Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 01/14/06 29 Jan 2014 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Rabu 29 Januari 2014

Pada mesyuarat Jawatankuasa Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
 
Ekonomi global terus mengembang pada kadar yang sederhana. Di ekonomi maju utama, terdapat lebih banyak tanda-tanda keadaan telah bertambah baik. Ekonomi Asia terus mencatat pertumbuhan yang mampan walaupun permintaan dalam negeri di beberapa ekonomi menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, peralihan mudah tunai global telah menyebabkan turun naik dan ketidakpastian meningkat dalam pasaran kewangan antarabangsa. Pada masa akan datang, pertumbuhan global akan disokong oleh ekonomi sedang pesat membangun dan pemulihan dalam ekonomi maju.  Namun demikian, keadaan ekonomi dan kewangan global masih mudah terjejas kepada perubahan dalam sentimen dan turun naik yang ketara dalam pasaran kewangan antarabangsa.
 
Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk yang ada menunjukkan ekonomi mencatat pertumbuhan yang mampan pada suku keempat 2013.  Peningkatan dalam eksport telah menyokong ekonomi pada suku tersebut manakala permintaan dalam negeri kekal kukuh. Pada masa hadapan, momentum pertumbuhan dijangka berterusan pada tahun  2014 dalam keadaan prestasi sektor luaran yang bertambah baik. Aktiviti pelaburan juga dijangka kekal teguh, didorong oleh perbelanjaan modal sektor swasta, terutamanya sektor perlombongan, perkilangan dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, permintaan dalam negeri dijangka lebih sederhana mencerminkan konsolidasi sektor awam yang berterusan dan pertumbuhan penggunaan swasta yang lebih perlahan.
 
Inflasi meningkat kepada 3.2% pada bulan Disember 2013 untuk berpurata pada paras 2.1% bagi keseluruhan tahun itu. Inflasi telah meningkat secara beransur-ansur disebabkan oleh gangguan dalam bekalan berikutan keadaan cuaca yang buruk dan kos dalam negeri yang lebih tinggi.  Melangkah ke hadapan, inflasi dijangka berpurata pada paras yang lebih tinggi disebabkan sebahagian besarnya oleh faktor kos dalam negeri. Tekanan harga luaran yang lebih rendah dan keadaan permintaan dalam negeri yang sederhana akan membantu membendung kesan faktor kos tersebut terhadap inflasi asas.
 
MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan global dan dalam negeri serta implikasinya terhadap prospek keseluruhan bagi inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. MPC meneruskan tumpuan terhadap usaha memastikan kestabilan harga jangka sederhana yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan. 

 

Bank Negara Malaysia
29 Jan 2014

© Bank Negara Malaysia, 2014. All rights reserved.