Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 03/13/03 07 Mar 2013 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 07 Mac 2013
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
 
Aktiviti ekonomi global terus berdepan dengan beberapa ketidakpastian. Meskipun terdapat perkembangan yang lebih baik dalam ekonomi maju, namun risiko terhadap pemulihan yang mampan terus wujud. Di Asia, pertumbuhan terus disokong oleh permintaan dalam negeri dan peningkatan secara beransur-ansur perdagangan dalam rantau. Walaupun pasaran kewangan global telah bertambah baik secara amnya, namun pasaran masih mudah terjejas oleh gangguan dan perubahan dalam sentimen.
 
Dalam ekonomi dalam negeri, penunjuk-penunjuk terkini menunjukkan aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan yang berterusan dalam penggunaan swasta. Melangkah ke hadapan, trend in dijangka berterusan. Penggunaan swasta disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang stabil. Pelaburan dipacu oleh perbelanjaan modal dalam sektor berorientasikan dalam negeri, industri minyak dan gas dan projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan.  Sektor luaran juga dijangka bertambah baik dan memberikan sokongan tambahan kepada ekonomi negara.
 
Inflasi kekal rendah pada 1.3% pada bulan Januari. Meskipun inflasi dijangka meningkat pada tahun ini, kadarnya dijangka kekal sederhana. Harga komoditi makanan global terpilih yang lebih tinggi dan faktor-faktor dalam negeri dijangka meningkatkan kos dan menyumbang kepada harga yang lebih tinggi. Namun, sejajar dengan prospek pertumbuhan global yang sederhana, tekanan daripada harga komoditi global dijangka terkawal.
 
MPC menyifatkan pendirian dasar monetari semasa adalah wajar berdasarkan jangkaan terhadap inflasi dan pertumbuhan. Selain memantau keadaan dalam negeri, MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan global serta implikasinya ke atas keseluruhan prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Bank Negara Malaysia
07 Mar 2013

© Bank Negara Malaysia, 2013. All rights reserved.