Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 11/13/01 07 Nov 2013 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1830 pada hari Khamis 07 November 2013

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global terus mencatat pertumbuhan pada kadar yang sederhana. Di ekonomi maju utama, pemulihan kekal beransur-ansur dan tidak sekata. Di Asia, pertumbuhan disokong oleh peningkatan dalam prestasi eksport dalam keadaan  aktiviti ekonomi domestik yang semakin sederhana. Meskipun turun naik dalam pasaran kewangan global telah berkurang, pasaran masih mudah terjejas kepada gangguan  dan perubahan dalam sentimen.  Pada masa akan datang, risiko yang ketara masih wujud dan mungkin memberikan kesan kepada kadar pemulihan global.

Dalam ekonomi Malaysia, peningkatan aktiviti dalam negeri disokong oleh eksport yang lebih baik. Aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta juga terus menyokong permintaan dalam negeri dalam keadaan perbelanjaan sektor awam yang lebih perlahan. Melangkah ke hadapan, momentum pertumbuhan akan mendapat manfaat daripada jangkaan bahawa terdapat peningkatan dalam sektor luar negeri dalam keadaan permintaan dalam negeri yang sederhana sedikit. Aktiviti pelaburan dalam negeri, bagaimanapun, akan terus didorong oleh perbelanjaan modal sektor swasta dan projek-projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan. Permintaan dalam negeri dijangka menjadi sederhana, mencerminkan konsolidasi sektor awam dan penggunaan swasta yang sederhana sedikit.    Ketidakpastian dalam persekitaran global juga mungkin memberikan kesan kepada keseluruhan momentum pertumbuhan.

Inflasi meningkat kepada 2.6% pada bulan September, mencerminkan terutamanya kenaikan harga minyak petrol. Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, inflasi kekal rendah pada 1.8%.  Inflasi dijangka meningkat pada masa akan datang, didorong oleh faktor kos dalam negeri. Walau bagaimanapun, prospek inflasi dijangka disederhanakan oleh persekitaran harga luaran yang stabil, tekanan permintaan dalam negeri yang sederhana, peningkatan kapasiti dalam negeri dan pengeluaran dan pengedaran makanan yang lebih baik.

Berdasarkan penilaian MPC, masih terdapat ketidakpastian kepada imbangan risiko dalam prospek pertumbuhan ekonomi dalam negeri dan inflasi. MPC akan terus membuat penilaian yang  teliti terhadap perkembangan kewangan dan ekonomi global dan domestik serta implikasinya ke atas keseluruhan prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

Mesyuarat juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2014. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC akan bermesyuarat sebanyak enam kali pada tahun 2014. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada pukul 6 petang pada hari kedua mesyuarat MPC1.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari 2014

Mesyuarat MPC

Tarikh

Pertama

28 dan 29 Januari 2014 (Selasa dan Rabu)

Ke-2

5 dan 6 Mac 2014 (Rabu dan Khamis)

Ke-3

7 dan 8 Mei 2014 (Rabu dan Khamis)

Ke-4

9 dan 10 Julai 2014  (Rabu dan Khamis)

Ke-5

17 dan 18 September 2014 (Rabu dan Khamis)

Ke-6

5 dan 6 November 2014 (Rabu dan Khamis)

___________________________

1Ini merupakan amalan sejak Januari 2010, susulan berkuat kuasanya Akta Bank Negara Malaysia 2009. 

Bank Negara Malaysia
07 Nov 2013

© Bank Negara Malaysia, 2013. All rights reserved.