Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 03/12/03 09 Mar 2012 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Jumaat 09 Mac 2012

Pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Keadaan ekonomi dan kewangan global semakin pulih sejak mesyuarat MPC yang lepas. Tekanan yang dihadapi oleh pasaran kewangan antarabangsa sebahagiannya telah diatasi dengan pengenalan langkah untuk menangani krisis hutang kerajaan Eropah. Di Amerika Utara, terdapat tanda-tanda tentatif pemulihan dalam ekonomi. Namun begitu, pertumbuhan dalam ekonomi maju masih lemah. Di Asia, meskipun pertumbuhan terus disokong oleh permintaan dalam negeri, momentum pertumbuhan telah menjadi sederhana berikutan aktiviti perdagangan yang perlahan.

Dalam ekonomi domestik, penunjuk terkini dan tinjauan terhadap perniagaan menunjukkan peningkatan yang berterusan dalam penggunaan swasta dan perbelanjaan perniagaan. Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri akan terus mendorong pertumbuhan dalam ekonomi Malaysia. Penggunaan swasta akan disokong oleh keadaan guna tenaga yang stabil, pertumbuhan pendapatan dan langkah-langkah sektor awam. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh industri berorientasikan dalam negeri, sektor komoditi dan sektor awam. Walau bagaimanapun, momentum pertumbuhan pada tahun 2012 secara keseluruhan dijangka menjadi sederhana disebabkan terutamanya oleh persekitaran luar yang lebih lemah.

Inflasi dijangka menjadi lebih sederhana pada tahun 2012. Namun demikian, risiko kenaikan inflasi mungkin timbul daripada risiko gangguan bekalan dan kemungkinan pasaran komoditi semakin bercirikan pasaran kewangan, lantas menyebabkan harga tenaga dan komoditi yang lebih tinggi.

Berdasarkan penilaian MPC, meskipun keadaan kewangan global telah bertambah baik, risiko pertumbuhan ekonomi global akan menjadi lebih perlahan masih lagi wujud. Harga komoditi dunia yang tinggi terus menimbulkan risiko kepada inflasi. MPC akan terus membuat penilaian terhadap keadaan yang berubah-ubah ini dan implikasinya kepada prospek pertumbuhan dan inflasi secara keseluruhan.

Jadual Mesyuarat MPC

Berikutan penjadualan semula mesyuarat antarabangsa, mesyuarat MPC bulan Mei telah dipinda dari hari Khamis, 3 Mei 2012 ke hari Jumaat, 11 Mei 2012.

Bank Negara Malaysia
09 Mar 2012

© Bank Negara Malaysia, 2012. All rights reserved.