian–ubahsuaian yang dipersetujui oleh pengendali yang berkenaan, atau boleh enggan mengesahkan skim itu.  
    (6)   Pengendali yang berkenaan hendaklah bersama dan berasingan bertanggungan membayar ganti kepada Ketua Pengarah apa–apa perbelanjaan yang dilakukan olehnya di bawah seksyen ini berkaitan dengan sesuatu skim atau skim yang dicadangkan (tertakluk kepada apa–apa perintah Mahkamah mengenai kos); dan suatu skim hendaklah termasuk peruntukan mengenai bagaimana liabiliti itu ditanggung di antara pengendali.  
 
Dokumen–dokumen hendaklah difailkan apabila skim disahkan. 53. (1)   (a) Jika melalui skim di bawah seksyen 51 perniagaan takaful bagi sesuatu pengendali dipindahmilik kepada seorang pengendali lain, penerima pindahmilik hendaklah dalam masa satu bulan setelah skim itu berkuatkuasa, menyerahsimpan dengan Ketua Pengarah—  
  (i) pernyataan aset dan liabiliti setiap pengendali yang berkenaan sebagaimana pada masa sebelum sahaja pindahmilik itu, ditandatangani bagi pihak pengendali dan, dalam hal pemindahmilik, menunjukkan sama ada pindahmilik itu adalah mengenai keseluruhan perniagaan pemindahmilik dan, jika tidak, takat aset dan liabiliti pemindahmilik yang berhubungan dengan perniagaan yang dipindahmilik itu;  
  (ii) satu salinan skim sebagaimana yang disahkan oleh Mahkamah, dan satu salinan perintah Mahkamah yang diperakui yang mengesahkan skim itu;  
  (iii) salinan sesuatu laporan aktuari atau laporan–laporan atas mana skim itu diasaskan (iaitu laporan yang dibuat sejak salinan skim itu diserahsimpan di bawah subseksyen (1) seksyen 52); atau  
  (iv) suatu akuan berkanun yang dibuat oleh pengerusi pengarah penerima pindahmilik, atau oleh pegawai utamanya yang menyatakan dengan sepenuhnya tiap–tiap bayaran yang dibuat atau yang akan dibuat kepada mana–mana jua orang oleh kerana pindahmilik itu, dan menyatakan bahawa, sepanjang yang dia percayai, tiada apa–apa bayaran lain selain dari yang dinyatakan itu telah atau akan dibuat oleh kerananya itu oleh atau dengan pengetahuan pengendali yang berkenaan.  
  (b) Dalam perenggan (a) (iv) sebutan–sebutan mengenai pembuatan pembayaran termasuklah sebutan–sebutan mengenai pemindahan apa–apa jenis harta atau hak.  
    (2)   Apabila suatu skim di bawah seksyen 52 disahkan setiap pengendali yang berkenaan hendaklah (melainkan jika ia adalah suatu syarikat tak diperbadankan) memfailkan satu salinan skim itu dengan Pendaftar Syarikat atau, dalam hal pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi, dengan Pendaftar di bawah Akta itu.  
 
  BAHAGIAN IV

PELBAGAI DAN AM

 
 
Nasihat Majlis Penasihat Syariah. 53A.   (1)   Seseorang pengendali takaful, ejen takaful, broker takaful atau ajuster boleh mendapatkan nasihat Majlis Penasihat Syariah tentang perkara-perkara Syariah yang berhubungan dengan perniagaan takafulnya dan pengendali takaful, ejen takaful, broker takaful atau ajuster itu hendaklah mematuhi nasihat Majlis Penasihat Syariah. Akta A1212.
    (2)   Sesuatu persatuan—  
  (a) yang anggota-anggotanya merupakan pengendali takaful, ejen takaful, broker takaful atau ajuster; atau  
  (b) yang anggota-anggotanya merupakan syarikat insurans, ejen insurans, broker insurans atau ajuster insurans, yang ada antaranya mengendalikan perniagaan takaful,  
  boleh mendapatkan nasihat Majlis Penasihat Syariah tentang perkara-perkara Syariah yang berhubungan dengan perniagaan takaful anggota-anggotanya dan persatuan itu dan anggota-anggotanya yang mengendalikan perniagaan takaful hendaklah mematuhi nasihat Majlis Penasihat Syariah.  
    (3)   Dalam seksyen ini, “Majlis Penasihat Syariah” ertinya Majlis Penasihat Syariah yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) seksyen 16B Akta Bank Negara Malaysia 1958.  
 
