Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 03/14/01 06 Mar 2014 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 06 Mac 2014

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Pertumbuhan ekonomi global kekal sederhana. Meskipun ekonomi maju bertambah baik, pemulihan ekonominya adalah sederhana dan tidak sekata.  Di Asia, pertumbuhan disokong oleh sektor luaran yang bertambah baik dalam keadaan permintaan dalam negeri yang semakin sederhana di sesetengah negara. Keadaan dalam pasaran kewangan antarabangsa terus tidak menentu apabila pasaran berubah mengikut peralihan dasar di dalam beberapa ekonomi utama serta perkembangan geopolitik.

Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan peningkatan selanjutnya dalam eksport dan perbelanjaan pelaburan sektor swasta yang terus berkembang. Pada masa hadapan, trend ini dijangka berterusan.  Eksport akan terus mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi maju dan permintaan serantau.  Aktiviti pelaburan dijangka kekal teguh, didorong oleh perbelanjaan modal sektor swasta, terutamanya sektor perkilangan dan perkhidmatan.  Walau bagaimanapun, permintaan dalam negeri dijangka sederhana, mencerminkan konsolidasi sektor awam yang berterusan dan pertumbuhan penggunaan swasta yang cenderung ke arah pertumbuhan purata jangka panjangnya.

Inflasi telah meningkat secara beransur-ansur disebabkan oleh gangguan dalam bekalan akibat keadaan cuaca yang buruk dan kenaikan kos dalam negeri. Pada masa akan datang, inflasi dijangka menerima kesan daripada kos dalam negeri yang lebih tinggi. Tekanan harga luaran yang lebih rendah dan keadaan permintaan dalam negeri yang sederhana, akan membendung sebahagian daripada kesan faktor kos tersebut terhadap inflasi asas.

MPC akan terus membuat penilaian terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan global dan dalam negeri serta implikasinya terhadap prospek keseluruhan bagi inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.  Pada masa yang sama, MPC akan terus memantau tanda-tanda risiko ketidakstabilan daripada ketidakseimbangan kewangan.  MPC meneruskan tumpuan pada usaha memastikan pendirian dasar monetari adalah selaras dengan kestabilan harga dan terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Bank Negara Malaysia
06 Mar 2014

© Bank Negara Malaysia, 2014. All rights reserved.