Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 07/12/02 05 Jul 2012 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 05 Julai 2012
Pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
 
Kadar pemulihan global telah menjadi sederhana sejak beberapa bulan yang lalu. Data terkini menunjukkan kegiatan ekonomi yang lebih perlahan serta prospek pertumbuhan yang lebih mencabar di beberapa rantau di seluruh dunia. Walaupun tekanan yang dialami pasaran kewangan antarabangsa telah reda susulan pengumuman dasar baru-baru ini untuk menangani krisis di Eropah, namun beberapa isu dasar yang penting masih belum diselesaikan dan menyebabkan pasaran kewangan terus tidak menentu. Kegiatan ekonomi di beberapa negara maju terus menerima kesan daripada konsolidasi fiskal yang berterusan, pengantaraan kewangan yang terjejas dan keadaan pasaran pekerja yang lemah. Di negara sedang pesat membangun, meskipun permintaan dalam negeri terus menjadi sumber penting pertumbuhan, namun eksport menerima kesan daripada permintaan luar negeri yang lemah.
 
Dalam ekonomi domestik, data terkini dan tinjauan terhadap keadaan perniagaan menunjukkan aktiviti penggunaan dan pelaburan yang kekal berdaya tahan.  Pada masa akan datang, permintaan dalam negeri akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan. Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan guna tenaga dan pertumbuhan pendapatan yang stabil. Aktiviti pelaburan yang kukuh terutamanya dipacu oleh industri berorientasikan dalam negeri, sektor minyak dan gas dan kemajuan yang berterusan dalam projek pembinaan infrastruktur.  
 
Inflasi dijangka kekal sederhana sehingga akhir tahun ini. Dengan terdapatnya kapasiti berlebihan dalam ekonomi negara, permintaan dalam negeri yang kukuh dijangka tidak akan mewujudkan keadaan inflasi. Harga tenaga dan komoditi dunia dijangka terkawal berikutan keadaan global yang lemah. Namun, risiko yang inflasi akan menjadi lebih tinggi mungkin timbul sekiranya gangguan terhadap bekalan global mengakibatkan harga dunia yang lebih tinggi bagi komoditi-komoditi ini.
 
Berdasarkan penilaian MPC, ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global masih lagi ketara. Oleh itu, MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap keadaan yang sentiasa berubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Bank Negara Malaysia
05 Jul 2012

© Bank Negara Malaysia, 2012. All rights reserved.