Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 11/15/03 05 Nov 2015 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 05 November 2015

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana. Pemulihan ekonomi di negara-negara maju utama kekal sederhana. Meskipun pertumbuhan telah menjadi perlahan di kebanyakan ekonomi Asia, rantau ini terus mencatat pertumbuhan yang positif dengan disokong oleh permintaan dalam negeri. Ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antarabangsa telah reda, namun pasaran akan terus mendapat kesan daripada peralihan mudah tunai global dan sentimen pelabur.  Melangkah ke hadapan, risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan masih tinggi ekoran momentum pertumbuhan yang semakin sederhana dalam beberapa ekonomi utama, ketidakpastian berhubung dengan harga tenaga dan komoditi dan kemungkinan keadaan pasaran tidak teratur disebabkan oleh peralihan dasar dalam ekonomi-ekonomi utama.

Prestasi ekonomi Malaysia terus dipengaruhi oleh persekitaran luaran yang lembap. Oleh itu, permintaan dalam negeri kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan. Walau bagaimanapun, penggunaan swasta dijangka menjadi sederhana apabila isi rumah terus membuat penyelarasan terhadap kos sara hidup yang lebih tinggi dalam keadaan persekitaran ekonomi yang tidak menentu. Namun, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan upah dan keadaan pasaran pekerja yang stabil. Meskipun aktiviti pelaburan semakin perlahan dalam industri minyak dan gas, pelaburan akan disokong oleh projek pembangunan infrastruktur dan perbelanjaan modal oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan disokong oleh eksport apabila pertumbuhan global menjadi bertambah baik. Ekonomi Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada sumber pertumbuhan yang pelbagai, ekonomi yang fleksibel, penggangguran yang rendah, paras hutang luar negeri yang terurus dan permodalan sistem perbankan yang kukuh. Prospek ekonomi Malaysia diunjurkan untuk berkembang sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini serta 4 hingga 5 peratus pada tahun 2016.  Walau bagaimanapun, risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan dijangka kekal tinggi. 

Purata inflasi bagi bulan Ogos dan September ialah 2.8%, dan dijangka kekal stabil secara relatif dalam tempoh selanjutnya tahun ini. Meskipun kadar pertukaran ringgit lebih lemah, kesannya terhadap inflasi keseluruhan adalah terhad disebabkan oleh harga komoditi yang lebih rendah dan inflasi global yang pada amnya rendah. Bagi tahun 2016, inflasi diunjurkan lebih tinggi, dan akan mencapai tahap tertingginya pada suku pertama dan menjadi sederhana selepas itu.

Perkembangan dalam negeri dan global terus memberikan kesan kepada kadar pertukaran ringgit dan pasaran kewangan domestik. Walau bagaimanapun, dalam persekitaran ini, mudah tunai domestik terus mencukupi dan sistem kewangan kekal kukuh dengan pertumbuhan pembiayaan yang memuaskan. Oleh itu, pengantaraan kewangan telah terus menyokong ekonomi. Bank Negara Malaysia akan terus memastikan pasaran wang dan pertukaran asing  berfungsi dengan teratur.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC menyedari bahawa terdapat peningkatan risiko dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global. Risiko-risiko ini sedang dipantau dengan teliti bagi mengkaji implikasinya terhadap kestabilan makroekonomi dan prospek ekonomi Malaysia. Ini bagi memastikan pendirian dasar monetari adalah selaras dengan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan.

Mesyuarat juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2016. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC akan bermesyuarat sebanyak enam kali pada tahun 2016. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada pukul 6 petang pada hari kedua mesyuarat MPC.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari 2016

Mesyuarat MPC

Tarikh

Pertama

20 dan 21 Januari 2016 (Rabu dan Khamis)

Ke-2

8 dan 9 Mac 2016 (Selasa dan Rabu)

Ke-3

18 dan 19 Mei 2016 (Rabu dan Khamis)

Ke-4

12 dan 13 Julai 2016 (Selasa dan Rabu)

Ke-5

6 dan 7 September 2016 (Selasa dan Rabu)

Ke-6

22 dan 23 November 2016 (Selasa dan Rabu)


Bank Negara Malaysia
05 Nov 2015

© Bank Negara Malaysia, 2015. All rights reserved.