Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 09/15/02 11 Sep 2015 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Jumaat 11 September 2015
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.
 
Ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana. Walaupun pertumbuhan telah bertambah baik merentas ekonomi maju, namun pertumbuhan ini masih sederhana. Di kebanyakan ekonomi Asia, meskipun pertumbuhan semakin sederhana, permintaan dalam negeri  terus menyokong aktiviti ekonomi.  Walaupun pemulihan ekonomi global dijangka berterusan pada masa hadapan, risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan telah meningkat berikutan momentum pertumbuhan ekonomi sedang pesat membangun utama yang semakin sederhana, ketidakpastian harga komoditi dan pasaran kewangan yang semakin tidak menentu.
 
Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan bahawa aktiviti ekonomi terus berkembang pada suku ketiga meskipun terdapat penyelarasan yang berterusan terhadap perkembangan luaran dan dalam negeri. Penggunaan swasta dijangka menjadi sederhana apabila isi rumah terus membuat penyelarasan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) dan persekitaran ekonomi yang lebih  tidak menentu. Perbelanjaan isi rumah, bagaimanapun, akan disokong oleh pertumbuhan upah dan keadaan pasaran pekerja yang stabil. Aktiviti pelaburan dijangka didorong oleh perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, dan juga untuk projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan.  Permintaan dalam negeri yang terus berkembang dijangka membantu mengimbangi prestasi sektor luaran yang lemah. Melangkah ke hadapan, risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, bagaimanapun, telah meningkat dalam keadaan ketidaktentuan global dan dalam negeri yang lebih nyata. Yang penting, Malaysia sedang menghadapi  tempoh yang mencabar ini daripada kedudukan yang kukuh berikutan sumber pertumbuhan ekonomi yang pelbagai, tahap pengangguran yang rendah, paras hutang luar negeri yang terurus, dan permodalan sistem perbankan yang kukuh. Oleh yang demikian, berdasarkan penilaian yang dibuat, pertumbuhan ekonomi akan kekal sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus.
 
Purata inflasi bagi bulan Jun dan Julai ialah 2.9%, mencerminkan harga bahan api dalam negeri yang meningkat serta kesan pelaksanaan GST. Meskipun kadar pertukaran ringgit lebih lemah, kesannya terhadap inflasi keseluruhan adalah terhad disebabkan oleh harga komoditi yang lebih rendah dan  inflasi global yang pada amnya rendah.  Melangkah ke hadapan, inflasi dijangka mencapai tahap tertingginya pada awal tahun 2016 dan menjadi sederhana bagi tempoh selanjutnya pada tahun itu.
 
Walaupun perkembangan global dan dalam negeri telah memberikan kesan kepada kadar pertukaran ringgit dan pasaran kewangan domestik, keadaan mudah tunai domestik secara keseluruhan kekal stabil. Sistem kewangan kekal kukuh dengan pertumbuhan pembiayaan yang memuaskan. Oleh itu, pengantaraan kewangan telah terus menyokong ekonomi.
 
Kadar pertukaran ringgit dipengaruhi oleh faktor-faktor global yang memberikan kesan kepada kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun dan ekonomi pengeluar komoditi.  Faktor-faktor ini termasuk harga komoditi yang lebih rendah, kekukuhan dolar Amerika Syarikat, dan ketidakpastian dalam pasaran kewangan global.  Kadar pertukaran ringgit akan mencerminkan asas-asas ekonomi negara apabila ketidakpastian luaran dan dalam negeri menurun. Bank Negara Malaysia akan terus memastikan pasaran wang dan pertukaran asing berfungsi dengan teratur. 
 
Pada kadar semasa OPR ini, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC menyedari bahawa terdapat peningkatan risiko dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global. Risiko ini sedang dipantau dengan teliti bagi menilai implikasinya terhadap kestabilan makroekonomi dan prospek ekonomi Malaysia. Ini bagi memastikan pendirian dasar monetari adalah selaras dengan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan.  
 

 
Bank Negara Malaysia
11 September 2015

Bank Negara Malaysia
11 Sep 2015

© Bank Negara Malaysia, 2015. All rights reserved.