Bank Negara bertanggungjawab terhadap pentadbiran, dll. Akta ini dan Gabenor Bank Negara sebagai Ketua Pengarah Takaful. 54.   (1)   Bank Negara hendaklah bertanggungjawab bagi mentadbirkan, menguatkuasakan, menjalankan dan melaksanakan peruntukan-peruntukan Akta ini dan Gabenor Bank Negara adalah Ketua Pengarah Takaful dan hendaklah menjalankan, menunaikan dan melaksanakan bagi pihak Bank Negara, kuasa-kuasa, kewajipan-kewajipan dan fungsi-fungsi yang diberikan kepada Ketua Pengarah di bawah Akta ini. Akta A737.
    (2)   Dalam menjalankan fungsi–fungsinya Ketua Pengarah hendaklah bertindak mengikut apa–apa arahan am Menteri.  
    (3)   Pada menjalankan fungsi–fungsinya di bawah seksyen 18, 30, 34, subseksyen (3) seksyen 37, subseksyen (3) seksyen 38 dan seksyen 47 Ketua Pengarah hendaklah berunding dengan Menteri terlebih dahulu dan hendaklah bertindak menurut apa–apa arahan yang diberi oleh Menteri.  
    (4)   Jika Ketua Pengarah (atau pemangku Ketua Pengarah pada masa itu semasa berlaku suatu kekosongan atau semasa ketiadaan atau ketakupayaan Ketua Pengarah) bukannya seorang aktuari yang berkelayakan, Menteri hendaklah membuat perkiraan mengadakan perkhidmatan seorang aktuari yang berkelayakan supaya ada pada setiap masa bagi maksud menasihat berhubungan dengan perkara–perkara yang timbul di bawah Akta ini.  
    (5)   Tanpa menjejaskan peruntukan-peruntukan subseksyen (6), Ketua Pengarah boleh melantik mana-mana pegawai Bank Negara untuk menjalankan atau melaksanakan semua atau mana-mana kuasa, kewajipan atau fungsi Ketua Pengarah di bawah Akta ini. Akta A699.
    (6)   Ketua Pengarah boleh memberikuasa atau melantik mana-mana orang untuk membantunya menjalankan kuasa-kuasanya atau melaksanakan kewajipan-kewajipan atau fungsi-fungsinya di bawah Akta ini sama ada secara am atau di dalam mana-mana kes tertentu. Akta A699.
 
Indemniti. 55.   Ketua Pengarah, mana-mana pegawai Bank Negara yang dilantik di bawah subseksyen (5) seksyen 54, mana-mana orang yang dilantik di bawah subseksyen (3) seksyen 46, atau mana-mana orang yang diberikuasa atau dilantik di bawah subseksyen (6) seksyen 54 tidaklah bertanggungan bagi apa jua yang dilakukan atau yang tidak dilakukan dengan suci hati pada menjalankan apa–apa kuasa atau pelaksanaan apa–apa fungsi atau kewajipan yang dilakukan atau dipertanggungkan oleh Akta ini atau mana–mana peraturan yang dibuat di bawahnya. Akta A699.
 
Pegawai-pegawai yang disifatkan sebagai pengkhidmat-pengkhidmat awam.
N.M.B. Bab 45.
55A.   Bagi maksud-maksud Akta ini, Ketua Pengarah, mana-mana pegawai Bank Negara yang dilantik di bawah subseksyen (5) seksyen 54, mana-mana orang yang dilantik di bawah subseksyen (3) seksyen 46, dan mana-mana orang yang diberikuasa atau dilantik di bawah subseksyen (6) seksyen 54 hendaklah disifatkan sebagai pengkhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan. Akta A699.
 
Laporan tahunan. 56.   (1)   Tidak lewat daripada akhir bulan April dalam sesuatu tahun kalendar, Ketua Pengarah hendaklah menyedia dan mengemukakan kepada Menteri suatu laporan mengenai perjalanan Akta ini sepanjang tahun kalendar yang terdahulu.  
    (2)   Ketua Pengarah hendaklah memasukkan ke dalam laporannya di bawah seksyen ini bagi mana–mana tahun, salinan atau ringkasan dokumen yang diserahsimpan dengannya dalam tahun itu di bawah seksyen 41 dan 42, selain dari dokumen–dokumen yang dikecualikan daripada subseksyen (1) dan (2) seksyen 44, dan boleh memasukkan salinan atau ringkasan dokumen yang menyertai salinan dan ringkasan dokumen yang diserahsimpan seperti tersebut di atas; dan dia boleh juga memasukkan dalam laporan itu apa–apa nota tentang dokumen atau ringkasan itu sebagaimana yang difikirkannya patut, dan salinan apa–apa surat–menyurat di antaranya dengan pengendali mengenai apa–apa dokumen seperti itu yang diserahsimpan oleh pengendali atau diterima daripada pengendali.  
    (3)   Apabila menerima suatu laporan di bawah seksyen ini, Menteri hendaklah membentangkan salinannya di hadapan tiap–tiap Majlis Parlimen.  
 
