Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 07/14/05 10 Jul 2014 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 10 Julai 2014
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia mengambil keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus. Berikutan itu, kadar terendah dan kadar tertinggi koridor OPR masing-masing dinaikkan kepada 3.00 peratus dan 3.50 peratus.
 
Selepas menjadi sederhana pada suku pertama, ekonomi global telah kembali pulih secara beransur-ansur. Aktiviti ekonomi di negara-negara maju utama terus berkembang pada kadar yang sederhana.  Di Asia, pertumbuhan disokong oleh sektor luaran yang bertambah baik di samping keadaan permintaan dalam negeri yang terus berkembang. Dalam persekitaran ini, pasaran kewangan antarabangsa telah secara relatif kekal stabil. 
 
Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan eksport dan aktiviti sektor swasta terus kukuh. Pada masa hadapan, momentum pertumbuhan secara keseluruhan dijangka berterusan.  Eksport akan terus mendapat manfaat daripada pemulihan dalam ekonomi maju dan permintaan serantau.  Aktiviti pelaburan dijangka kekal teguh, didorong oleh sektor swasta. Penggunaan swasta akan disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan. Oleh itu, prospek ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh pada landasan pertumbuhan yang stabil.
 
Inflasi secara relatif adalah stabil disebabkan kesan daripada pelarasan harga bagi utiliti dan tenaga terus menjadi sederhana. Inflasi yang didorong permintaan terus terkawal. Pada masa hadapan, inflasi bagaimanapun dijangka terus melebihi kadar purata jangka panjangnya disebabkan oleh faktor kos domestik yang lebih tinggi.
 
Dalam keadaan prospek pertumbuhan yang kukuh dan inflasi yang kekal melebihi kadar purata jangka panjangnya, MPC mengambil keputusan untuk menyelaraskan tahap akomodasi monetari. Mengembalikan keadaan monetari kepada keadaan yang normal bertujuan mengurangkan risiko ketidakseimbangan ekonomi dan kewangan yang meluas, yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara. Pada kadar OPR baharu ini, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi negara.
 
Kajian lanjut tahap akomodasi monetari akan bergantung pada penilaian MPC mengenai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi. Pada masa yang sama, MPC juga akan terus memantau risiko ketidakseimbangan kewangan.

Bank Negara Malaysia
10 Jul 2014

© Bank Negara Malaysia, 2014. All rights reserved.