Cetak       Kongsi


Perkhidmatan Penyelesaian dalam Renminbi Menggunakan RENTAS

No Ruj : 03/12/09 21 Mar 2012 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Rabu 21 Mac 2012

Berkuat kuasa hari ini Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (Real-time Electronic Transfer of Funds and Settlement System, RENTAS) Bank Negara Malaysia akan memperluas perkhidmatan penyelesaian kasar masa nyatanya untuk merangkumi mata wang Renminbi. Selain menyediakan penyelesaian perdagangan yang lebih cekap dan berdaya saing, Perkhidmatan Penyelesaian Renminbi (Renminbi Settlement Services, RSS) melengkapi pelbagai inisiatif serantau sedia ada yang menggalakkan integrasi kewangan yang lebih meluas.

Institusi perbankan di Malaysia dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi dengan membuat penyelesaian urus niaga dalam Renminbi melalui RENTAS bagi memberikan jaminan kepada rakan niaga dalam memenuhi obligasi penyelesaian. RSS bukan sahaja akan memudahkan lagi perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Republik Rakyat China, bahkan turut menyediakan perlindungan nilai semula jadi terhadap turun naik dan ketidakstabilan mata wang lain sambil menyisihkan risiko penyelesaian urus niaga dalam Renminbi.

Bank of China (Malaysia) Berhad telah dilantik sebagai institusi penyelesaian dalam negeri untuk RSS.

Bagi menggalakkan penggunaan RSS, bayaran berkaitan dengan perkhidmatan ini akan dimansuhkan sehingga 31 Disember 2012.

Bank Negara Malaysia
21 Mar 2012

© Bank Negara Malaysia, 2012. All rights reserved.