Statistik. 57.   (1)   Peraturan–peraturan boleh membuat peruntukan mengenai pemungutan oleh atau bagi pihak Ketua Pengarah, pada lat–lat tempoh atau ketika–ketika yang ditetapkan, maklumat statistik mengenai perkara–perkara yang relevan dengan takaful sebagaimana yang ditetapkan, dan boleh membuat peruntukan mengenai pemungutan dan penggunaan maklumat itu bagi apa–apa maksud, sama ada atau tidak berkaitan dengan takaful.  
    (2)   Peraturan–peraturan itu boleh membuat peruntukan untuk menghendaki pengendali, broker takaful dan ajuster supaya memberi kepada Ketua Pengarah, dalam borang yang ditetapkan, apa–apa maklumat sebagaimana yang ditetapkan.  
    (3)   Sesuatu maklumat yang diperolehi oleh atau bagi pihak Ketua Pengarah tidah boleh digunakan semata–mata menurut kuasa seksyen ini kecuali dalam bentuk yang tidak menzahirkan hal–ehwal seseorang yang tertentu.  
 
Penyampaian notis. 58.   Surat yang mengandungi suatu notis atau lain–lain dokumen yang akan disampaikan oleh Ketua Pengarah di bawah Akta ini hendaklah disifatkan telah dialamatkan ke tempat yang wajar jika ianya dialamatkan ke tempat di Malaysia yang ditunjukkan oleh penerima surat kepada Ketua Pengarah sebagai alamatnya atau ke alamatnya yang terbaharu di Malaysia yang diketahui oleh Ketua Pengarah.  
 
Kerahsiaan dan penalti. 59.   (1)   Kecuali bagi maksud–maksud Akta ini atau apa–apa prosiding jenayah di bawah Akta ini, tiada seorang pun yang dilantik untuk menjalankan apa–apa kuasa di bawah Akta ini boleh menzahirkan apa–apa maklumat berkenaan dengan perniagaan seseorang individu atau hal–ehwal mana–mana peserta individu bagi pengendali yang telah diperolehi semasa menjalankan kewajipannya dan yang tidak disiarkan menurut Akta ini.  
    (2)   Mana–mana orang yang dengan disedarinya melanggar peruntukan–peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun.  
 
Pengecualian. 59A.   Menteri boleh, atas syor Ketua Pengarah, jika difikirkannya selaras dengan maksud Akta ini, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan dengan atau tanpa syarat, mana-mana pengendali takaful, pengendali takaful antarabangsa atau orang daripada semua atau mana-mana peruntukan Akta ini. Akta A1306.
 
Peruntukan–peruntukan am mengenai kesalahan. 60.   (1)   Mana–mana orang yang—  
  (a) menandatangani apa–apa dokumen yang diserahsimpan dengan Ketua Pengarah di bawah seksyen 41 atau 42, atau di bawah subseksyen (1) (a) (i) seksyen 53; atau  
  (b) memberi kepada Ketua Pengarah apa–apa maklumat di bawah atau bagi maksud apa–apa peruntukan lain Akta ini,  
  hendaklah menjaga dengan wajar untuk menjamin supaya dokumen atau maklumat itu tidak palsu dalam sesuatu butir matan; dan jika dia tidak menjaga dengan wajar bagi maksud ini dan dokumen atau maklumat itu adalah palsu dalam sesuatu butir matan, dia adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua–duanya.  
    (2)   Mana–mana orang yang melanggar sesuatu kewajipan yang dipertanggungkan ke atasnya oleh atau menurut kuasa Akta ini atau apa–apa peraturan yang dibuat di bawah Akta ini kerana menjadi atau telah menjadi pengendali, broker takaful atau ajuster adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, dalam hal di mana tiada penalti lain diperuntukkan oleh Akta ini atau peraturan–peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit dan denda harian tidak melebihi dua ratus ringgit.  
    (3)   Jika sesuatu kesalahan di bawah Akta ini dilakukan oleh mana–mana syarikat atau pertubuhan perbadanan, seseorang yang pada masa berlakunya kesalahan itu adalah seorang pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai lain yang serupa bagi syarikat atau badan itu, atau yang dikatakan bertindak atas sifat itu, adalah melakukan kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa dia telah menjalankan segala usaha untuk mencegah berlakunya kesalahan itu sebagaimana dia sepatutnya telah jalankan, dengan mengambil kira jenis fungsinya atas sifat itu dan semua hal–keadaan.  
    (4)   Jika sesuatu kesalahan di bawah Akta ini dilakukan oleh suatu syarikat atau pertubuhan perbadanan, iaitu kesalahan yang termasuk dalam pelanggaran suatu kewajipan yang dipertanggungkan hanya kepada syarikat dan pertubuhan perbadanan, mana–mana individu yang melakukan kesalahan itu (sama ada menurut kuasa subseksyen (3) atau selainnya, apabila disabitkan, boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan sebagai tambahan kepada, atau sebagai ganti, apa–apa denda.  
    (5)   Bagi maksud apa–apa prosiding di bawah subseksyen (1) (a) suatu dokumen yang dikatakan sebagai ditandatangani oleh mana–mana orang hendaklah dianggap telah ditandatangani olehnya, melainkan jika dibuktikan sebaliknya.  
 
