Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 09/14/07 18 Sep 2014 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 18 September 2014
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.
 
Ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana. Meskipun prestasi pertumbuhan di negara-negara maju tidak sekata, terdapat tanda-tanda yang lebih meluas   bahawa keadaan telah bertambah baik di beberapa ekonomi utama. Di Asia, pertumbuhan disokong oleh pengembangan permintaan dalam negeri yang berterusan dan persekitaran luaran yang bertambah baik. Dalam persekitaran ini, pasaran kewangan antarabangsa secara relatif kekal stabil.
 
Bagi Malaysia, aktiviti ekonomi telah disokong oleh  pertumbuhan permintaan dalam negeri dan eksport yang berterusan. Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri dijangka menjadi sederhana namun kekal sebagai pemacu pertumbuhan yang utama.  Walaupun aktiviti pelaburan swasta diunjurkan kekal teguh, penggunaan swasta dijangka menjadi sederhana. Eksport akan terus mendapat manfaat daripada pemulihan dalam ekonomi maju dan permintaan serantau, meskipun pertumbuhan eksport akan menjadi lebih perlahan, sebahagiannya mencerminkan kesan asas pada separuh kedua tahun 2013. Prospek bagi ekonomi Malaysia dijangka kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil.
 
Inflasi terus stabil disebabkan kesan daripada pelarasan harga bagi utiliti dan tenaga yang telah terus berkurang. Inflasi dijangka secara relatif terus stabil untuk baki tempoh tahun 2014. Pada tahun hadapan, inflasi diunjurkan mencatat paras yang lebih tinggi dan dijangka melebihi kadar purata jangka panjangnya disebabkan oleh faktor kos domestik. Ketiadaan tekanan harga luaran dan keadaan permintaan yang lebih sederhana dijangka mengurangkan kesan faktor kos ini terhadap inflasi asas.
 
Pendirian dasar monetari pada masa ini terus menyokong pertumbuhan. Pada masa hadapan, MPC akan terus memantau dan membuat penilaian mengenai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi. MPC juga akan terus membuat penilaian mengenai risiko ketidakseimbangan kewangan. Pelarasan lanjut tahap akomodasi monetari yang mungkin diambil bergantung pada bagaimana maklumat baharu memberikan kesan kepada penilaian mengenai imbangan risiko ini. Ini bagi memastikan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.  

Bank Negara Malaysia
18 Sep 2014

© Bank Negara Malaysia, 2014. All rights reserved.