Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 11/11/04 11 Nov 2011 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Jumaat 11 November 2011

Pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Penunjuk terkini menunjukkan momentum pertumbuhan global telah menjadi sederhana sejak beberapa bulan yang lalu. Aktiviti ekonomi di ekonomi maju menerima kesan daripada turun naik pasaran yang meningkat serta tahap keyakinan yang lebih rendah dalam keadaan ketidakpastian dasar yang semakin bertambah.  Keadaan pasaran pekerja di beberapa ekonomi ini juga terus lemah. Melangkah ke hadapan, keadaan ini mungkin berterusan disebabkan oleh isu dasar yang penting masih belum selesai, dan meningkatkan lagi risiko pertumbuhan global menjadi lebih rendah. Di rantau Asia, pertumbuhan dalam negeri yang mampan diunjurkan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Walau bagaimanpun, persekitaran luaran yang bertambah lemah dijangka memberikan kesan kepada prospek pertumbuhan serantau.

Ekonomi dalam negeri bertambah baik pada suku ketiga disebabkan terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh. Prestasi eksport juga meningkat, mencerminkan kemantapan permintaan serantau dan aliran perdagangan yang kembali normal daripada gangguan rantaian bekalan. Melangkah ke hadapan, persekitaran luaran yang lebih lemah bagaimanapun mungkin memberikan kesan kepada prospek pertumbuhan keseluruhan. Permintaan dalam negeri akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan,  disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta serta diperkukuh oleh aktiviti perbelanjaan dan pelaburan sektor awam. Keadaan guna tenaga juga dijangka kekal stabil.

Kadar inflasi Malaysia adalah 3.4% pada bulan September disebabkan oleh kenaikan yang lebih perlahan dalam kategori  pengangkutan.  Melangkah ke hadapan, inflasi dijangka kekal stabil sehingga akhir tahun ini dan menjadi sederhana pada tahun  2012.  Harga tenaga dunia dijangka sederhana sedikit manakala kesan permintaan dalam negeri terhadap inflasi juga dijangka kekal terkawal. Inflasi harga makanan yang tinggi yang  sebahagian besarnya disebabkan oleh gangguan bekalan, terus menjadi faktor kebimbangan.

Dalam penilaian MPC, prospek ekonomi global diunjurkan lebih lemah dan keadaan pasaran kewangan antarabangsa yang amat tidak pasti dan tidak menentu akan berterusan pada masa akan datang. Sementara ekonomi dalam negeri dijangka meningkat, perkembangan luaran tersebut berkemungkinan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia keseluruhannya.  MPC akan terus memantau perkembangan tersebut dan membuat penilaian risiko terhadap prospek pertumbuhan domestik dan juga inflasi.

Mesyuarat juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun  2012.  Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC akan bermesyuarat sebanyak enam kali setahun. Pernyataan Dasar Kewangan akan dikeluarkan pada pukul 6 petang hari yang sama mesyuarat MPC diadakan.


Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari 2012

Mesyuarat MPC ke-

Tarikh

1

31 Januari 2012 (Selasa)

2

9 Mac 2012 (Jumaat)

3

3 Mei 2012 (Khamis)

4

5 Julai 2012 (Khamis)

5

6 September 2012 (Khamis)

6

8 November 2012 (Khamis)

Bank Negara Malaysia
11 Nov 2011

© Bank Negara Malaysia, 2011. All rights reserved.