Cetak       Kongsi


Penentuan Harga Baharu bagi Cek akan berkuat kuasa 2 Januari 2015

No Ruj : 03/14/07 19 Mar 2014 Embargo : Untuk Siaran Segera    
Pada bulan Mac 2013, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan strategi penentuan harga baharu untuk perkhidmatan pembayaran bagi menangani perbezaan harga antara instrumen pembayaran elektronik (e-pembayaran) dengan instrumen pembayaran berasaskan kertas. Di bawah strategi penentuan harga yang baharu ini, fi untuk urus niaga Sistem GIRO Antara Bank (Interbank GIRO, IBG) yang dilakukan melalui Internet dan perbankan mudah alih dihadkan kepada 10 sen berkuat kuasa 2 Mei 2013 berbanding dengan kira-kira RM2 sebelum ini, manakala fi baharu untuk memproses cek sebanyak 50 sen akan dikenakan berkuat kuasa 1 April 2014.

Sejak pelaksanaan strategi penentuan harga baharu, urus niaga IBG menunjukkan perkembangan yang menggalakkan. Kadar penumbuhan bulanan meningkat tiga kali ganda kepada 6% atau 10 juta urus niaga dari bulan Mei hingga bulan Disember 2013 berbanding dengan 2% atau 6 juta urus niaga dalam tempoh 8 bulan sebelumnya. Cek yang dikeluarkan juga menurun dengan kadar yang lebih cepat sebanyak -3.3% atau 6.7 juta keping cek pada tahun 2013 berbanding dengan hanya -0.5% atau 1 juta keping cek pada tahun 2012.

Meskipun perkembangan ini adalah menggalakkan, keperluan asas e-pembayaran perlu disediakan bagi memudahkan penerimaan e-pembayaran secara menyeluruh terutamanya oleh agensi Kerajaan peringkat persekutuan dan negeri di seluruh Malaysia. Bagi membolehkan entiti-entiti ini menyediakan peranti yang diperlukan, fi memproses cek sebanyak 50 sen hanya akan berkuat kuasa 2 Januari 2015. Institusi perbankan juga akan mempergiat usaha mereka untuk menyediakan panduan dan insentif yang sewajarnya kepada pelanggan bagi mempercepat penggunaan e-pembayaran.

Bank Negara Malaysia
19 Mar 2014

© Bank Negara Malaysia, 2014. All rights reserved.