Cetak       Kongsi


Strategi Penentuan Harga Baharu Untuk Meningkatkan Kecekapan

No Ruj : 03/13/08 20 Mar 2013 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Rabu 20 Mac 2013

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan strategi penentuan harga yang baharu bagi perkhidmatan pembayaran untuk menangani perbezaan harga antara kaedah pembayaran secara elektronik (e-pembayaran) dengan kaedah pembayaran berasaskan kertas. Di bawah penentuan harga yang baharu ini, fi untuk kaedah e-pembayaran akan dikurangkan bagi memberikan insentif kepada para peniaga dan pengguna untuk menggunakan kaedah pembayaran yang lebih cekap manakala caj akan dikenakan ke atas cek sebagai mencerminkan kosnya yang lebih tinggi.

Berkuat kuasa 2 Mei 2013, fi untuk urus niaga Sistem GIRO Antara Bank atau IBG (Interbank GIRO) yang dilakukan secara dalam talian melalui perbankan Internet dan perbankan mudah alih adalah sebanyak 10 sen. Fi IBG dalam talian yang rendah ini bertujuan memberi insentif kepada pengguna untuk beralih daripada kaedah pembayaran berkos lebih tinggi yang lain kepada kaedah pembayaran alternatif yang lebih murah. Pembayaran dalam talian melalui perbankan Internet dan perbankan mudah alih memberikan manfaat yang ketara kepada individu dan peniaga. Setiap individu akan menikmati kemudahan urus niaga pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa perlu beratur di kaunter bank, manakala peniaga pula boleh mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui pengurangan atau penggunaan semula sumber yang sebelum ini digunakan untuk mengendalikan wang tunai dan cek. Melalui peningkatan pembayaran secara elektronik, kos daripada pemprosesan secara manual, termasuk kos penghantaran melalui pos, akan dapat dijimatkan.  

Bagi mengurangkan kos dan ketidakcekapan yang berkaitan dengan penggunaan cek, caj untuk cek akan dinaikkan secara beransur-ansur bagi mencerminkan kos pengeluaran sebanyak RM3.00 bagi setiap cek. Tempoh selama setahun akan diberikan kepada orang ramai dan para peniaga untuk membiasakan, menyesuaikan diri dan beralih kepada penggunaan IBG bagi urusan pembayaran mereka. Berkuat kuasa 1 April 2014, pihak bank akan mengenakan caj memproses cek sebanyak 50 sen bagi setiap cek kepada pengeluar cek. Fi ini ialah tambahan kepada duti setem sedia ada sebanyak 15 sen bagi setiap cek. Dalam tempoh setahun ini, Bank Negara Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pihak industri kewangan untuk terus menambah baik infrastruktur pembayaran bagi memastikan perkhidmatan pembayaran dapat diakses secara meluas, selamat dan mudah.

Selain cek dan IBG, pelarasan harga terhadap kaedah dan saluran pembayaran lain, termasuk mesin juruwang automatik (ATM), akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk menggalakkan pengguna menggunakan e-pembayaran yang lebih berkesan kos. Menjelang tahun 2020, penentuan harga bagi semua perkhidmatan pembayaran adalah berdasarkan kos menyediakan perkhidmatan berkenaan. 

Kini, terdapat 1.6 bilion urus niaga kewangan yang dibuat menerusi kaedah elektronik, iaitu dua kali jumlah urus niaga pada tahun 2006. Walaupun kemajuan yang dicapai setakat ini adalah menggalakkan, sasarannya adalah untuk meningkatkan jumlah e-pembayaran per kapita daripada 56 pada tahun 2012 kepada 200 pada tahun 2020 serta mengurangkan bilangan cek yang dijelaskan dalam negara kepada separuh, iaitu daripada 204 juta cek kepada 100 juta dalam tempoh yang sama. Pencapaian sasaran ini akan membawa Malaysia hampir kepada matlamatnya untuk memperoleh penjimatan tahunan sehingga 1% daripada KDNK seperti yang ditunjukkan oleh kajian-kajian yang telah dijalankan. Kajian menunjukkan bahawa sesebuah ekonomi akan menikmati penjimatan tersebut apabila beralih daripada sistem pembayaran berasaskan kertas kepada e-pembayaran. Keperluan untuk mempercepat perpindahan kepada e-pembayaran adalah lebih penting sekarang agar seiring dengan peralihan Malaysia ke arah menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi.

Bank Negara Malaysia
20 Mar 2013

© Bank Negara Malaysia, 2013. All rights reserved.