Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 11/14/02 06 Nov 2014 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 06 November 2014

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana. Pertumbuhan ekonomi di negara-negara maju adalah tidak sekata. Di Asia, pertumbuhan disokong oleh pengembangan permintaan dalam negeri dan eksport yang berterusan. Melangkah ke hadapan, meskipun momentum pertumbuhan global secara keseluruhan dijangka bertambah baik, namun ramalan pertumbuhan telah dikurangkan disebabkan oleh aktiviti ekonomi yang lebih lemah di beberapa ekonomi utama. Oleh itu, risiko pertumbuhan global menjadi semakin perlahan telah meningkat. Ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antarabangsa turut meningkat.

Bagi Malaysia, meskipun permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan, eksport telah menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan.  Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan yang utama.  Penggunaan swasta dijangka menjadi sederhana, manakala aktiviti pelaburan diunjurkan kekal teguh, disokong oleh perbelanjaan modal yang menyeluruh oleh kedua-dua sektor swasta dan awam.  Meskipun  trend yang sederhana ini akan memberikan kesan kepada prospek pertumbuhan keseluruhan, ekonomi Malaysia masih diunjurkan kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil.

Inflasi diunjurkan meningkat untuk baki tempoh tahun 2014 dan terus melebihi kadar purata jangka panjangnya pada tahun hadapan disebabkan oleh faktor kos domestik. Walau bagaimanapun, ketiadaan tekanan harga luaran dan keadaan permintaan yang lebih sederhana dijangka mengurangkan kesan faktor kos ini terhadap inflasi asas.

Pendirian dasar monetari pada masa ini kekal akomodatif dan adalah wajar mengikut penilaian berdasarkan perkembangan keadaan monetari dan kewangan. Pada masa hadapan, MPC akan terus membuat penilaian yang teliti mengenai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi. MPC juga akan terus berwaspada terhadap risiko ketidakseimbangan kewangan.  Ini bagi memastikan pendirian dasar monetari adalah sejajar dengan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

Mesyuarat juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2015. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC akan bermesyuarat sebanyak enam kali pada tahun 2015. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada pukul 6 petang pada hari kedua mesyuarat MPC. 

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari 2015

Mesyuarat MPC

Tarikh

Pertama

27 dan 28 Januari 2015 (Selasa dan Rabu)

Ke-2

4 dan 5 Mac 2015 (Rabu dan Khamis)

Ke-3

6 dan 7 Mei 2015 (Rabu dan Khamis)

Ke-4

8 dan 9 Julai 2015  (Rabu dan Khamis)

Ke-5

2 dan 3 September 2015 (Rabu dan Khamis)

Ke-6

4 dan 5 November 2015 (Rabu dan Khamis)


Bank Negara Malaysia
06 Nov 2014

© Bank Negara Malaysia, 2014. All rights reserved.