Mengkompaun kesalahan. 61.   Menteri boleh menetapkan kesalahan–kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Akta ini atau peraturan–peraturan yang dibuat di bawahnya dan cara bagaimana kesalahan–kesalahan itu boleh dikompaunkan.  
 
Pendakwaan. 62.   Sesuatu pendakwaan berkenaan dengan apa–apa kesalahan di bawah Akta ini atau mana–mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini boleh dijalankan oleh Ketua Pengarah atau mana–mana orang yang diberi kuasa bagi maksud itu oleh Ketua Pengarah.  
 
Bidang kuasa mahkamah. 63.   Walau apa pun peruntukan mana–mana undang–undang bertulis, sesuatu mahkamah Majistret Kelas Satu adalah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan sesuatu kesalahan di bawah Akta ini dan untuk mengenakan hukuman penuh bagi apa–apa kesalahan seperti itu.  
 
Keupayaan kanak–kanak untuk turut serta. 64.   Seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun tidaklah berkeupayaan membuat kontrak takaful.  
 
Bayaran tuntutan perpaduan keluarga tanpa probet, dsb. 65.   (1)   Apabila seseorang peserta, berhubungan dengan sijil perpaduan keluarga atau sijil perpaduan, mati dan dengan kematiannya faedah takaful adalah kena dibayar di bawah sijil–sijil itu, pengendali boleh membayar kepada pihak menuntut yang wajar sejumlah wang perpaduan sebagaimana yang ditetapkan tanpa pengeluaran apa–apa probet atau surat mentadbir pusaka dan pengendali hendaklah dilepaskan daripada semua liabiliti berkenaan dengan jumlah wang yang dibayar itu.  
    (2)   Jika, dalam sesuatu hal yang tersebut dalam subseksyen (1), duti harta pusaka adalah kena dilevi di Malaysia ke atas mana–mana wang perpaduan, pengendali boleh walau pun pun—  
N.M.B. 7/11. (a) seksyen 50 (ii) Enakmen Duti Harta Pusaka 1941 bagi Negeri–Negeri Melayu Bersekutu; atau  
Sabah Bab 42. (b) subseksyen (1) seksyen 35 Ordinan Duti Harta Pusaka Sabah,  
  membayar kepada pihak menuntut wajar sejumlah wang sebagaimana ditetapkan untuk dibayar di bawah subseksyen (1) tanpa wang perpaduan dimasukkan dalam jadual atau sijil yang dinyatakan dalam seksyen–seksyen yang tersebut dalam perenggan (a) dan (b):  
     Dengan syarat bahawa sebelum membuat sesuatu bayaran di bawah subseksyen ini pengendali hendaklah memberi tidak kurang daripada empat belas hari notis bertulis melalui pos berdaftar kepada Pemungut Duti Harta Pusaka dengan apa–apa butir sebagaimana yang dikehendakinya.  
    (3)   Jika sejumlah wang dibayar di bawah subseksyen (2) oleh kerana sesuatu wang perpaduan dan wang perpaduan itu tidak dimasukkan dalam jadual atau sijil yang tersebut dalam subseksyen (2) dalam masa dua belas bulan setelah bayaran itu dibuat, pengendali hendaklah mendeposit bakinya dengan Perbendaharaan; tetapi sebelum mengembalikan baki itu kepada pengendali di atas permohonannya untuk membayar kepada orang yang berhak mendapat baki itu, Perbendaharaan boleh menggunakan kesemua atau sebahagian daripada jumlah wang yang didepositkan untuk membayar apa–apa duti harta pusaka yang belum berbayar yang kena dilevi atas kematian itu.  
    (4)   Dalam seksyen ini, “pihak menuntut wajar” ertinya seseorang yang mendakwa berhak mendapat jumlah wang yang berkenaan sebagai wasi kepada si mati, atau yang mendakwa berhak mendapat jumlah wang itu di bawah undang–undang yang berkaitan.  
 
