Cetak       Kongsi


Penubuhan Agensi Akreditasi Kewangan

No Ruj : 09/13/03 06 Sep 2013 Embargo : Untuk Siaran Segera    

BNM_SC_logo

Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ini mengumumkan penubuhan Agensi Akreditasi Kewangan (Finance Accreditation Agency, FAA), sebuah badan antarabangsa yang bebas bagi menjamin  kualiti dan memberikan akreditasi kepada industri perkhidmatan kewangan.

FAA menyediakan penilaian program pembelajaran, akreditasi, dan audit keinsitusian yang akan menyumbang ke arah pembangunan jaminan kualiti dan penggalakan inisiatif pembelajaran dalam industri perkhidmatan kewangan. Selain itu, FAA akan berusaha meningkatkan kerjasama dan penggabungan untuk pengiktirafan secara bersama dan global, dengan badan-badan dan persatuan-persatuan tempatan dan antarabangsa, badan akreditasi, dan institusi pendidikan tinggi.

Bagi melaksanakan mandatnya, FAA bekerjasama rapat dengan pakar industri tempatan dan antarabangsa daripada sektor perkhidmatan kewangan yang berlainan iaitu Kewangan Islam, Pasaran Modal, Insurans, dan Perbankan dan Kewangan Konvensional.  Pakar-pakar ini akan memberikan nasihat dalam kajian semula program pembelajaran dan mengesahkan kelayakan untuk akreditasi.

FAA, yang diwujudkan secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, merealisasikan saranan oleh industri insurans perbankan dan pasaran modal untuk mempertingkat dan mengiktiraf kemahiran dan kompetensi dalam sektor kewangan.

Ahli Lembaga Pengarah FAA terdiri daripada wakil daripada Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ahli Lembaga Pengarah FAA bagi tahun 2013 ialah:

  1. YBhg Dato' Muhammad bin Ibrahim
    Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia
  1. Puan Jessica Chew Cheng Lian
    Penolong Gabenor, Bank Negara Malaysia
  1. YBhg Datin Che Teh Ija Mohd Jalil
    Pengarah Eksekutif, Sumber Korporat, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
  1. YBhg Dato' Dr Syed Ahmad Hussein
    Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Qualifications Agency (MQA), Malaysia
  1. Profesor Dr Humayon Dar
    Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Edbiz Consulting Limited, United Kingdom
  1. YBhg Dato' Tharumah Rajah
    Pengarah Urusan Serantau, Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Hay Group, Malaysia
  1. Cik Jenny Sofian
    Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Asia Tenggara, Amundi Singapore, Singapura

Ketua Pegawai Eksekutif FAA ialah Dr Amat Taap Manshor. Dr Amat mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam pengurusan perniagaan, termasuk 12 tahun dalam bidang pendidikan dan latihan, dengan menjawat beberapa jawatan pengurusan kanan di universiti, dan juga dalam perkhidmatan perundingan.

FAA mula beroperasi pada bulan Ogos 2012 dan alamatnya ialah:

Finance Accreditation Agency  (FAA)
12-1, Level 12, Tower 3 Avenue 7,
The Horizon 2, Bangsar South,
No. 8, Jalan Kerinchi
59200 Kuala Lumpur
T: 603 2788 1212
F: 603 2788 1200
Laman sesawang: www.faa.org.my

BANK NEGARA MALAYSIA
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Maklumat ringkas mengenai FAA

Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) merupakan sebuah badan antarabangsa yang bebas bagi menjamin kualiti dan memberikan akreditasi,  yang disokong oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. FAA bertanggungjawab terhadap jaminan kualiti dan penggalakkan inisiatif pembelajaran dalam Industri Perkhidmatan Kewangan (Finance Services Industry, FSI) melalui program pembelajaran, akreditasi institusi dan individu serta penggalakkan amalan pembelajaran masa depan dalam FSI menerusi pembangunan FAA Qualification Structure (FQS), FAA Learning Standards (FLS) dan FAA Recognition of Prior Learning (FRL). Melalui kesemua inisiatif ini, FAA berhasrat untuk menyumbang kepada penggalakan piawaian tertinggi dalam pembangunan tenaga mahir bagi FSI.

Bank Negara Malaysia
06 Sep 2013

© Bank Negara Malaysia, 2013. All rights reserved.