- Apakah Pemangkasan dan Penukaran Cek?
Dalam sistem pemangkasan cek , penjelasan cek akan dibuat berdasarkan perakaman imej cek dan penyaluran data Baris Kod pengecaman aksara dakwat magnet (magnetic ink character recognition, MICR) cek dan bukan dengan cek secara fizikal. Sebagai menggantikan cek fizikal, imej dan data cek seperti baris MICR, tarikh pengemukaan, bank penyerah, dsb. akan disalurkan secara elektronik sepanjang proses penjelasan. Oleh itu, keperluan untuk menukarkan cek secara fizikal daripada bank pemungut kepada Rumah Penjelasan dan bank pembayar/penerima adalah tidak perlu. Langkah ini bertujuan mengurangkan masa yang diperlukan untuk membuat pembayaran cek dengan berkesan, melainkan dalam keadaan tertentu. Sehingga kini, pemangkasan cek telah dilaksanakan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Hong Kong, Singapura dan Sri Langka.
Sebaliknya, penukaran cek merupakan sistem penjelasan cek berasaskan data, yang penjelasan cek tersebut hanya akan dibuat berdasarkan pengecaman data baris Kod MICR cek semata-mata dan bukan berdasarkan imej atau cek secara fizikal. Data baris Kod MICR dirakamkan dan kemudiannya ditukarkan menjadi arahan pembayaran bagi melaksanakan pindahan dana daripada akaun pembayar cek kepada akaun penerima cek.
Manfaat dan kesan kepada Orang Ramai
- Bagaimanakah pelanggan bank mendapat manfaat daripada pelaksanaan Sistem Pemangkasan dan Penukaran Cek (Cheque Truncation and Conversion System, CTCS)?
- Proses penjelasan cek yang lebih cekap
- Pemerolehan dana dalam waktu yang lebih cepat
- Pengurusan aliran tunai yang lebih baik
- Meningkatkan tahap perkhidmatan dengan memanjangkan waktu pendepositan cek
- Tiada bebanan kos tambahan kepada pelanggan
- Komisen Pertukaran Dalaman tidak terpakai kerana semua cek akan dianggap sebagai cek tempatan
- Cek laku akan diketahui pada hari bekerja berikutnya
- Adakah sistem baru ini memberikan impak kepada cara untuk mengeluarkan dan mendepositkan cek oleh pelanggan pada masa ini?
Tidak, kecuali tidak lagi keperluan untuk melengkapkan slip masuk wang. Walau bagaimanapun, pendeposit perlu melengkapkan butiran terperinci pembayaran di sebelah belakang cek. Pelanggan digalakkan menulis cek dengan menggunakan dakwat berwarna gelap (dakwat berwarna biru atau hitam digalakkan). Ini akan mempertingkatkan kualiti imej cek yang dirakamkan. Di samping itu, bagi mengemukakan semula cek yang tidak berbayar/dipulangkan, Dokumen Pulangan Imej (Image Return Document, IRD) akan digunakan sebagai ganti kepada cek asal. Selain itu, benefisiari cek luar kawasan akan dapat menggunakan dana dengan lebih cepat berbanding dengan tempoh lima hingga lapan hari perniagaan pada masa ini.
- Apakah yang harus dilakukan oleh orang ramai sekiranya mereka menerima cek dalam reka bentuk bukan CTCS?
Cek sedemikian akan terus diterima dan penggunaan cop dibenarkan sehingga cek tersebut tidak lagi digunakan atau sehingga suatu masa yang akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia kelak. Selepas tamat tempoh , mereka harus memohon cek baharu yang mematuhi ciri-ciri CTCS daripada pembayar cek. Sejak 1 Julai 2007, bank hanya mengeluarkan cek berbentuk baharu kepada pemegang akaun.
- Apakah yang akan berlaku kepada cek berbentuk lama selepas tamat tempoh?
Pelanggan harus meminta pengeluar cek menggantikan cek mereka kepada cek berbentuk baharu. Pengeluar cek boleh menukar cek berbentuk lama dengan cek berbentuk baharu melalui bank mereka.
- Adakah masa tamat tempoh untuk mendepositkan cek akan diselaraskan di bawah CTCS?
