Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 01/15/07 28 Jan 2015 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Rabu 28 Januari 2015
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.
 
Meskipun ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana, perbezaan momentum pertumbuhan dalam kalangan ekonomi utama semakin meningkat. Bagi kebanyakan ekonomi Asia, pertumbuhan disokong oleh pengembangan permintaan dalam negeri dan luar negeri yang berterusan. Melangkah ke hadapan, meskipun impak berbeza-beza daripada harga minyak yang ketara lebih rendah terhadap sesebuah ekonomi, ekonomi global secara keseluruhan dijangka mendapat manfaat daripada perkembangan ini. Namun demikian, risiko prospek ekonomi global menjadi semakin perlahan telah meningkat berikutan momentum pertumbuhan yang lebih lemah di beberapa ekonomi utama disebabkan faktor luaran dan faktor khusus dalam negeri.
 
Ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antarabangsa telah meningkat dalam keadaan peralihan mudah tunai global serta ketidakpastian yang lebih ketara terutamanya berhubung dengan prospek pertumbuhan global dan penurunan harga komoditi. Walaupun pasaran kewangan Malaysia telah menerima kesan daripada perkembangan global ini, pengantaraan kewangan tidak mengalami sebarang gangguan. Mudah tunai dalam sistem kewangan domestik kekal lebih daripada mencukupi dengan pasaran kewangan terus berfungsi dengan teratur. Institusi perbankan beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, dan terus menyediakan pembiayaan kepada ekonomi.
 
Bagi Malaysia, aktiviti ekonomi terus disokong oleh pertumbuhan permintaan dalam negeri dalam keadaan eksport yang sederhana pada suku keempat 2014. Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan yang utama. Walaupun penggunaan swasta dijangka menjadi sederhana, namun ia akan terus disokong oleh peningkatan pendapatan dan guna tenaga yang stabil, serta pendapatan boleh guna tambahan daripada harga minyak yang lebih rendah. Aktiviti pelaburan dijangka kekal berdaya tahan, dengan perbelanjaan modal yang menyeluruh oleh sektor swasta dan awam mengimbangi penurunan dalam aktiviti pelaburan dalam sektor berkaitan minyak dan gas. Meskipun pertumbuhan eksport dijangka terjejas oleh harga komoditi yang lebih rendah, prestasi eksport perkilangan dijangka bertambah baik. Oleh yang demikian, prospek ekonomi Malaysia diunjurkan masih kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil.
 
Inflasi bagi tahun 2015 dijangka lebih rendah berbanding dengan jangkaan awal disebabkan oleh harga tenaga dan komoditi yang lebih rendah. Harga tenaga yang diunjurkan lebih rendah ini akan diimbangi sebahagiannya oleh faktor kos domestik lain. Dengan pelaksanaan mekanisme penentuan harga apungan terurus untuk bahan api, prospek inflasi akan dipengaruhi oleh turun naik harga minyak. Walau bagaimanapun, inflasi asas dijangka secara relatif kekal stabil, dalam keadaan permintaan yang lebih sederhana.
 
Pada kadar semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan adalah wajar mengikut penilaian berdasarkan perkembangan keadaan monetari dan kewangan. MPC akan terus membuat penilaian yang teliti mengenai perkembangan luaran dan implikasinya terhadap ekonomi Malaysia. MPC juga akan terus memantau risiko ketidakseimbangan kewangan. Ini bagi memastikan pendirian dasar monetari adalah sejajar dengan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. 

Bank Negara Malaysia
28 Jan 2015

© Bank Negara Malaysia, 2015. All rights reserved.