Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 01/16/02 21 Jan 2016 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 21 Januari 2016
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.
 
Meskipun ekonomi global terus berkembang, pemulihan dalam ekonomi maju tidak sekukuh jangkaan awal manakala pertumbuhan ekonomi sedang pesat membangun pula telah menjadi perlahan. Keadaan turun naik dan ketidakpastian pasaran kewangan pada masa ini juga telah menambah risiko pertumbuhan global yang lebih perlahan.
 
Bagi Malaysia, pertumbuhan terus didorong oleh permintaan dalam negeri. Walaupun penggunaan swasta telah menjadi sederhana berikutan isi rumah membuat penyesuaian terhadap kos sara hidup yang meningkat, perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan dalam pendapatan dan guna tenaga yang berterusan. Pelaburan secara keseluruhan telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur dan perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan meskipun pelaburan dalam sektor minyak dan gas lebih rendah.
 
Melangkah ke hadapan, walaupun trend terkini menunjukkan bahawa eksport akan kembali pulih, namun sumbangan sektor luaran terhadap pertumbuhan secara keseluruhan dijangka sederhana. Dalam persekitaran yang mencabar ini, ekonomi negara dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih sederhana pada tahun 2016, selepas berkembang sekitar 5 peratus pada tahun 2015. Risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan telah meningkat ekoran ketidakpastian yang lebih ketara pada peringkat global dan dalam negeri. Untuk menghadapi persekitaran yang lebih sukar ini, ekonomi Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada sumber pertumbuhan yang lebih pelbagai, ekonomi yang fleksibel, pengangguran yang rendah, paras hutang luar negeri yang terurus, dan permodalan sistem perbankan yang kukuh serta pasaran modal maju yang menyediakan akses kepada pembiayaan yang berterusan.
 
Purata inflasi pada tahun 2015 ialah 2.1% dan dijangka lebih tinggi pada tahun 2016, berikutan pelarasan terkini harga ditadbir dan kadar pertukaran ringgit yang lebih lemah. Walau bagaimanapun, kesan daripada faktor kos domestik ini terhadap inflasi secara keseluruhan dijangka diimbangi oleh harga tenaga dan komoditi yang terus rendah dan inflasi global yang pada amnya lemah. Dari segi kadar kenaikan, inflasi diunjurkan mencatat paras tertinggi pada suku pertama tahun 2016 dan menurun pada tempoh seterusnya.
 
Perkembangan luaran dan dalam negeri sejak akhir-akhir ini terus memberikan kesan terhadap kadar pertukaran ringgit dan pasaran kewangan domestik. Aliran keluar bersih juga telah menyebabkan mudah tunai domestik sederhana. Operasi monetari Bank Negara Malaysia telah memastikan terdapat mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong pasaran wang dan pasaran pertukaran asing berfungsi dengan teratur. Sistem kewangan kekal teguh dengan institusi kewangan beroperasi dengan penampan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi. Oleh yang demikian, pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta terus mantap.
 
Pada kadar semasa OPR ini, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC menyedari bahawa terdapat peningkatan risiko dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global. Risiko ini sedang dipantau dengan rapi bagi menilai implikasinya terhadap kestabilan makroekonomi dan prospek ekonomi Malaysia. Ini bagi memastikan pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan.

Bank Negara Malaysia
21 Jan 2016

© Bank Negara Malaysia, 2016. All rights reserved.