Cetak       Kongsi


SC, Bank Negara Malaysia dan Bursa Malaysia memperkenalkan e-bayaran saham

No Ruj : 17 Aug 2010 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia dan Bursa Malaysia hari ini memperkenalkan kemudahan Bayaran Saham Elektronik bagi urus niaga saham dalam satu lagi langkah untuk menggalakkan penggunaan e-bayaran dalam pasaran saham.    

Bersama-sama dengan inisiatif e-dividen yang dilancarkan pada bulan April tahun ini, inisiatif e-bayaran saham menandakan satu lagi usaha ke arah meningkatkan kecekapan dalam sistem bayaran dan penyelesaian dalam pasaran modal. Dua inisiatif itu diumumkan dalam Belanjawan 2010. 

Dengan e-bayaran saham, hasil jualan saham kini boleh dibayar oleh broker saham secara dimasukkan terus ke dalam akaun bank pelabur. Pelabur menikmati akses yang lebih cepat kepada dana itu kerana wang dimasukkan ke dalam akaun bank mereka pada hari yang sama.

Bagi pembelian saham, pelabur boleh membuat bayaran kepada broker saham mereka melalui saluran elektronik atau mereka boleh memilih untuk menjimatkan masa dan menikmati kemudahan auto-debit dengan memberikan kuasa kepada juru bank untuk membuat debit secara langsung terhadap akaun bank mereka.

Kemudahan e-bayaran saham menghapuskan keperluan untuk mendepositkan cek dan mengambil cek, dan mengelakkan isu-isu seperti cek yang tersalah letak, hilang atau tamat tempoh. Pelabur boleh melanggan kemudahan e-bayaran saham dengan broker masing-masing. Perkhidmatan ini disediakan oleh semua broker saham tanpa caj.

Inisiatif e-bayaran saham tersebut dilaksanakan secara bersama oleh SC, Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia, Persatuan Syarikat-syarikat Broker Saham Malaysia, Persatuan Bank-bank Malaysia dan Sistem Bayaran Elektronik Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai e-bayaran saham boleh dilayari di sini.


 

© Bank Negara Malaysia, 2010. All rights reserved.