Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 03/15/03 05 Mar 2015 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 05 Mac 2015
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.
 
Meskipun ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana, perbezaan momentum pertumbuhan dalam kalangan ekonomi utama semakin meningkat. Bagi kebanyakan ekonomi Asia, pertumbuhan disokong oleh pengembangan permintaan dalam negeri yang berterusan. Melangkah ke hadapan, ekonomi global dijangka terus mencatat kadar pemulihan yang sederhana.  Namun demikian, risiko prospek ekonomi global menjadi lebih perlahan adalah berterusan berikutan momentum pertumbuhan yang lemah dalam beberapa ekonomi utama. Ketidakpastian dalam persekitaran dasar juga menyumbang kepada peralihan sentimen dalam pasaran kewangan antarabangsa.
 
Walaupun pasaran kewangan Malaysia telah menerima kesan daripada perkembangan global ini, mudah tunai dalam sistem kewangan domestik kekal lebih daripada mencukupi dengan pasaran kewangan terus berfungsi dengan teratur. Institusi perbankan juga beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, dan terus menyediakan pembiayaan kepada ekonomi. Oleh itu, tidak ada apa-apa gangguan terhadap pengantaraan kewangan.

Bagi ekonomi Malaysia, permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan dalam keadaan eksport yang lebih sederhana pada suku keempat  2014. Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan yang utama. Walaupun pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan perolehan yang lebih rendah dalam sektor komoditi dijangka memberikan sedikit kesan kepada penggunaan swasta, perbelanjaan isi rumah dijangka terus  disokong oleh peningkatan pendapatan dan guna tenaga yang stabil. Selain itu, harga bahan api yang lebih rendah akan menyumbang kepada pendapatan boleh guna yang lebih tinggi.  Aktiviti pelaburan juga dijangka kekal berdaya tahan, dengan perbelanjaan modal yang menyeluruh oleh sektor swasta dan awam, yang seterusnya  mengimbangi pelaburan dalam sektor berkaitan minyak dan gas yang lebih rendah. Meskipun pertumbuhan eksport dijangka dipengaruhi oleh harga komoditi yang lebih rendah, prestasi eksport perkilangan dijangka bertambah baik. Oleh yang demikian, prospek ekonomi Malaysia diunjurkan masih kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil.
 
Inflasi menurun pada bulan Januari dan dijangka kekal rendah pada suku pertama 2015.  Bagi baki tempoh tahun 2015, inflasi dijangka meningkat namun masih di bawah paras purata yang pernah dicatatkan. Harga bahan api yang lebih rendah akan diimbangi sebahagiannya oleh faktor kos domestik lain. Meskipun inflasi bulanan akan terus dipengaruhi oleh turun naik dalam harga minyak global, inflasi asas dijangka kekal terkawal dalam keadaan permintaan dalam negeri yang stabil.
 
Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC akan terus membuat penilaian yang teliti mengenai perkembangan luaran dan dalam negeri serta implikasinya terhadap risiko kepada inflasi dan ekonomi Malaysia. MPC juga akan terus memantau risiko ketidakseimbangan kewangan bagi memastikan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan.

Bank Negara Malaysia
05 Mar 2015

© Bank Negara Malaysia, 2015. All rights reserved.