Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 09/11/01 08 Sep 2011 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 08 September 2011

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Pertumbuhan global menjadi lebih sederhana dalam bulan-bulan kebelakangan ini apabila pertumbuhan ekonomi maju menjadi lebih perlahan daripada jangkaan berikutan ketidakpastian dasar yang semakin meningkat, tahap keyakinan yang lebih rendah serta ketidaktentuan keadaan pasaran kewangan yang lebih ketara dalam keadaan pasaran pekerja yang terus lemah. Melangkah ke hadapan, ekonomi maju dijangka mencatat kadar pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan awal. Di rantau Asia, permintaan dalam negeri yang mampan dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi dalam keadaan prestasi luaran yang lebih lemah. Ketidakpastian dalam pasaran kewangan yang berterusan, pasaran pekerja yang lemah, dan keadaan fiskal semasa dalam ekonomi maju telah meningkatkan risiko pertumbuhan yang lebih rendah dan kelemahan ekonomi global.

Bagi ekonomi daIam negeri, penunjuk terkini menunjukkan bahawa permintaan luar negeri akan menjadi lebih perlahan akibat persekitaran ekonomi global yang lebih lemah. Prospek pertumbuhan ekonomi dalam negeri, bagaimanapun, terus positif, disokong oleh pengembangan dalam penggunaan dan pelaburan swasta. Keadaan guna tenaga terus menggalakkan dalam keadaan keyakinan sektor perniagaan dan pengguna yang lebih baik. Sektor awam juga akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Namun demikian, melangkah ke hadapan, persekitaran luaran yang semakin mencabar menyebabkan meningkatnya risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri akan menjadi lebih rendah.

Inflasi dalam negeri menurun sedikit kepada 3.4% pada bulan Julai disebabkan oleh kenaikan yang lebih perlahan dalam kategori pengangkutan. Walau bagaimanapun, inflasi harga makanan terus meningkat. Melangkah ke hadapan, inflasi dijangka secara relatifnya terus stabil hingga ke akhir tahun.  Walaupun masih terdapat inflasi tolakan kos (cost-push inflation), kadar peningkatan akan lebih beransur-ansur. Risiko inflasi yang lebih tinggi juga akan bergantung pada sama ada kekukuhan permintaan dalam negeri akan berterusan, sekiranya keadaan luaran semakin lemah.   

Dalam penilaian MPC, meskipun inflasi terus membimbangkan, ketidakpastian yang meningkat bagi prospek pertumbuhan ekonomi global dan dalam negeri serta akibatnya mungkin memberikan kesan penyederhanaan terhadap inflasi. MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap perkembangan dalam persekitaran inflasi dan ekonomi, dan menyelaraskan keadaan monetari dengan sewajarnya bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Bank Negara Malaysia
08 Sep 2011

© Bank Negara Malaysia, 2011. All rights reserved.