Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 01/13/05 31 Jan 2013 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1830 pada hari Khamis 31 Januari 2013
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari  (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
 
Aktiviti ekonomi global menunjukkan tanda-tanda peningkatan meskipun pada kadar yang tidak sekata. Pertumbuhan dalam ekonomi maju yang utama terus dikekang oleh konsolidasi fiskal yang berterusan selain keadaan pasaran pekerja yang lemah. Di Asia, pertumbuhan disokong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan pemulihan beransur-ansur permintaan luar negeri. Tekanan yang dihadapi oleh pasaran kewangan antarabangsa juga telah reda. Walaupun terdapat kesemua perkembangan yang menggalakkan ini, risiko bahawa prospek pertumbuhan global akan menjadi lebih perlahan masih wujud.
  
Dalam ekonomi dalam negeri, petunjuk-petunjuk yang ada menunjukkan  ekonomi negara akan berkembang teguh pada suku keempat 2012. Pertumbuhan telah didorong oleh penggunaan dalam negeri dan aktiviti pelaburan yang mampan dengan beberapa peningkatan dalam sektor luaran. Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri dijangka terus berkembang, disebabkan oleh aktiviti sektor swasta yang kukuh. Penggunaan swasta akan disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan keadaan guna tenaga yang stabil sementara pelaburan akan dipacu oleh perbelanjaan modal dalam sektor berorientasikan dalam negeri, industri gas dan minyak serta projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan.  Sektor luaran juga dijangka bertambah baik secara beransur-ansur lantas memberi sokongan tambahan kepada ekonomi negara.
 
Inflasi berpurata 1.6% pada tahun 2012.  Pada tahun 2013, inflasi dijangka menjadi lebih tinggi tetapi kekal pada paras sederhana. Harga beberapa makanan global terpilih dan faktor-faktor dalam negeri dijangka meningkatkan kos dan menyumbang kepada harga yang lebih tinggi. Namun, memandangkan prospek pertumbuhan global adalah sederhana, tekanan daripada harga komoditi global dijangka terkawal.  
 
MPC menyifatkan pendirian dasar monetari semasa menyokong kegiatan ekonomi negara sementara inflasi kekal terkawal. Selain memantau keadaan dalam negeri, MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan global serta implikasinya ke atas keseluruhan prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
 
  

Bank Negara Malaysia
31 Jan 2013

© Bank Negara Malaysia, 2013. All rights reserved.