Pengetahuan dan pernyataan oleh ejen yang diberi kuasa hendaklah disifatkan pengetahuan dan pernyataan oleh pengendali. 66.   (1)   Seseorang yang pada bila–bila masa telah diberi kuasa sebagai ejennya oleh pengendali takaful dan yang mensolisit atau merundingi suatu kontrak takaful atas sifat itu hendaklah dalam setiap hal itu disifatkan bagi maksud pembentukan kontrak, sebagai ejen pengendali itu dan pengetahuan orang itu berhubungan dengan sesuatu perkara yang relevan dengan penerimaan risiko oleh pengendali hendaklah disifatkan sebagai pengetahuan pengendali.  
    (2)   Sesuatu pernyataan yang dibuat atau apa–apa perbuatan yang dilakukan oleh mana–mana orang itu atas sifatnya sebagai wakil hendaklah disifatkan, bagi maksud pembentukan kontrak, sebagai pernyataan yang dibuat atau perbuatan yang dilakukan oleh pengendali walaupun terdapat pelanggaran terhadap seksyen 28 atau mana–mana peruntukan lain dalam Akta ini oleh orang itu.  
    (3)   Seksyen ini tidaklah terpakai—  
  (a) jika terdapat pakatan atau pembiaran di antara orang itu dan peserta yang dicadangkan dalam pembentukan kontrak itu; dan  
  (b) jika orang itu telah terhenti daripada menjadi ejennya dan pengendali telah mengambil segala langkah yang munasabah untuk memberitahu atau membawa kepada pengetahuan bakal peserta dan orang awam amnya akan hal mengenai pemberhentian itu.  
 
Pemakaian undang–undang lain.
Akta 125.
Akta 136.
Akta 89.
Ord.49/58.
Akta 287.
Sabah 3/58.
Sarawak Bab 66.
67.   (1)   Jika terdapat apa–apa percanggahan atau ketakselarasan di antara peruntukan–peruntukan Akta ini dengan peruntukan–peruntukan Akta Syarikat 1965, Akta Kontrak 1950, Akta Insurans 1963, Ordinan Pengangkutan Jalan 1958 dan Akta Koperasi, maka peruntukan–peruntukan Akta ini hendaklah terpakai.  
    (2)   Tanpa menyentuh keluasan subseksyen (1), untuk mengelakkan keraguan, maka adalah ditetapkan bahawa peruntukan-peruntukan Akta Insurans 1963 tidaklah terpakai berhubungan dengan syarikat atau pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta ini dan yang menjalankan apa-apa perniagaan yang berupa perniagaan insurans mengikut erti yang sama di bawah Akta Insurans 1963, dan peruntukan- peruntukan semua undang-undang bertulis hendaklah terpakai kepada syarikat atau pertubuhan itu dan kepada perniagaan yang seperti itu seolah-olah ianya suatu syarikat atau pertubuhan yang dibenarkan oleh undang-undang untuk menjalankan perniagaan itu dan mengeluarkan apa-apa polisi atau perakuan yang dikehendaki di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan perniagaan itu. Akta A620.
 
Peraturan–peraturan 68.   Menteri boleh membuat peraturan–peraturan untuk menguatkuasakan tujuan Akta ini, dan untuk menetapkan sesuatu yang hendak ditetapkan di bawah Akta ini.  
 
Kuasa untuk mengeluarkan garis panduan, dsb. 69.   Ketua Pengarah atau Menteri, boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan apa-apa garis panduan, surat pekeliling atau nota sebagaimana yang difikirkan suai manfaat atau perlu oleh Ketua Pengarah atau Menteri bagi menguatkuasakan tujuan Akta ini. Akta A1306.
 
  JADUAL PERTAMA

[Seksyen 4 (2) (c), 13 (2), (5) dan (6), 17 (3) dan (4)]

