Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 05/11/02 05 May 2011 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 05 Mei 2011

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia mengambil keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus. Berikutan itu, kadar terendah dan tertinggi koridor OPR masing-masing dinaikkan kepada 2.75 peratus dan 3.25 peratus.

Ekonomi global terus pulih pada suku pertama tahun ini, namun pertumbuhan merentas rantau amat tidak seimbang. Pertumbuhan dalam ekonomi maju pada tempoh ini kekal sederhana. Sementara itu, meskipun terdapat sedikit penyederhanaan di rantau ini, pertumbuhan terus kukuh hasil sokongan aktiviti ekonomi dalam negeri yang teguh. Inflasi dunia bagaimanapun meningkat disebabkan oleh kenaikan harga tenaga dan komoditi. Di beberapa buah negara, tekanan yang terus lebih tinggi terhadap inflasi didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri. Sungguhpun pemulihan ekonomi global dijangka berterusan, risiko pertumbuhan yang lebih rendah telah meningkat berikutan harga tenaga dan komoditi yang berpotensi untuk meningkat lagi, kemungkinan gangguan bekalan ekoran perkembangan di Jepun, dan turun naik yang lebih ketara dalam aliran modal ke negara-negara sedang pesat membangun.

Dalam ekonomi dalam negeri, penunjuk terkini menunjukkan pelaburan swasta kekal kukuh dan perbelanjaan penggunaan swasta terus mampan pada suku pertama. Prestasi eksport juga bertambah baik, berikutan sokongan permintaan serantau. Melangkah ke hadapan, penilaian yang dibuat menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus mampan, dengan pertumbuhan beransur-ansur menjadi bertambah baik pada bulan-bulan yang akan datang. Pertumbuhan akan terus didorong oleh pengembangan kukuh permintaan dalam negeri. Keadaan guna tenaga dan kenaikan dalam pendapatan yang mampan dijangka terus menyokong penggunaan swasta, manakala pelaburan swasta diunjurkan lebih kukuh dalam persekitaran pelaburan yang bertambah baik. Perkembangan di Jepun dijangka hanya memberikan kesan yang terhad terhadap ekonomi dalam negeri secara keseluruhan.  Prospek bagi rantau ini yang positif dan permintaan yang kukuh terhadap komoditi dijangka terus menyokong ekonomi negara.

Inflasi dalam negeri terus meningkat kepada 3% pada bulan Mac kepada purata 2.8% bagi suku pertama 2011.  Kenaikan ini disebabkan terutamanya oleh harga makanan dan bahan api yang lebih tinggi. Penilaian yang dibuat menunjukkan faktor penawaran akan terus menjadi penentu utama harga pengguna. Harga komoditi dan tenaga global diunjurkan kekal tinggi pada tahun ini, sementara inflasi dalam ekonomi rakan dagangan utama negara juga dijangka terus meningkat. Terdapat juga beberapa tanda yang menunjukkan faktor permintaan dalam negeri akan memberikan tekanan menaik terhadap harga pada separuh kedua tahun ini.

Dengan ekonomi berada pada kadar pertumbuhan yang mampan, MPC memutuskan untuk menyelaraskan tahap dasar monetari yang akomodatif. Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong pertumbuhan. Pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan bergantung pada penilaian risiko kepada prospek pertumbuhan dan inflasi.

Bank Negara Malaysia
05 May 2011

© Bank Negara Malaysia, 2011. All rights reserved.