Cetak       Kongsi


Misc

Soalan Lazim mengenai Mekanisme Penggenapan

1. Apakah Mekanisme Penggenapan?

Mekanisme Penggenapan ialah satu cara yang dengannya jumlah keseluruhan bil (termasuk barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai) dinaikkan atau diturunkan kepada 5 sen terdekat. Sehubungan dengan itu, jumlah keseluruhan bil yang berakhir dengan 1, 2, 6 dan 7 sen akan diturunkan kepada 5 sen terdekat dan jumlah keseluruhan bil yang berakhir dengan 3, 4, 8 dan 9 sen akan dinaikkan kepada 5 sen terdekat.

Sebagai contoh, jumlah keseluruhan bil sebanyak RM82.01 akan diturunkan kepada RM82.00. Sekiranya jumlah keseluruhan bil sebanyak RM82.04, ia akan dinaikkan kepada RM82.05.

Jadual di bawah menggambarkan bagaimana Mekanisme Penggenapan dilaksanakan:

Bil berakhir dengan sen Penggenapan kepada 5 sen terdekat Jumlah Keseluruhan Bil
Jumlah keseluruhan bil sebelum penggenapan (RM) Jumlah keseluruhan bil selepas penggenapan (RM)
1,2 Turun 82.01
82.02
82.00
3,4 Naik 82.03
82.04
82.05
6,7 Turun 82.06
82.07
82.05
8,9 Naik 82.08
82.09
82.10


2. Bilakah pelaksanaan Mekanisme Penggenapan akan berkuat kuasa?

Mekanisme Penggenapan akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 April 2008.

 

3. Kenapakah Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Mekanisme Penggenapan?

Pelaksanaan Mekanisme Penggenapan akan memberikan faedah kepada banyak pihak.

Pelaksanaan Mekanisme Penggenapan akan memberikan faedah kepada peniaga dan pengguna. Peniaga akan dapat mengurangkan kos pengendalian manakala bagi pengguna, ia akan menjadikan pembayaran lebih cepat dan lebih mudah.

Sementara itu, Kerajaan juga akan dapat menjimatkan kos pengeluaran duit syiling 1 sen apabila permintaan terhadap duit syiling ini berkurang ekoran pelaksanaan Mekanisme Penggenapan.

 

4. Di manakah pelarasan penggenapan akan tertera?

Pelarasan penggenapan dan jumlah muktamad harga akan tertera dengan jelas di resit/ bil.

 

5. Apakah jenis transaksi yang tertakluk kepada Mekanisme Penggenapan?

Semua jenis pembayaran yang dibuat di kaunter pembayaran akan tertakluk kepada Mekanisme Penggenapan bagi pembayaran tunai atau bukan tunai.

Pembayaran secara bukan tunai merangkumi cek dan pembayaran secara elektronik seperti kad kredit, kad caj dan kad debit.

 

6. Adakah duit syiling 1 sen masih sah diperlakukan?

Ya. Duit syiling 1 sen masih sah diperlakukan dan boleh digunakan sebagai satu cara pembayaran bagi apa jua transaksi seperti yang ditetapkan dalam Akta Bank Negara Malaysia 1958 (Pindaan 1994). Duit syiling yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia sah diperlakukan di Malaysia mengikut nilai muka seperti yang berikut:

Denominasi Jumlah Maksimum
50 sen Tidak melebihi RM10.00
20 sen, 10 sen, 5 sen dan 1 sen Tidak melebihi RM2.00

Walau bagaimanapun, orang ramai boleh menukar duit syilling 1 sen mereka secara percuma di ibu pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur atau cawangan-cawangannya di Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

 

7. Adakah Bank Negara Malaysia akan menghentikan pengeluaran duit syiling 1 sen?

Bank Negara Malaysia akan terus membekalkan duit syiling 1 sen berdasarkan permintaan pasaran. Walau bagaimanapun, permintaan terhadap duit syiling 1 sen dijangka berkurang dengan pelaksanaan Mekanisme Penggenapan.

 

8. Di manakah saya boleh memperoleh maklumat dan membuat pertanyaan tentang pelaksanaan Mekanisme Penggenapan?

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) (www.kpdnhep.gov.my) dan laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my).

Orang ramai juga boleh membuat panggilan di talian penting KPDNHEP dan Bank Negara Malaysia untuk maklumat lanjut:

KPDNHEP : 1-800-88-6800

Bank Negara Malaysia: 1-300-88-5465

Atau melalui emel di 1sen@bnm.gov.my.

Kembali ke atas ^

Lihat juga :

Pengenalan kepada Mekanisme Penggenapan