Salah satu matlamat CTCS adalah untuk mencapai hari penjelasan yang sama. Oleh itu,di bawah CTCS, semua cek yang didepositkan dalam masa perbankan normal, tanpa mengira cawangan yang didepositkan, akan dijelaskan pada hari perniagaan yang sama. Kitaran penjelasan akan dipendekkan dan ini membolehkan pelanggan mengetahui perolehan cek dengan lebih awal. Walau bagaimanapun, masa tamat tempoh akan bergantung pada tahap perkhidmatan setiap bank.
- Bolehkah pelanggan meminda maklumat pada cek?
Bagi menjamin kepentingan pemegang akaun dan mengurangkan kemungkinan berlakunya penipuan, sebarang pindaan pada cek tidak dibenarkan. Sekiranya cek dipinda, ia tidak akan diterima.
- Adakah berlaku sebarang perubahan waktu penjelasan cek ?
Waktu penjelasan cek yang sedia ada akan kekal. Cek yang didepositkan sebelum waktu penutupan yang ditetapkan oleh setiap bank akan terus dijelaskan pada hari yang sama .
- Bank lazimnya mengenakan caj komisen pertukaran dalaman bagi cek luar kawasan. Adakah amalan ini akan diteruskan di bawah CTCS?
Semua cek, tidak kira tempat ia didepositkan atau dikeluarkan, akan dianggap sebagai cek tempatan. Oleh itu, komisen pertukaran dalaman tidak lagi diterima pakai.
Dokumen Pulangan Imej
- Apakah Dokumen Pulangan Imej (Image Return Documents, IRD)?
Melalui CTCS, cek fizikal akan disimpan oleh bank pemungut (collecting bank) dan tidak akan dikembalikan kepada pendeposit. IRD merupakan dokumen yang dikeluarkan oleh bank pemungut untuk menggantikan cek yang tidak dikembalikan. IRD merupakan dokumen pengganti kepada cek asal yang sah bagi tujuan pengemukaan. Dokumen ini diiktiraf di bawah Akta Bil Pertukaran 1949. Contoh IRD adalah seperti di lampiran.
- Adakah cek tak laku akan dikembalikan kepada pemegang akaun?
Tidak, sebaliknya IRD ataupun Notis Pulangan Cek bagi item yang tidak boleh dikemukakan (disebabkan 'perkataan dan angka berbeza') akan dikeluarkan kepada penerima cek apabila sesuatu cek yang tidak ditunaikan, dikembalikan. IRD berperanan sebagai notis cek tak laku kerana cek tidak boleh ditunaikan atas beberapa sebab dan menggantikan cek asal bagi tujuan pengemukaan semula, yang mana sesuai, bagi penjelasan di bawah CTCS. IRD merupakan dokumen yang sah bagi menggantikan cek asal untuk tujuan pengemukaan. IRD akan hanya didepositkan ke dalam bank (atau mana-mana cawangan di seluruh negara) yang cek itu mula-mula didepositkan dan ke dalam akaun yang sama. Pengemukaan dibenarkan hanya bagi sebab pengembalian berikut:
- Rujuk kepada Pembayar
- Melebihi Penetapan / Had Jumlah yang Dibenarkan
- Efek Belum Jelas
- Tidak Diurus Dahulu
- Sebab-sebab Lain (bagi dana tidak mencukupi)
- Tarikh Hadapan
- Dijelaskan Secara Silap
- Pengesahan Jumlah Besar diperlukan
- Mengapakah bank tidak boleh mengembalikan cek belum bayar yang asal?
CTCS menggunakan imej dan data secara elektronik untuk tujuan penjelasan cek. Cek fizikal dikeluarkan daripada proses penjelasan setelah ia dikemukakan untuk pembayaran/pungutan. Akta Bil Pertukaran 1949 telah dipinda untuk memberikan status sah kepada IRD yang akan dikeluarkan bagi menggantikan cek yang dikembalikan, untuk tujuan pengemukaan.
- Bolehkan penerima cek memohon cek asal sebagai ganti IRD?
Boleh, namun beliau perlu menyerahkan IRD sebagai ganti bagi cek asal. Bayaran mungkin dikenakan oleh bank berkenaan bagi pencarian semula cek berdasarkan kos berkaitan dengan cek berkenaan.
- Bolehkah pembayar cek memohon salinan cek berbayar? Sekiranya boleh, bagaimanakah caranya?
Cek fizikal akan disimpan oleh bank pemungut selama setahun. Pembayar cek boleh memohon mendapatkan cek asal melalui banknya.
- Siapakah yang akan mengeluarkan IRD untuk pelanggan?
