Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 09/13/01 05 Sep 2013 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 05 September 2013
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari  (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
 
Ekonomi global terus mencatat pertumbuhan yang sederhana. Kekukuhan pemulihan dalam ekonomi maju yang utama masih belum lagi mencapai momentum. Meskipun permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan ekonomi sedang pesat membangun, momentum pertumbuhan telah menjadi sederhana. Walaupun keadaan monetari global kekal sangat akomodatif, ketidakpastian pasaran berhubung dengan hala tuju dasar telah menyebabkan turun naik yang ketara dalam pasaran kewangan global. Aliran modal bertukar arah dari ekonomi sedang pesat membangun berikutan aliran masuk yang kukuh bagi tempoh yang berpanjangan, lantas menyebabkan mata wang ekonomi sedang pesat membangun menyusut nilai.
 
Dalam ekonomi Malaysia, permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan berikutan keadaan permintaan luar negeri yang lemah. Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi dijangka disokong oleh aktiviti dalam negeri yang terus berkembang.  Pertumbuhan pendapatan yang mampan dan keadaan pasaran pekerja yang stabil akan menyokong penggunaan swasta. Kesan daripada pengurangan subsidi ke atas perbelanjaan penggunaan dijangka diimbangi oleh bantuan kewangan yang disasarkan.  Aktiviti pelaburan dalam negeri yang teguh akan terus dipacu oleh perbelanjaan modal dalam industri berorientasikan dalam negeri dan projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan.  Prospek pertumbuhan keseluruhan, bagaimanapun, mungkin menerima kesan daripada risiko dalam ekonomi global dan pasaran kewangan antarabangsa.  
 
Inflasi kekal rendah pada 1.7% pada tujuh bulan pertama tahun ini. Melangkah ke hadapan, inflasi dijangka terus meningkat sehingga akhir tahun ini dan ke tahun 2014, disebabkan oleh faktor kos dalam negeri, termasuk pelarasan subsidi. Walau bagaimanapun, peningkatan inflasi adalah dari paras yang rendah dan akan diimbangi oleh persekitaran harga luaran yang stabil, peningkatan keupayaan domestik dan tekanan permintaan dalam negeri yang sederhana. 
 
Berdasarkan penilaian MPC, terdapat ketidakpastian yang meningkat kepada imbangan risiko dalam prospek pertumbuhan domestik dan inflasi. MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan global dan dalam negeri serta implikasinya terhadap keseluruhan prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
  

Bank Negara Malaysia
05 Sep 2013

© Bank Negara Malaysia, 2013. All rights reserved.