ASET MALAYSIAN YANG DIBENARKAN UNTUK DEPOSIT DAN KUMPULAN WANG TAKAFUL

 
Akta 275. 1.   Sijil pelaburan yang dikeluarkan di bawah Akta Pelaburan Kerajaan 1983, atau apa–apa sekuriti yang wang pokoknya dicagarkan secara langsung atau sebagai gerenti ke atas Kumpulan Wang Disatukan bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri.  
  2.   Syer dalam, atau sekuriti bagi, sesuatu pertubuhan yang di perbadankan di Malaysia yang disenaraikan oleh mana–mana bursa saham yang diluluskan di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983.  
  3.   Syer dalam, atau sekuriti bagi, sesuatu pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi.  
  4.   Harta atau kepentingan tanah di Malaysia dan, sebanyak mana nilainya sekuriti, pendahuluan, pinjaman, kemudahan kredit atau kemudahan pembiayaan yang dijamin di atas mana–mana harta atau kepentingan itu. Akta A620.
Akta 102.
Akta 276.
5.   Mana–mana mata wang Malaysia, dan apa–apa amaun yang kena dibayar dalam mata wang itu yang dipegang atas akaun semasa atau apa–apa akaun deposit di Malaysia dengan suatu bank yang dilesenkan di bawah Akta Bank 1973 atau Akta Bank Islam 1983 atau mana–mana institusi kewangan lain sebagimana yang ditetapkan.  
  6.   Apa–apa pinjaman atau pelaburan lain dalam atau yang berkaitan dengan Malaysia sebagaimana yang ditetapkan.  
 
  JADUAL KEDUA

[Seksyen 41 (1) dan (2), 42 (1), 43 (4), 44 (1) dan (2)]

PENYATA OLEH PENGENDALI TAKAFUL

BAHAGIAN I

DOKUMEN YANG HENDAK DISERAHSIMPAN SETIAP TAHUN

 
  1.   (1)   Seseorang pengendali, untuk mematuhi subseksyen (1) seksyen 41, hendaklah menyerahsimpan pernyataan akaun dan lain–lain pernyataan sebagaimana disebutkan dalam perenggan ini.  
    (2)   Maka hendaklah diserahsimpan bagi tiap–tiap tempoh perakaunan—  
  (a) oleh pengendali yang didaftarkan berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga, akaun hasil perniagaan pengendali, dan oleh pengendali yang didaftarkan berkenaan dengan perniagaan am sesuatu akaun hasil berkenaan dengan perniagaan itu; dan  
  (b) oleh mana–mana pengendali suatu akaun untung rugi bagi keseluruhan perniagaan pengendali,  
  bersama–sama dengan kunci kira–kira yang berasingan, seperti pada penutup tempoh perakaunan itu, bagi tiap–tiap jenis perniagaan takaful yang berkenaan dengannya pengendali itu didaftarkan.  
    (3)   Maka hendaklah diserahsimpan—  
  (a) oleh pengendali yang didaftarkan berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga, pernyataan bagi tiap–tiap tempoh perakaunan yang memberi, berkenaan dengan sijil yang dipunyai oleh kelas perniagaan itu, butir–butir—  
  (i) mengenai pengeluaran sijil baru sepanjang tempoh itu;  
  (ii) mengenai penamatan dan pengurangan liabiliti atau caruman atau sijil takaful sepanjang tempoh itu, dan pemindahan sijil kepada atau dari Daftar sepanjang tempoh itu; dan  
  (iii) mengenai sijil yang berkuatkuasa di akhir tempoh itu;  
  (b) oleh pengendali yang didaftarkan berkenaan dengan perniagaan am, pernyataan bagi tiap–tiap tempoh perakaunan yang memberi, berkenaan dengan sijil yang dipunyai oleh kelas perniagaan itu, butir–butir mengenai caruman dan tuntutan; dan  
  (c) oleh pengendali yang didaftarkan berkenaan dengan mana–mana kelas perniagaan pernyataan bagi tiap–tiap tahun kalendar yang memberi butir–butir mengenai aset yang dipegang di akhir tahun itu sebagai aset kumpulan wang takaful yang disenggara bagi perniagaan kelas itu.  
    (4)   Peraturan–peraturan boleh mengubahsuai subperenggan (3) (c) supaya ianya memerlukan pernyataan aset kumpulan wang takaful itu dibuat bagi sebahagian daripada suatu tahun kalendar bukannya bagi keseluruhan tahun.  
    (5)   Pernyataan yang dikehendaki oleh subperenggan (3) (c) hendaklah dikecualikan dari subseksyen (1) dan (2) seksyen 44.  
  2.   (1)   Bersama–sama dengan apa–apa akaun dan kunci kira–kira yang diserahsimpan di bawah perenggan 1, maka hendaklah diserahsimpan sijil juruaudit yang ditandatangani olehnya dan menyatakan sama ada pada pendapatnya—  
  (a) akaun dan kunci kira–kira itu adalah mengikut Akta ini;  
  (b) kunci kira–kira itu sebenarnya menggambarkan kedudukan kewangan pengendali; dan  
  (c) buku–buku pengendali telah disimpan dengan sempurnanya dan hal–ehwal serta transaksi pengendali telah direkod dengan betul:  
       Dengan syarat bahawa jika pengauditan itu tidak meliputi keseluruhan perniagaan pengendali, sijil juruaudit itu hendaklah, berkenaan dengan perenggan (b) dan (c), diberi dengan tertakluk kepada pembatasan yang sesuai.  
    (2)   Sijil juruaudit hendaklah juga menyatakan—  
  (a) bahawa pengendali telah, sepanjang tempoh perakaunan yang relevan, mematuhi peruntukan–peruntukan subseksyen (2) (b) seksyen 4;  
  (b) sama ada dalam tempoh perakaunan yang relevan itu mana–mana bahagian aset dari kumpulan wang atau kumpulan–kumpulan wang takaful yang disenggara di bawah Akta ini telah dipakai dengan melanggari seksyen 16, dan sama ada dalam tempoh itu seksyen 17 telah dipatuhi berhubungan dengan aset–aset itu dan apa–apa aset yang termasuk dalam subseksyen (5) seksyen 17;  
  (c) mengenai dokumen–dokumen yang menerangkan hakmilik pengendali bagi apa–apa aset seperti itu sama ada dia telah memeriksa dokumen–dokumen itu seperti yang dipegang oleh atau bagi pihak pengendali dalam Malaysia, dan sama ada dia telah menerima maklumat yang memuaskan tentang tempat dan penyimpanan dokumen lain, dengan menyatakan sama ada pengendali mematuhi kehendak–kehendak seksyen 20;  
  (d) sama ada semua pengumpukan yang perlu dan wajar telah dibuat dalam menyediakan akaun dan kunci kira–kira, dan telah dibuat mengikut cara yang saksama; dan  
  (e) apa–apa pelanggaran lain terhadap Akta ini sebagaimana yang ditemui semasa menjalankan pengauditan.  
  BAHAGIAN II