IRD akan dikeluarkan oleh bank pemungut, di mana cek didepositkan.
- Berapa lamakah tempoh sah IRD?
Seperti juga cek asal, tempoh sah bagi IRD ialah enam bulan dari tarikh asal cek dikeluarkan.
- Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya IRD tidak dapat dikemukakan?
Anda perlu mengembalikan IRD berkenaan kepada pembayar cek sebagai ganti bagi mendapatkan cek yang baharu. Cek ganti tersebut perlu menjelaskan sebab-sebab pengembalian IRD supaya ia dapat dijelaskan dengan jayanya melalui CTCS.
- Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya IRD saya hilang?
IRD ialah pengganti bagi cek tak laku dan kehilangan IRD akan dianggap sebagai kehilangan cek. Penerima cek perlu memohon cek yang lain daripada pembayar cek dalam keadaan sebegini. Penerima cek pula perlu mengeluarkan arahan 'Pemberhentian Cek' bagi IRD yang hilang.
- Bolehkah saya kemukakan IRD kepada bank untuk pembayaran tunai melalui kaunter?
IRD hanya boleh dikemukakan untuk penjelasan dan bukan untuk penunaian (encashment).
- Apakah pendeposit akan dikenakan caj apabila bank mengeluarkan IRD?
Tidak, selain caj pengembalian cek biasa yang dikenakan terhadap pengeluar/ pembayar cek, tiada caj tambahan dikenakan kerana IRD ialah suatu penggantian bagi cek yang dikembalikan.
- Sekiranya saya mengemukakan IRD dan ia dikembalikan, adakah saya akan mendapat balik IRD yang sama?
Tidak, IRD baharu akan dikeluarkan bagi setiap pengembalian cek yang sama. Oleh itu, sekiranya IRD dikemukakan dan kemudiannya dikembalikan, IRD lain akan dikeluarkan dengan menyatakan dengan jelas yang ia merupakan IRD kedua.
- Mengapakan cek yang dikembalikan (bagi item yang boleh dikemukakan) dibuat melalui IRD? Apakah tujuan IRD dikeluarkan?
IRD menawarkan manfaat berikut berbanding dengan manfaat proses pengembalian cek yang biasa.
- IRD mengandungi, dalam satu dokumen, maklumat berikut:
- sebab ia dikembalikan
- ia boleh dikemukakan
- tempoh sahnya untuk pengemukaan
- berapa kali cek telah dikemukakan
- IRD juga lebih terjamin kerana tiada pemindaan dibenarkan, dengan itu menghapuskan kemungkinan pemindaan yang tidak sah
- Bagaimanakah seseorang itu perlu mengemukakan IRD?
Anda boleh mengemukakan IRD melalui kaunter atau mendepositkannya ke dalam Peti/Mesin Deposit Cek di mana-mana cawangan bank yang anda mula-mula depositkan cek berkenaan.
- Bolehkah IRD yang lusuh, dipinda atau koyak dikemukakan?
Tidak. Memandangkan IRD ialah pengganti bagi cek tak laku, IRD yang lusuh atau koyak akan dianggap sebagai cek yang lusuh atau koyak. Selain itu, pindaan terhadap IRD tidak dibenarkan kerana IRD yang dipinda tidak akan menyamai imej cek yang terkandung dalam pangkalan data CTCS. Pelanggan perlu meminta cek gantian daripada pembayar dalam keadaan sedemikian.
- Bagaimanakah saya dapat pastikan IRD itu adalah tulen?
Imej depan dan belakang cek asal akan dicetak pada IRD, dan IRD itu sendiri akan dicetak pada kertas bercirikan keselamatan. Setiap IRD juga akan mempunyai nombor siri dan dikawal ketat oleh bank yang mengeluarkan IRD.
Bank pemungut (atau bank yang mengeluarkan IRD tersebut) juga perlu memastikan adanya keselamatan dan kawalan dalaman yang mencukupi bagi melindunginya daripada penipuan. Pemindaan pada IRD tidak dibenarkan. Sekiranya IRD diubah, bank pemungut akan memulangkan semula IRD itu tanpa bayaran.
Cap Getah, Cap dan Mohor Persendirian
- Adakah cek yang dicap dengan cap getah, cap atau mohor persendirian akan diterima untuk dijelaskan di bawah CTCS? Jika tidak, kenapa?
