Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 07/11/03 07 Jul 2011 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 07 Julai 2011

Pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Pemulihan ekonomi global pada suku kedua tahun ini menerima kesan daripada gangguan bekalan ekoran bencana alam dan perkembangan geopolitik, impak langkah konsolidasi fiskal, keadaan yang lebih tidak menentu dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi yang lebih tinggi. Melangkah ke hadapan, pertumbuhan global akan terus tidak seimbang merentas rantau di samping peningkatan risiko pertumbuhan yang lebih rendah. Di rantau ini, pertumbuhan dijangka mampan hasil daripada permintaan dalam negeri yang kukuh, aktiviti pelaburan yang meningkat dan perdagangan dalam rantau.

Bagi ekonomi dalam negeri, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan lebih sederhana pada suku kedua disebabkan terutamanya oleh permintaan luar negeri yang lebih perlahan, gangguan dalam rantaian bekalan perkilangan global yang lebih besar daripada yang dijangkakan dan pelaburan sektor awam yang lebih rendah daripada yang diunjurkan. Walau bagaimanapun, penggunaan dan pelaburan swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan. Melangkah ke hadapan, pertumbuhan dijangka meningkat, didorong oleh penggunaan dan pelaburan swasta yang terus kukuh. Prospek pertumbuhan bagaimanapun mungkin terjejas oleh risiko luar yang lebih tinggi. 

Inflasi dalam negeri meningkat kepada 3.3% pada bulan Mei disebabkan oleh harga makanan dan bahan api yang lebih tinggi. Faktor penawaran terus menjadi penentu utama yang memberikan kesan kepada harga pengguna manakala harga komoditi dan tenaga global diunjurkan kekal tinggi. Terdapat juga beberapa tanda yang menunjukkan faktor permintaan dalam negeri akan memberikan tekanan menaik terhadap harga pada separuh kedua tahun ini.

Penilaian MPC mendapati bahawa risiko kepada inflasi cenderung ke arah yang lebih tinggi. Meskipun prospek pertumbuhan terus positif, wujud ketidakpastian yang lebih ketara berikutan perkembangan pada peringkat global yang telah menyebabkan terdapatnya risiko pertumbuhan yang lebih perlahan. MPC akan membuat penilaian yang teliti terhadap perkembangan dalam keadaan ekonomi dan jika didapati momentum pertumbuhan berterusan, langkah untuk terus mengembalikan keadaan monetari ke tahap yang lebih wajar akan dipertimbangkan. Ini bertujuan untuk memelihara kestabilan harga.

Bank Negara Malaysia
07 Jul 2011

© Bank Negara Malaysia, 2011. All rights reserved.