Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 05/15/01 07 May 2015 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 07 Mei 2015

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Pertumbuhan ekonomi global kekal sederhana, dengan momentum pertumbuhan yang berbeza merentas ekonomi pada suku pertama 2015. Meskipun ekonomi maju bertambah baik, kadar pemulihan dalam ekonomi tersebut terus sederhana dan tidak sekata. Bagi ekonomi sedang pesat membangun, walaupun mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan, ekonomi ini masih menjadi penyumbang pertumbuhan global yang utama. Di kebanyakan negara Asia, pertumbuhan disokong oleh pengembangan permintaan dalam negeri yang berterusan. Melangkah ke hadapan, pertumbuhan ekonomi global dijangka meningkat walaupun pada kadar yang sederhana. Namun demikian, risiko prospek ekonomi global menjadi lebih perlahan adalah berterusan. Dalam persekitaran ini, pasaran kewangan antarabangsa akan terus menerima kesan daripada peralihan dalam mudah tunai global dan sentimen pelabur.

Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan bahawa permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan pada suku pertama. Pada masa hadapan, prospek ekonomi Malaysia dijangka kekal pada kadar pertumbuhan yang stabil dengan permintaan dalam negeri terus menjadi pemacu pertumbuhan yang utama. Walaupun penggunaan swasta dijangka menjadi sederhana apabila isi rumah membuat pelarasan terhadap pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), perbelanjaan pengguna akan disokong oleh peningkatan pendapatan dan guna tenaga yang stabil. Aktiviti pelaburan dijangka dipacu oleh perbelanjaan modal dalam industri berorientasikan eksport, sektor perkhidmatan dan untuk projek infrastruktur. Pelaburan ini akan mengimbangi kesan aktiviti pelaburan berkaitan minyak dan gas yang lebih rendah. Dalam sektor luar negeri, walaupun pertumbuhan eksport akan dipengaruhi oleh harga komoditi yang lebih rendah, eksport perkilangan akan terus mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti ekonomi dalam beberapa ekonomi maju serta pertumbuhan ekonomi Asia yang mampan.

Inflasi meningkat pada kadar purata 0.7% pada suku pertama 2015 disebabkan oleh harga bahan api dalam negeri yang lebih rendah. Bagi baki tempoh tahun 2015, inflasi dijangka meningkat kesan daripada pelaksanaan GST. Ini dijangka diimbangi sebahagiannya oleh harga global komoditi dan tenaga yang lebih rendah secara keseluruhannya. Inflasi asas dijangka kekal terkawal dalam keadaan permintaan dalam negeri yang stabil.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC akan terus membuat penilaian yang teliti mengenai perkembangan luaran dan dalam negeri serta implikasinya terhadap risiko kepada inflasi dan ekonomi Malaysia. Meskipun risiko ketidakseimbangan kewangan terkawal, MPC akan terus memantau risiko tersebut bagi memastikan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan.

Bank Negara Malaysia
07 May 2015

© Bank Negara Malaysia, 2015. All rights reserved.