Tidak. Cap syarikat pada reka bentuk baharu cek dianggap tidak perlu memandangkan maklumat pembayar cek telah di pracetak pada cek tersebut. Nama dan nombor pendaftaran syarikat yang di pracetak pada cek mematuhi keperluan Akta Syarikat 1965.
Melalui CTCS, pengesahan dan kebenaran oleh bank pembayar adalah berasaskan imej dan data sesuatu cek. Oleh itu, amat penting imej yang mudah dibaca disediakan untuk bank pembayar. Penggunaan cap syarikat, cop dan cap mohor persendirian perlulah dihentikan memandangkan dakwatnya mungkin menembusi kertas atau mengganggu kejelasan maklumat pada cek, sama ada bercetak atau bertulis, atau sebarang penghasilan semula melalui pengimejan. Penggunaan cap syarikat, dsb. mungkin membayangi kejelasan ciri asas cek dalam imej. Oleh itu, syarikat yang menggunakan cek kosong sedia ada perlu menukarkan cek tersebut kepada cek yang mempunyai reka bentuk baru dengan segera.
Penjelasan Cek di Luar Lembah Kelang
- Apakah akan terjadi kepada penjelasan cek tempatan secara manual yang sedia ada di Pantai Timur, Sabah and Sarawak di bawah CTCS?
Semua cek, sama ada cek tempatan atau cek luar kawasan, termasuk yang di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak, akan dijelaskan secara berpusat di bawah CTCS.
- Adakah cek akan dijelaskan pada peringkat wilayah seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru di bawah CTCS?
Tidak, semua cek akan dijelaskan secara berpusat di Kuala Lumpur.
Lain-lain
- Mengapakah perlu menukar reka bentuk cek di bawah CTCS?
Saiz cek telah diseragamkan mengikut saiz 3.5" x 7" bagi memudahkan pemangkasan cek. Satu saiz cek akan membantu bank perdagangan dalam mengautomasikan proses penjelasan, di samping mengekalkan saiz fail imej dan data cek untuk penghantaran secara elektronik . Ruang untuk tarikh dan amaun (dalam bentuk angka) telah diperkenalkan bagi memudahkan perakaman optik pada masa hadapan. Di samping itu, pelanggan tidak perlu mengisi slip masuk wang apabila mendepositkan cek. Ciri keselamatan turut dipertingkatkan untuk membanteras penipuan.
- Pada masa ini, kami mempunyai cek yang dilengkapkan dengan pencetak komputer yang menggunakan dakwat magnetik. Bolehkah kami terus menggunakan dakwat magnetik untuk mencetak?
Anda boleh terus menggunakan dakwat magnetik untuk mencetak cek, asalkan ia tidak meninggalkan kesan pada ruang kosong atau menjejaskan pengimbasan/pengimejan/pemprosesan cek atau menjejaskan mana-mana bahagian cek iaitu tarikh, nama penerima, amaun dalam perkataan dan angka serta tanda tangan pada cek.
- Apakah langkah-langkah yang ada untuk mengurangkan penipuan cek?
Keselamatan merupakan perkara paling utama dalam CTCS dan industri perbankan. Oleh itu, beberapa langkah keselamatan telah diadakan bagi memastikan keselamatan cek yang dijelaskan di bawah CTCS. Ini termasuk ciri keselamatan pada cek fizikal, pelaksanaan tanda tangan digital bagi memastikan semua maklumat ditandatangani secara digital dan penyaluran imej dan data melalui rangkaian yang selamat.
Perpindahan kepada e-pembayaran
- Bank Negara Malaysia sedang menggalakkan agenda anjakan kepada e-pembayaran secara aktif. Memandangkan cek adalah berasaskan kertas, kenapakah Bank Negara Malaysia menjadikan instrumen pembayaran berasaskan kertas lebih efisien?
Walaupun terdapat anjakan kaedah pembayaran daripada cek kepada pembayaran secara elektronik pada tahun-tahun kebelakangan ini, penggunaan cek masih merupakan sebahagian besar urus niaga runcit bukan tunai, iaitu 93% pada tahun 2007. Oleh itu, meningkatkan kecekapan penjelasan cek masih lagi menjadi tumpuan penting bagi Bank Negara Malaysia dalam usaha untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan. Meskipun demikian, pengalaman di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa penukaran cek ialah langkah permulaan yang perlu diambil untuk mengubah kaedah pembayaran berasaskan kertas kepada e-pembayaran.

