Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 07/15/02 09 Jul 2015 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 09 Julai 2015

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.
 
Ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana. Walaupun pertumbuhan telah bertambah baik merentas ekonomi maju, namun pertumbuhan ini masih sederhana. Di kebanyakan ekonomi Asia, permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan meskipun eksport lebih lemah. Pemulihan dalam prestasi pertumbuhan global pada masa hadapan bagaimanapun akan mudah terjejas disebabkan oleh peningkatan risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan. Pasaran kewangan antarabangsa juga telah menjadi lebih tidak menentu berikutan kebimbangan yang meningkat terhadap perkembangan di Eropah dan ketidakpastian dasar yang berterusan di beberapa negara maju utama. Terdapat juga risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan di beberapa ekonomi utama Asia.

Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan bahawa  ekonomi terus berkembang pada suku kedua, walaupun pada kadar yang lebih sederhana. Pertumbuhan keseluruhan terus disokong oleh permintaan dalam negeri. Pertumbuhan penggunaan swasta dijangka lebih perlahan berikutan aktiviti penggunaan yang dipercepat sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) pada suku pertama. Meskipun isi rumah dijangka terus membuat penyelarasan terhadap pelaksanaan GST dalam masa terdekat ini, perbelanjaan keseluruhan akan disokong oleh pertumbuhan upah yang berterusan dan keadaan pasaran pekerja yang stabil. Aktiviti pelaburan dijangka didorong oleh perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan dan juga untuk projek infrastruktur. Perkembangan ini akan membantu mengimbangi prestasi sektor luar negeri yang lebih lemah. Secara keseluruhan, prospek ekonomi Malaysia dijangka kekal pada kadar pertumbuhan yang stabil, dengan permintaan dalam negeri sebagai pemacu pertumbuhan yang utama.

Inflasi meningkat pada kadar purata 2.0% pada bulan April dan Mei. Melangkah ke hadapan, inflasi dijangka meningkat berikutan kesan daripada GST dan pelarasan harga bahan api dalam negeri baru-baru ini, sebelum kembali menjadi sederhana menjelang separuh kedua tahun 2016. Namun begitu, inflasi asas dijangka kekal terkawal dalam keadaan permintaan dalam negeri yang stabil.

Walaupun perkembangan terkini global dan dalam negeri telah memberikan kesan kepada kadar pertukaran ringgit dan pasaran kewangan domestik, mudah tunai dalam sistem kewangan domestik kekal lebih daripada mencukupi dengan pasaran kewangan dan pertukaran asing masih berfungsi dengan teratur. Institusi kewangan juga beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Akses kepada pembiayaan adalah berterusan dengan pertumbuhan kredit kekal pada paras yang memuaskan. Oleh itu, pengantaraan kewangan telah terus menyokong ekonomi. 

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC menyedari bahawa terdapat peningkatan risiko kepada pertumbuhan dan keadaan kewangan global. Risiko ini sedang dipantau dengan teliti bagi menilai implikasinya terhadap kestabilan makroekonomi dan prospek ekonomi Malaysia. Ini bagi memastikan pendirian dasar monetari adalah selaras dengan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan.  


Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari

Memandangkan perubahan telah dibuat terhadap jadual bagi mesyuarat-mesyuarat antarabangsa,  jadual mesyuarat MPC pada bulan September telah dipinda dari hari Rabu 2 September dan Khamis 3 September 2015 ke hari Khamis 10 September dan Jumaat 11 September 2015.

Bank Negara Malaysia
09 Jul 2015

© Bank Negara Malaysia, 2015. All rights reserved.