DOKUMEN HENDAKLAH DISERAHSIMPAN SEMASA PENYIASATAN AKTUARI KE ATAS PERNIAGAAN PERPADUAN KELUARGA

 
  3.   (1)   Pengendali yang didaftarkan berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga hendaklah, supaya mematuhi subseksyen (1) seksyen 42 dalam hal sesuatu penyiasatan aktuari, menyerahsimpan apa–apa dokumen sebagaimana tersebut dalam perenggan ini.  
    (2)   Maka hendaklah diserahsimpan suatu ringkasan dari laporan aktuari, yang hendaklah ditandatangani oleh aktuari dan hendaklah termasuk—  
  (a) suatu ringkasan dan penilaian sijil takaful seperti pada tarikh penyiasatan itu; dan  
  (b) suatu penilaian kunci kira–kira seperti pada tarikh perniagaan yang dimaksudkan dengan laporan itu.  
    (3)   Maka hendaklah diserahsimpan suatu sijil oleh aktuari, yang ditandatangani olehnya, bahawa dia berpuas hati tentang ketepatan penilaian yang dibuat bagi maksud penyiasatan itu dan tentang penilaian itu dibuat mengikut Akta ini, dan tentang ketepatan data atas mana penilaian itu didasarkan:  
     Dengan syarat bahawa, jika aktuari itu bukan pegawai tetap bagi pengendali, sijil aktuari hendaklah, setakat mana berhubungan dengan ketepatan data atas mana penilaian itu didasarkan, diberi dan ditandatangani oleh atau bagi pihak pegawai utama pengendali di Malaysia, dan aktuari hendaklah bagi pihak dirinya mengenai sijil itu menyatakan langkah awasan yang diambil oleh aktuari untuk memastikan ketepatan data itu.  
    (4)   Maka hendaklah diserahsimpan pernyataan yang ditandatangani oleh aktuari yang menganalisa seperti pada tarikh penyiasatan itu kedudukan mengenai sijil takaful dan caruman perniagaan yang dimaksudkan dengan laporan itu.  
  BAHAGIAN III

