Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 11/12/05 08 Nov 2012 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 08 November 2012

Pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global dijangka terus mengalami pertumbuhan yang perlahan. Ketidakpastian mengenai prospek pertumbuhan ekonomi-ekonomi maju masih wujud. Namun, meskipun permintaan luar negeri lebih lemah, pertumbuhan dalam ekonomi serantau terus disokong oleh permintaan dalam negeri.

Dalam ekonomi Malaysia, aktiviti dalam negeri yang terus berkembang telah mengimbangi kelemahan dalam sektor luaran. Pada masa hadapan, penggunaan swasta akan disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan keadaan guna tenaga yang stabil.  Pelaburan dijangka terus kukuh, didorong oleh peningkatan perbelanjaan modal dalam sektor berorientasikan dalam negeri, minyak dan gas serta projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan.

Inflasi dijangka kekal sederhana sehingga akhir tahun 2012. Walaupun inflasi mungkin meningkat pada tahun 2013, kadarnya dijangka kekal sederhana memandangkan terdapat kapasiti lebihan dalam ekonomi. Harga tenaga dan komoditi dunia juga dijangka terkawal kerana keadaan global yang lemah. Risiko yang inflasi akan menjadi lebih tinggi, bagaimanapun mungkin timbul sekiranya gangguan bekalan mengakibatkan kenaikan harga komoditi dunia.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari semasa adalah akomodatif dan menyokong kegiatan ekonomi negara. Selain memantau keadaan domestik, MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan global serta implikasinya ke atas keseluruhan prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Mesyuarat turut meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2013. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC akan bermesyuarat sebanyak enam kali setahun.  Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan disusuli oleh pengeluaran Pernyataan Dasar Monetari pada pukul 6 petang pada hari kedua mesyuarat MPC1.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari 2013

Mesyuarat MPC ke- Tarikh
1 30 dan 31 Januari 2013 (Rabu dan Khamis)
2 6 dan 7 Mac 2013 (Rabu dan Khamis)
3 8 dan 9 Mei 2013 (Rabu dan Khamis)
4 10 dan 11 Julai 2013 (Rabu dan Khamis)
5 4 dan 5 September 2013 (Rabu dan Khamis)
6 6 dan 7 November 2013 (Rabu dan Khamis)


___________________________

1Ini merupakan amalan sejak Januari 2010 susulan berkuat kuasanya Akta Bank Negara Malaysia 2009.
 

Bank Negara Malaysia
08 Nov 2012

© Bank Negara Malaysia, 2012. All rights reserved.