Cetak       Kongsi


Penyataan Dasar Monetari

No Ruj : 01/11/07 27 Jan 2011 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Ekonomi global terus pulih meskipun prestasi pertumbuhan merentas rantau jelas berbeza. Sementara kadar pertumbuhan di negara maju terus sederhana, kebanyakan negara sedang pesat membangun mencatat pertumbuhan yang kukuh. Di rantau Asia, walaupun pertumbuhan menjadi sederhana berikutan  permintaan luaran yang lebih lembap, aktiviti ekonomi dalam negeri di rantau tersebut terus memberikan sokongan yang kukuh kepada pertumbuhan. Namun, peralihan mudah tunai global telah menyebabkan aliran modal yang besar ke dalam ekonomi sedang pesat membangun, khususnya, rantau Asia, lantas mengakibatkan risiko terhadap kestabilan kewangan dan ekonomi makro. Rantau Asia juga menerima kesan daripada tekanan inflasi global berikutan harga komoditi dan makanan yang lebih tinggi.

Bagi ekonomi dalam negeri pula, penunjuk terkini menjurus kepada aktiviti sektor swasta yang terus berkembang pada suku keempat 2010. Permintaan luaran, bagaimanapun, telah terjejas oleh pertumbuhan global yang lebih perlahan. Melangkah ke hadapan, ekonomi Malaysia dijangka mencatat kadar pertumbuhan yang stabil pada tahun 2011, didorong oleh permintaan dalam negeri yang terus kukuh dalam keadaan permintaan luaran yang lebih sederhana. Penggunaan swasta akan disokong oleh keadaan guna tenaga dan pertumbuhan pendapatan yang mampan. Sementara itu, prospek pertumbuhan sektor berorientasikan pasaran dalam negeri yang menggalakkan dan pengembangan industri pertumbuhan baharu akan menyokong aktiviti pelaburan swasta seterusnya.

Sungguhpun inflasi dalam negeri meningkat menjelang penghujung tahun 2010, kadarnya kekal rendah pada 2.2%. Kenaikan inflasi disebabkan terutamanya oleh harga makanan dan tenaga yang lebih tinggi. Paras harga dijangka meningkat dengan sederhana pada bulan-bulan yang akan datang, terutamanya berikutan harga komoditi dan makanan sedunia yang semakin meningkat. Penilaian yang dibuat ialah inflasi akan terus didorong oleh faktor penawaran memandangkan kurangnya tanda-tanda bahawa lebihan permintaan telah memberi tekanan terhadap paras harga.

Sehingga kini, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari semasa adalah wajar dan konsisten dengan penilaian terkini prospek pertumbuhan dan inflasi negara. Pendirian dasar monetari akan terus akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. Walau bagaimanapun, peralihan yang besar dan tidak menentu dalam mudah tunai global menyebabkan pengembangan mudah tunai dalam sistem kewangan domestik. Meskipun mudah tunai dalam sistem kewangan adalah terurus, melangkah ke hadapan, instrumen dasar tambahan seperti keperluan rizab berkanun dan langkah-langkah pemberian pinjaman kehematan makro mungkin perlu dipertimbangkan semula bagi menghindarkan risiko ketidakseimbangan ekonomi makro dan kewangan.

Bank Negara Malaysia
27 Jan 2011

© Bank Negara Malaysia, 2011. All rights reserved.