SERAHSIMPAN, BENTUK DAN ISI KANDUNGAN

 
  4.   (1)   Suatu dokumen yang hendak diserahsimpan oleh pengendali hendaklah diserahsimpan dengan menghantar kepada Ketua Pengarah lima salinan, yang mana (melainkan jika dokumen itu sendiri dikehendaki oleh Jadual ini supaya ditandatangani) sekurang–kurangnya satu salinan hendaklah ditandatangani oleh dua orang daripada pengarah pengendali dan oleh atau bagi pihak pegawai utama pengendali di Malaysia.  
    (2)   Orang–orang yang menandatangani apa–apa kunci kira–kira hendaklah memperakui bahawa mereka percaya aset yang dinyatakan dalam kunci kira–kira adalah bernilai sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam kunci kira–kira, setelah ditolak sesuatu kumpulan wang pelaburan rezab yang diambil kira; dan mereka hendaklah juga sama ada memperakui bahawa dalam tempoh perakaunan yang relevan tiada bahagian dari aset kumpulan wang takaful yang disenggara di bawah Akta ini telah disenggara dengan melanggari seksyen 16, dan sepanjang tempoh itu seksyen 17 telah dipatuhi berhubungan dengan aset–aset itu dan mana–mana aset yang termasuk dalam subseksyen (5) seksyen 17, atau menyatakan kecualian–kecualiannya.  
    (3)   Orang–orang yang menandatangani suatu kunci kira–kira berkenaan dengan perniagaan perpaduan keluarga hendaklah memperakui bahawa dalam tempoh perakaunan yang relevan itu peruntukan–peruntukan subseksyen (3) seksyen 65 berkenaan dengan baki deposit wang perpaduan dengan Perbendaharaan telah dipatuhi.  
  5.   (1)   Tertakluk kepada subperenggan (2), suatu dokumen hendaklah diserahsimpan dalam masa enam bulan selepas tarikh yang relevan, atau dalam tempoh yang lebih lama sebagaimana yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah (tetapi tidak melebihi sembilan bulan dari tarikh yang relevan); dan bagi maksud ini tarikh yang relevan ialah tarikh yang dimaksudkan dengan dokumen atau, dalam hal suatu akaun atau pernyataan bagi tempoh perakaunan, pada akhir tempoh itu:  
     Dengan syarat bahawa Ketua Pengarah, setelah berpuas hati bahawa hal–ehwal mana–mana pengendali dijalankan mengikut cara yang mungkin merosakkan kepentingan awam, kepentingan peserta, atau kepentingan pengendali, boleh dalam apa–apa jua hal seperti itu menetapkan suatu tempoh yang kurang daripada enam bulan bagi maksud–maksud subperenggan ini.  
    (2)   Apa–apa pernyataan mengenai aset kumpulan wang takaful sebagaimana yang dikehendaki oleh subperenggan (3) (c) perenggan 1 hendaklah diserahsimpan dalam masa tiga bulan dari tarikh yang dimaksudkan dengan pernyataan itu.  
  6.   Suatu dokumen hendaklah dibuat dalam Bahasa Kebangsaan atau bahasa Inggeris dan hendaklah (mengenai kelima–lima salinan) sama ada dicetak atau, dengan kebenaran Ketua Pengarah, dikemukakan dengan cara–cara mekanikal lain yang diluluskan olehnya.  
  7.   Jika melalui Jadual ini suatu dokumen dikehendaki ditandatangani oleh atau bagi pihak pegawai utama pengendali, ia hendaklah, jika tidak ditandatangani oleh pegawai itu, ditandatangani oleh salah seorang pegawai pengendali di Malaysia yang pada masa itu diberitahu kepada Ketua Pengarah sebagai mempunyai kuasa bagi maksud–maksud Jadual ini untuk menandatangani sebagai mengganti pegawai utama.  
  8.   (1)   Tertakluk kepada subperenggan yang berikut, suatu dokumen hendaklah dalam borang yang ditetapkan dan mengandungi butir–butir yang ditetapkan, dan disediakan mengikut peraturan–peraturan (termasuk peraturan–peraturan mengenai cara bagaimana penilaian itu hendak dibuat atau cara mana–mana butiran itu hendak disenggara).  
    (2)   Ketua Pengarah boleh dalam sesuatu hal tertentu membenarkan apa–apa penyimpangan sebagaimana yang difikirkannya patut dari apa–apa kehendak peraturan–peraturan di bawah subperenggan (1), jika dia berpuas hati bahawa tujuan dokumen yang berkenaan itu walau bagaimanapun akan dipenuhi keseluruhannya.  
    (3)   Tanpa menyentuh subperenggan (2), jika suatu ringkasan mengenai laporan aktuari ke atas penyiasatan yang dibuat kena diserahsimpan selain daripada mematuhi subseksyen (1) sekyen 42, ringkasan itu boleh mematuhi peraturan–peraturan di bawah subperenggan (1) dengan tertakluk kepada apa–apa ubahsuaian yang diluluskan oleh Ketua Pengarah, memandangkan tujuan penyiasatan aktuari itu dan bentuk serta isi kandungan laporannya itu.  
 

Incorporating Latest Amendment Act A1306/2007
Paparan terbaik 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox 3+
Total of Unique Visitor Since 1st January 2010 :
Last Updated Date : 21 January 2013